Thursday, August 18, 2011

MENSYUKURI NIKMAT RAMADHAN (2)


Ramadhan Kareem...Ucapan ini seringkali kita dengar di bulan yang mulia ini.Ucapan yang menunjukkan betapa mulianya Ramadhan buat kita ummat Islam semua.Ramadhan bukan hanya bulan puasa semata-mata tetapi adalah bulan ibadah untuk kita.Kita digalakkan untuk memperbanyakkan amalan sunat disamping meningkatkan ibadah wajib sehari-hari.Disebutkan bahawa ibadah sunat akan digandakan pahalanya seperti amalan wajib dan ibadah wajib digandakan 70 kali ganda.Sungguh hebat bagi mereka yang benar-benar mengabdikannya dirinya di bulan Ramadhan ini.

Bila disebutkan puasa bermakna kita mencegah diri kita daripada makan dan melakukan perbuatan yang boleh membatalkan puasa.Ini bermakna, bukan hanya puasa perut sahaja bahkan puasa mulut, telinga, mata dan seluruh anggota pancaindera.Oleh kerana itu, jika di bulan puasa seseorang itu mengumpat, maka orang lain akan berkata kepadanya adakah awak ini berpuasa?Jika beginilah ucapannya, maknanya yang bertanya itu benar-benar faham pengertian dan tuntutan Ramadhan itu.

Namun, amat menyedihkan apabila masih ada lagi yang belum memahami falsafah Ramadhan ini.Berpuasa itu memanglah berpuasa tapi tidak solat.Puasa tapi tidak menutup aurat.Ada yang berteraweh tak pernah tinggal tapi solat wajib diabaikan begitu sahaja.Kalau begini pula keadaannya, nampak sangat mereka ini tidak memahami pengertian dan tuntutan Ramadhan itu.Maka, menjadi kewajipan kita semua bagi memahamkan mereka-mereka ini.Ramadhan ini akan memberi erti sekiranya selepas melalui Ramadhan sebulan, bertambah keimanan dan ketaqwaan kita.KRA untuk mengukur keberkesanan Ramadhan ini adalah selepas sebulan kita menghadapinya.

Kemuliaan Ramadhan ini juga telah dirasai oleh sahabat-sahabat yang bukan Islam.Kalau ke bazar membeli juadah, mereka antara pengunjung yang ingin mendapatkan juadah dan makanan Ramadhan.Peranan peniaga bazar untuk berdakwah kepada mereka dengan menerangkan kelebihan Ramadhan antaranya bertambahnya rezeki buat peniaga dan pembeli.Terbaru, bulan puasa ini memberikan 1000 makna buat kami sekampung apabila seorang penduduk bukan Islam memberikan keizinan untuk menggunakan sedikit tanah kilangnya untuk dibina masjid.Bahkan sejumlah wang diberikan kepada jawatankuasa pembinaan sebagai sokongan membina masjid.Untuk makluman, surau kami berkongsi pagar dengan kilangnya.

Sebenarnya, kami dikampung sedang melakukan pembinaan bagi menaiktaraf surau kampung kepada sebuah masjid.Masjid ini akhirnya diberi nama Masjid Warisan Penghulu, Kampung Lubok Gong.Masjid ini yang asalnya surau adalah wakaf daripada keturunan penghulu di kampung ini.Rasanya, Ramadhan benar-benar memberi keberkatan kepada kami apabila isu pembinaan masjid yang melibatkan tanah kilang Cina ini dapat diselesaikan.Apatah lagi, walaupun kedudukan kilangnya berjiran dengan masjid ini, namun Cina ini tidak pernah membuat aduan gangguan bunyi azan dan bacaan Quran.Mungkin beliau boleh dijadikan contoh kepada orang-orang bukan Islam yang lain.

Akhirnya, Ramadhan yang datang ini amat bermakna kepada kita semua lagi jika boleh menyontohi beliau memberikan sumbangan dan derma bagi membina masjid ini.Sumbangan boleh disalurkan kepada Akaun Bank Islam Malaysia Berhad 03081010016643 di atas nama Masjid Warisan Penghulu.Semoga dengan sumbangan dan derma ini akan menjadikan kita hambanya yang benar-benar mensyukuri nikmat Ramadhan......


Wednesday, August 17, 2011

PERTH SEGAR DALAM INGATAN (1)


Tiba-tiba, teringatkan kenangan yang cukup bermakna ketika melawat bumi Perth Mei yang lalu.Alhamdulillah pada 23-29 Mei, saya berkesempatan melawat Perth bersama sahabat-sahabat.Turut serta dalam rombongan tersebut adalah seorang pegawai HEP USIM.Semingu kami berada di Perth.Banyak pengalaman dan kenangan yang dikutip sepanjang berada di sana.Segalanya masih segar dalam ingatan.



Apa yang masih segar apabila kami mengadakan program kemasyarakatan bersama anak-anak rakyat Malaysia yang berada di Perth.Mereka ini adalah anak-anak kepada rakyat Malaysia yang bekerja, belajar di sana dan ada yang telah menjadi PR di Australia.Telatah adik-adik itu tidak dapat saya lupakan dan terasa masih bermain-main di fikiran.Rindu sangat kepada adik-adik semua.



Hampir 7 jam hari itu kami bersama mereka.Antara program utama yang diadakan adalah modul tahsin al-quran dan Solat.Sempat juga hari itu diadakan modul pidato dan pengucapan awam.Modul yang diadakan lebih banyak dalam bentuk kumpulan-kumpulan kecil.Apa yang boleh saya katakan terhadap adik-adik ini adalah mereka amat luar biasa dari segi tenaga dan semangatnya.Mungkin kerana faktor pendidikan dan persekitaran di Perth menyebabkan mereka ini berlainan daripada kita semua.Semangat belajar dan ingin tahu juga yang amat tinggi.



Mereka hadir ke program tersebut semata-mata ingin mengutip mutiara ilmu dan mendapatkan maklumat yang baru.Persediaan yang rapi juga kelihatan melalui raut wajah mereka.Ada juga ibu-bapa yang turut serta hadir ingin melihat telatah kami dan anak-anak mereka berprogram.Program tersebut juga seolah-olah seperti hari keluarga buat rakyat-rakyat Malaysia di sana.Rata-rata adika-adik yang hadir lebih selesa berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris kerana itulah bahasa rasmi mereka di sana.Ada juga yang tidak tahu berbahasa Melayu kerana daripada lahir sudah membesar di sana.Apapun, adik-adik itu semua amat istimewa dan bermakna buat saya.

Nantikan sambungannya......


Sunday, August 14, 2011

HORMATILAH KEPUTUSAN FATWA MUFTI


Ramadhan kareem..

Sedih saya apabila membaca akhbar dan membaca komen segelintir ahli politik kita berkenaan hal-hal agama dan pandangan mereka terhadap alim ulama'.Kerana nafsu, tuntutan sebenar agama dibaikan dan dimanupulasi untuk kepentingan politik.Agak malu juga saya dengan kenyataan orang-orang Islam kita ini berkenaan sesuatu isu agama.Apatah lagi jika ilmu agamanya tidak seberapa, tetapi pandai-pandai mengkritik dan mempertikaikan fatwa dan nasihat ahli agama dan para mufti yang diakui kewibawaannya.Kata mereka politik dan agama itu perlu dipisahkan.Tapi, apa yang berlaku sebaliknya.Isu-isu agama sengaja disensasikan semata-mata mahu meraih sokongan politik terutama orang-orang kita yang jahil pasal agama.

Terbaru berkenaan fatwa dikeluarkan oleh Majlis Fatwa negeri.Sebagai pelajar bidang jurusan agama khususnya dalam bidang Fiqh dan Fatwa, saya rasa terpanggil melontarkan pandangan berkenaan isu ini.Saya tidaklah selayaknya untuk melakukan semakan terhadap isi fatwa tersebut kerana belum lagi ahlinya.Cuma, apa yang ingin dikatakan adalah adab kita sebagai orang yang umum dalam agama ini terhadap sesuatu fatwa.Saya rasa ramai yang sudah mengetahuinya cuma malas untuk dikongsikan bersama sahaja.Pertama, untuk makluman semua, Malaysia adalah antara negara yang paling ramai mufti dan majlis fatwanya.Para mufti yang dilantik adalah mereka yang diyakini kewibawaan mereka dalam hal-ehwal agama.

Kita pula adalah insan umum dan kurang ilmunya dalam hal agama.Mereka para mufti ada majlis dan pakar rujuknya dalam bermesyuarat mengeluarkan sesuatu fatwa.Tidak seperti kita dalam melontarkan sesuatu pandangan.Tapi, di Malaysia bukan semua pandangan para mufti itu boleh dikira sebagai fatwa kerana kadang-kadang ia dikatakan pandangan peribadi mereka.Sebaliknya, jika ia telah diputuskan oleh jawatankuasa fatwa negeri masing-masing, maka ia adalah fatwa dan wajib dikuti oleh rakyat sesebuah negeri itu.Di peringkat pusat, kita juga mempunyai Majlis Fatwa Kebangsaan yang menguruskan fatwa di peringkat pusat atau Persekutuan.

Berbalik semula kepada isu yang hangat diperkatakan hari ini adalah sikap sesetengah orang kita yang jahil agama tetapi berlagak alim dan mengetahui segala-galanya.Akhirnya, bangsa yang ingin dibela digadaikan dan agama dibaikan.Kita Melayu ini berpegang kuat kepada agama.Kalau dikatakan Melayu, shohih orang akan kata dia Muslim.Itulah senario masyarakat kita hari ini.Oleh itu, walaupun tidak solat dan puasa, bila bercakap tentang daging khinzir, semua mengutuk dan geli katanya haram.Tapi, bila melibatkan kepentingan kehidupan seharian, mati-mati ia akan manipulasi untuk kepentingan diri dan peribadi.Inilah keadaan kita hari ini.Sejak bila, saya tidak selidik pula.Walaupun pahit, itulah halnya yang perlu kita terima.

Usah terus menuduh sembarangan fatwa yang dikeluarkan.Mereka adalah ahli dan pakar dalam bidangnya.Mereka bermesyuarat dan banyak kajian yang dibawa sebelum sesuatu fatwa diputuskan.Bukan macam kita.Nampak sahaja ada sedikit peluang politik di sana, terus memasukkan diri kononnya layak juga berbicara soalnya.Allah hu Rabbi!!Ini bulan Ramadhan.Sudah-sudahlah menunjukkan andalah heronya.Alih-alih yang dilihat adalah kejahilan dan kebodohan kita pula.Kalau benar ada dalil dan bukti yang kuat, panggil para mufti dan jawatankuasa fatwa untuk berbincang mengenainya.Naik geli saya apabila melihat reaksi dan kelakuan ahli-ahli politik kita hari ini (bukan semua).Sungguh kotor mainan politik yang dijaja.Saya yang menghormati anda semua pun rasa hilang hormatnya.

Ayuhlah kita muhasabah diri kembali.Bulan Ramadhan ini adalah waktu terbaik untuk kita memperbaiki diri ke arah yang lebih baik.Jika ada kesilapan yang dilakukan atau sedikit tidak beradab sebelum ini, masih ada peluang untuk kita mengubahnya.Islam itu indah dan ahli-ahli agama sebagai penolong Allah tahu tugas mereka.Cukup untuk kita lakukan kerja kita sahaja.Bukan bermakna kita tidak boleh mengambil-tahu hal-hal agama tapi biarlah kita tahu isu dan faktanya.

Ramadhan kareem...

Saturday, August 13, 2011

MENSYUKURI NIKMAT RAMADHAN (1)


Ramadhan Kareem.....

Bersyukur ke hadrat Allah atas nikmat Ramadhan yang ditempuhi.Tahun ini, genap 23 tahun saya hidup dan menghirup udara Ramadhan.Yang saya benar-benar menghayati nikmat Ramadhan apabila sudah melangkah ke alam menengah di Maahad Muhammadi Lelaki.Sebelum ini, saya pun tidak tahu apa itu sebenarnya Ramadhan.Kalau orang puasa,saya pun berpuasa.Apabila hendak raya, sayalah antara orang yang paling gembira menyambut raya.Namun, segala mimpi buruk saya itu berakhir apabila mula melangkah kaki bergelar Tholib diMaahad Muhammadi.Bersyukur juga rasanya di hantar ke Maahad, kalaulah saya dihantar ke sekolah yang lain, entah apa jadi agaknya.Mungkin masih tidak mengerti erti nikmat Ramadhan.

Teringat ketika di Maahad Muhammadi dahulu.Diadakan program Ihya' Ramadhan sepanjang bulan ini.Banyak program yang dibuat terutama yang paling meriah adalah pesta Tadarus Quran.Berlumba-lumba kami pada masa itu beradu membaca Quran.Saya masih ingat lagi, sempat saya menghabiskan sebanyak 3 kali Al-Quran sepanjang Ramadhan.Masa itu, tiada apa yang hendak dikerjakan.Apa yang tahu, masa yang ada penting untuk membanyakkan tadarus dan bacaan Quran.Hatta, kami ke kelas pun bawa Al-Quran.Rindu rasanya saat seperti itu kembali.Tapi kini, kalau habis sekali khatam Quran,rasanya sudah nikmat agung buat saya di dalam bulan Ramadhan.Saya masih ingat lagi, tokoh Ramadhan pada masa itu yang rasanya boleh menghabiskan Al-Quran sebanyak 6,7 kali adalah saudara Zool Amali.Kami semua ra
sanya telah kalah dengan tokoh Ramadhan tersebut.Beliau benar-benar mensyukuri nikmat Ramadhan.

Berbalik Ramadhan hari ini.Alhamdulillah, ia tetap baik bagi saya dengan keadaan semasa hari ini.Ramadhan tahun ini disambut dengan kedatangan sahabat seIslam dari Al-Azhar Mesir.


Gambar ihsan dari Akh Hazimin Harun

Anas Sultan seorang mahasiswa tahun akhir di Al-Azhar dalam bidang Syariah.Juga merupakan imam dan guru Al-Quran di Mesir.Saya bertaaruf dengannya melalui sahabat dari Mesir Ustaz Muhammad Zul-Faisal Omar.Dua hari Ramadhan pertama dihabiskan dengannya.Saya menumpang keberkatan kehadirannya dengan membawanya menziarahi para pensyarah yang ada di kampus.Sempat membawa beliau berjumpa dengan Prof Dr. Ibrahim Khalaf Khilaf,Dr. Sadiq Duwa Nur,dan beberapa orang lagi pensyarah yang masih di kampus.Sempat bertanya khabar dan bertukar pandangan antara mereka.Saya dikhabarkan Anas datang ke Malaysia bagi menghadiri seminar Kepimpinan di sebuah hotel di Kuala Lumpur.Turut serta dalam seminar tersebut adalah saudara Anwar Ibrahim dari Malaysia.

Hari pertama Ramadhan,kami berbuka di Masjid Al-Syakirin dan bertaraweh di Masjid Besi Putrajaya bersama Sheikh Jibril dari Mesir.Malam itu,taraweh 8 rakaat sahaja yang memakan masa sehingga jam 11 malam.Hari ke dua, kami dijemput berbuka di rumah Prof Dr. Ibrahim Khalaf Khilaf seorang pensyarah dari Mesir.Saya bersama Anas Sultan, Akh Hazimin, Akh Rasyadan dan Akh Farid Hadhari hadir memenuhi undangan.Turut serta Dr. Sadiq dari Sudan.Malam itu,kami agak kekenyangan dengan dihidang makanan Arab yang sungguh lazat.Selepas berbuka,kami bersegera ke Kuala Lumpur dan pertemuan kami dengan Anas berakhir di situ.Sempat bergambar berlatarkan KLCC.Beliau akan ke UIAM pula untuk berjumpa sahabatnya di sana.Kami pula bersegera hadir ke sebuah program ilmu.Sungguh indah Ramadhan bersamanya itu.


Gambar Ihsan dari akh Hazimin Harun

Hari berikutnya,saya bersama sahabat-sahabat yang masih ada di kampus menziarah pula Tuan Guru Dr. Zulkifli al-Bakri di rumahnya.Kami disambut dengan penuh layanan mesra.Kami juga dihidangkan dengan nasihat yang cukup bermakna.Tuan Syeikh mengingatkan kami dengan 3 pesanan yang cukup bernilai :

1)Belajar tinggi-tinggi sehingga berjaya mendapat PHD.
2)Belalah agama Allah dengan ilmu yang kita ada sambil menyebut beberapa orang tokoh yang ada.
3)Belajarlah sehingga akhir hayat kerana menuntut ilmu agama itu adalah wajib.

Nasihat buat kami hari itu diakhiri dengan ingatan yang amat menyentuh hati apabila mungkin antara kami ini akan ada yang saling bermusuhan suatu hari nanti.Tuan Syeikh mengingatkan beberapa kisah yang berlaku dengan Prof. Dr. Yusuf Qardhawi.Saya meninggalkan rumah Tuan Guru Dr.Zulkifli dengan langkah yang berat dan bermohon agar bukan saya dan sahabat semua yang menjadi penentang kepada agama Allah.

"Ya Allah,jadikanlah aku dan sahabat-sahabatku sebagai pejuang dan pendukung kepada agamaMu"

Dr. Zulkifli tidak sempat untuk berbuka dengan kami pada hari tersebut namun beliau menjemput kami berbuka di sebuah restoran sambil ditemani dengan orang-orang kuatnya selama ini.Alhamdulillah, kami semua makan dengan penuh berselara kerana ia pasti ada keberkatan ramadhan daripada seorang ulama' yang cukup tawadhu' dan tinggi ilmunya.Jazakallahu khairan kathira guruku.....

Hari keesokannya,rezeki Ramadhan terus mencurah-curah dikurnia.Saya bersama sahabat yang masih ada di Nilai dibelanja pula oleh seorang "Selebriti al-Quran" dengan dijemput makan di sebuah restoran makanan Arab di Cyberjaya.Rasanya semua pernah dengar Restoran Saba'.Makan penuh bersemangat pula kami malam itu.Apa yang tidaknya, ia hasil daripada bayaran bacaan rakaman al-quran oleh sebuah stesyen televisyen.Mesti berkat hidangan malam itu.Bayarannya juga bolehlah tahan.Terima kasih sekali lagi ye ustaz muda.

Cukup setakat ini catatan permulaan daripada saya berkenaan Ramadhan tahun ini.Ada lagi cerita-cerita yang lain berkenaan nikmat Ramadhan ini.I.Alah,kita akan kongsi bersama nanti.Semuanya adalah kerana Ramdhan ini bulan yang penuh dengan keberkatan.