Sunday, May 30, 2010

SUBSIDI PENDIDIKAN : BUKTI KERAJAAN BERKEBAJIKAN

Saya sedar bahawa kerajaan telah banyak menanggung kos pembiayaan subsidi kepada pelbagai lapisan rakyat di negara ini.Tindakan kerajaan yang mahu menilai dan mengkaji pemberian subsidi amatlah diharap tidak akan mengakibatkan kepada penarikan pemberian subsidi pendidikan kepada semua pelajar di peringkat rendah, menengah dan universiti.Kerajaan diharap untuk mengekalkan subsidi pendidikan sebagai bukti kesungguhan dan keperihatinan terhadap mutu kecemerlangan pendidikan negara.




Sebagai seorang pelajar dan juga mahasiswa, saya percaya kerajaan akan memberikan perhatian serius terhadap mutu pendidikan negara khususnya melibatkan golongan-golongan yang berpendapatan rendah.Saban tahun, banyak permohonan daripada golongan keluarga berpendapatan rendah yang memohon biasiswa kerajaan dan subsidi pendidikan kerana tidak mampu meneruskan pengajian mereka.Saya memandang serius kenyataan YB Timbalan Menteri Pengajiaan Tinggi bahawa 90 peratus pelajar di Institusi Pengajiaan Tinggi bergantung kepada bantuan dan subsidi kerajaan.Sekiranya pihak kerajaan menghentikan pemberian subsidi pendidikan,besar kemungkinan pembangunan dan mutu pendidikan negara akan terbantut.





Saya menyokong penuh cadangan Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (Nube) semalam yang menggesa kerajaan mewujudkan satu mekanisme bagi melindungi golongan berpendapatan rendah terlebih dulu sebelum memulakan langkah sistematik bagi pengurangan subsidi.Langkah ini bagi memastikan tindakan yang bakal diputuskan tidak akan membebankan rakyat khususnya golongan yang berpendapatan rendah.Kesungguhan dan keperihatinan kerajaan dalam meneruskan pemberian subsidi pendidikan ini sebagai bukti dan lambang kerajaan berkebajikan.



Saya sedar bahawa kerajaan terpaksa menanggung kos yang tinggi jika subsidi ini diteruskan namun,saya mencadangkan agar kerajaan perlu mengkaji kembali mekanisme pemberian subsidi ini.Kerajaan boleh meletakkan garis panduan yang jelas terhadap golongan dan rakyat yang layak menikmati subsidi pendidikan ini.Tindakan pemberian subsidi sebelum ini menyebabkan rakyat berpendapatan rendah terpaksa berkongsi dana subsidi dengan golongan kelas atas dan mengakibatkan kerajaan terpaksa menanggung kos yang tinggi.Saya berharap agar tindakan yang bakal dilakukan oleh kerajaan ini tidak akan merugikan mana-mana pihak khusunya kepada golongan pelajar dan mahasiswa.

Sunday, May 23, 2010

PERUTUSAN YDP MPP USIM SEMPENA KEMASUKAN PELAJAR TAMHIDI 2010/2011


Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Ilahi atas kurniaan nikmat Iman dan Islam.Saya merafakkan setinggi kesyukuran ke hadrat Ilahi kerana mempertemukan kita di Laman Ilmu Universiti Sains Islam Malaysia ini (USIM).
USIM merupakan Universiti Islam pertama ditubuhkan oleh Kerajaan Malaysia di permulaan abad 21 ini. Ia merupakan IPTA yang ke-12 di negara ini dan diasaskan bertujuan memartabatkan Pendidikan Islam dan membawanya ke dalam arus pendidikan Negara.
Sepanjang 10 tahun penubuhan USIM,banyak kejayaan dan kecemerlangan yang telah dicapai. USIM berhasrat mahu melahirkan graduan yang berketrampilan tinggi, berdisiplin, berkebolehan dan mempunyai keimanan yang jitu.
Selaras dengan itu, Majlis Perwakilan Pelajar sesi 2009/2010 bertekad mahu melahirkan mahasiswa yang holistik, dinamik dan matang dalam menyahut hasrat universiti serta berdaya saing di arena Nasional dan Antarabangsa.
Dengan tekad yang diletakkan, Majlis Perwakilan Pelajar bergerak untuk memacu kecemerlangan ilmu dan pembangunan sahsiah diri, cakna kebajikan, kepimpinan melalui teladan dan pembudayaan inovasi serta pengantarabangsaan. Majlis Perwakilan Pelajar amat mengalu-alukan kehadiran adik-adik Tamhidi yang baru berdaftar sebagai Mahasiswa/I USIM untuk sesi 2010/2011.
Kami merakamkan sekalung tahniah kerana terpilih untuk menjadi warga USIM. Semoga perkenalan kita ini akan mendapat keberkatan daripada Allah.

Salam Hormat,

Muhammad Hilmi Juhari
Yang DipertuaMajlis Perwakilan Pelajar sesi 2009/2010

Wednesday, May 19, 2010

VIDEO SUARA SISWA : 4 MEI 2010




WAWANCARA EKSKLUSIF SEMPENA 10O HARI MPP USIM

Untuk pengetahuan sahabat semua, pada 19 Mei 2010 merupakan 100 hari pentadbiran MPP USIM sesi 2009/2010.Bersempena dengan sambutan 100 hari tersebut, satu rakaman wawancara telah diadakan oleh krew Usim Online yang disediakan oleh Unit Komunikasi Korporat.Rakaman ini telah diadakan pada 6 Mei 2010.

SUKAN DAN JUDI ; 1 ANALISIS


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Saya melahirkan rasa terkejut dan dukacita atas kenyataan wakil kerajaan di Dewan Negara baru-baru ini yang mahu memberikan lesen pertaruhan bola sepak sempena piala dunia yang akan bermula pada bulan hadapan.Sebagai seorang mahasiswa Islam dan juga pemimpin pelajar di salah sebuah Universiti Islam, saya melihat tindakan ini amat memalukan negara Malaysia sebagai sebuah Negara Islam.Apatah lagi, memandangkan Malaysia suatu ketika dahulu pernah diamanahkan sebagai Pengerusi Pertubuhan Negara-negara Islam (OIC).Saya melihat, alasan yang diberikan untuk menghalalkan lesen judi ini kerana mahu mengelakkan pertaruhan haram daripada merebak adalah tidak relevan dan bercanggah dengan hukum Islam.Sebagai seorang yang beragama Islam, kita perlu akur bahawa Allah jelas mengharamkan judi ini melalui ayatnya secara qat'ie atau nyata.Tuntasnya, sebagai sebuah negara yang meletakkan Perlembagaan Perseketuan sebagai undang-undang tertinggi negara, Artikel 3 haruslah dihormati dengan menjadikan Islam sebagai agama rasmi.Islam seharusnya dipraktikkan oleh pihak kerajaan dan organisasi-organisasi berkanun yang berkaitan.
Perkara yang perlu kita ketahui bahawa semua agama dan kepercayaan yang ada menolak dan mengutuk amalan judi ini kerana ia boleh menyemarakkan api permusuhan dan meletakkan manusia dalam kerugian.Tindakan sebahagiaan masyarakat bukan Islam yang bersama-sama menolak amalan perjudian ini perlu dipandang serius oleh semua pihak.Sewajarnya, pihak kerajaan meneliti kembali tindakan dan risiko yang akan diambil jika lesen perjudian ini diberikan kepada Kumpulan Berjaya Corporation sepanjang musim piala dunia ini.Sesungguhnya, keburukan yang ada pada amalan pemberian lesen judi ini lebih banyak daripada kebaikan yang diperkatakan.Jika kerajaan benar-benar mahu menyekat amalan perjudian secara haram atau tanpa lesen ini,badan-badan berkaitan perlulah menganalisa dan mengkaji semula sistem penguatkuasaan yang ada.Penambahbaikan perlulah diadakan dari semasa ke semasa agar tidak memberikan bebanan kepada pihak kerajaan pada masa hadapan.
Saya mengharapkan YAB Perdana Menteri dan seluruh anggota kabinet yang ada dapat meneliti kembali cadangan kelulusan lesen perjudian sempena Piala Dunia yang akan diadakan pada bulan hadapan ini.Tindakan untuk mengkaji dan meneliti pemberian lesen judi ini bukan hanya untuk Piala Dunia ini sahaja tetapi kepada seluruh sistem pemberian lesen judi yang ada.Tindakan ini juga bukan hanya dilakukan oleh Kerajaan Persekutuan sahaja tetapi kerajaan-kerajaan negeri yang ada.Sesungguhnya, amalan perjudian juga termasuk daripada perbuatan yang tidak bermoral sebagaimana minum arak dan amalan keji yang lain.Jika tindakan anggota kerajaan boleh mengakui arak itu adalah haram, maka sewajarnya judi dan keturunannya juga diakui haram.Jasa dan budi baik pihak kerajaan dan semua pihak amatlah dipohon demi melihat kesuburan Islam terus mekar di bumi Malaysia ini.

ABDULLAH BIN LONG
19 Mei 2010.

Friday, May 7, 2010

ASTRO AWANI DI USIM


Bergambar bersama Hos Mohd Dzulfitri Md Yusop dan sabahat-sahabat rakaman Sudut Pidato di USIM baru-baru ini.

*Insyaallah,rakaman akan disiarkan pada 9 Mei 2010 (Ahad) jam 9.30 malam di Astro Awani.Saksikan bersama.

DARI SUARA SISWA KALI KE-2


Alhamdulillah,pada 4 Mei 2010 baru-baru ini,USIM buat kali ke dua telah dijemput sebagai ahli panel Suara Siswa RTM .Buat kali ke-2 nya juga,saya telah tampil sebagai ahli panel bersama sahabat-sahabat iaitu Saudara Zaki,YDP UTM dan Salwa,Su Kerja MPP Kolej Segi.Dengan pengalaman kali pertama yang ada,Alhamdulillah sedikit penambahbaikan terhadap ucapan saya pada malam itu.Dalam keadaan musim peperiksaan yang dihadapi,saya terpaksa mengakui jadual belajar terpaksa diubah kerana memberikan sedikit masa untuk persiapan bagi Suara Siswa kali ini.

Suara Siswa pada kali ini amat bermakna bagi saya kerana Ibrahim Husin sebagai S/u Gerak Kerja saya juga hadir memberikan sokongan.Saudari Maisarah,S/u Media tidak dapat hadir kerana ada urusan yang tidak dapat dielakkan namun tetap memberikan sokongan dengan membekalkan bahan dan fakta untuk dibincangkan pada malam itu.Saya berasa amat bangga dengan kehebatan kedua-dua mereka ini atas sokongan dan kerjasama yang diberikan.Saya melihat,mereka berdua ada bakat untuk membarisi barisan kepimpinan mahasiswa tahun hadapan.Semoga anda berdua melakukan yang terbaik!!

Saya melihat tajuk perbincangan Suara Siswa kali ini amat baik untuk dibincangkan oleh semua.”Mahasiswa Teori vs Mahasiswa Praktikal”.Ke dua-dua elemen ini amat penting dan tidak dapat dipisahkan oleh rakan-rakan siswa semua.Sebagai seorang mahasiswa kita mempunyai peranan yang amat besar terhadap masyarakat di luar.Tugas kita sebagai warga universiti tidak hanya terbatas dalam ruang lingkup kita di kampus sahaja.

Saya mengharapkan,dengan perbincangan baru-baru ini,dapat memberikan sedikit input-input yang berguna dalam kita membincangkan tajuk dan isu ini.Sesungguhnya,segala kebaikan itu datangnya daripada Allah dan kekurangan itu datang daripada diri saya sendiri.Saya merakamkan jutaan terima kasih kepada Penerbit Suara Siswa dan warga kerjanya atas sokongan dan kerjasama yang diberikan.

Salam Hormat.

*Rakaman video Suara Siswa boleh di lihat laman USIM ONLINE http://www.usimonline.my/