Sunday, September 25, 2011

HUDUD : SEMUA PIHAK PERLU DUDUK SEMEJA


Saya merasa agak kecewa dan sedih dengan permainan media dan pihak-pihak tertentu dalam mensensasikan isu hudud demi kepentingan agenda sempit mereka.Benarlah jika dikata orang politik itu hanya tahu menjaga survival politik mereka sahaja asalkan mereka boleh kekal berkuasa dan memerintah sahaja.Persoalan menghormati agama dan norma kehidupan itu hanyalah perkara ke dua atau mungkin ke tiga dalam kamus kehidupan mereka.Apabila dekat sahaja pilihanraya, isu hudud ini akan dipalu untuk mendapatkan sokongan orang bukan Melayu dan menjatuhkan imej Islamik parti lawan.Astaghfirullah!!Di manakan prinsip dan pegangan Islam mereka ini?

Hudud itu adalah hak Allah dan ianya bukan hak parti tertentu.Perlaksanaannya adalah wajib apatah lagi bagi kita yang dikatakan sebuah negara Islam.Kenyataan-kenyataan janggal seperti "Saya akan pastikan hudud tidak dapat dilaksanakan di Malaysia","Hudud belum tiba masanya untuk dilaksanakan di Malaysia","Malaysia adalah negara multiracial" daripada mulut orang Islam sendiri menampakkan kejahilan mereka berkenaan undang-undang Hudud ini.Adakah mereka ini tidak sedar bahawa kerajaan yang mereka pegang itu adalah kecil dibandingkan kerajaan Allah.Kuasa mereka itu sedikit dan bila-bila masa sahaja boleh ditarik olehNya jika Dia mahu.Usah-usahlah bercakap tentang hukum Islam ini jika anda jahil dan langsung tidak tahu mengenainya.

Media pula hanyalah tahu untuk melariskan berita mereka sahaja.Saban hari serangan diarahkan kepada pemimpin-pemimpin Islam yang mempertahankan hudud ini dan mahu ia dilaksanakan.Sedangkan,apa yang menyedihkan adalah media itu sendiri dimiliki oleh Islam dan wartawan yang melaporkan juga orang Islam.Allahu Akhbar!!Ini bukan isu yang boleh melariskan berita anda sebenarnya.Sebaliknya,hati ummat islam telah anda lukai lebih-lebih lagi alim ulama' kita dan ahli-ahli agama kita.Saya merasakan para mufti dan alim ulama' perlu tampil ke hadapan dalam menasihati golongan seperti ini.Dalam Islam juga ada etika kewartawanannya dan wajib dipatuhi oleh ahli media.

Saya mencadangkan satu rundingan dan perbincangan antara kerajaan dan semua pihak yang berkaitan berkenaan hukum hudud ini perlu dilaksanakan segera.Mungkin cadangan ini agak lapuk dan ketinggalan zaman,tapi inilah satu-satunya jalan penyelesaian terbaik demi Islam dan ummat Islam.Panggil alim-ulama' kita yang mewakili parti-parti politik atau bebas sepenuh masa dalam membincangkan isu ini.Pakar-pakar undang-undang juga bolehlah dijemput termasuk Peguam Negara yang juga orang islam.Survival ummat Islam di Malaysia perlu dijaga dan dipertahankan sekiranya inilah negara Ummat Islam.Media juga memainkan peranan penting dalam menyatukan pandangan pemimpin-pemimpin kita khususnya yang mewakili orang Islam.Jangan diwujudkan jurang perpecahan dan pertelagahan dengan api kebencian yang boleh merugikan kita semua.

Salam Perpaduan Ummah!!

Friday, September 23, 2011

KENALI ISU SEBENAR


Hari ini,banyak isu dan perkara yang dibangkitkan oleh media massa khususnya media arus perdana.Rakyat dan mahasiswa saban hari dimomok-momokkan dengan pelbagai isu baru dan lagaknya seperti panas.Namun, isu-isu itu hanyalah ibarat ayam berkokok, telornya sebiji tetapi riuhnya pula sekampung.Jika dianalisis dengan baik isu yang dilambakkan di media massa itu, tiada input dan manfaat yang kita perolehi sebagai rakyat mahupun mahasiswa.Apatah lagi, belum reda lagi sesuatu isu yang dibuat-buat, bangkit pula isu baru yang pasti tidak akan senyap sampai bila-bila.Isu itu pasti akan dibangkitkan dan terus dibangkitkan.Kadang-kadang naik muak kita memerhatikannya.

Tidak keterlaluan jika diibaratkan isu yang sengaja diada-adakan itu seperti sampah kepada pemikiran kita sahaja.Jadi, tidak perlulah kita memikirkannya kerana ia hanyalah sekadar isu yang memang telah disengajakan dan dirancang.Sebagai rakyat dan mahasiswa, amat wajar kita kenal pasti isu sebenar disebalik isu yang sengaja diada-adakan itu.Tumpuan rakyat harus beralih kepada isu-isu besar dan membawa kepentingan kepada ummah.Contoh yang terdekat adalah isu rakyat yang terbeban dengan kenaikan harga barang tetapi gaji tidak pula naik khususnya buat penjawat awam.

Saya teringat ketika mengikuti satu lawatan ke Perth, Australia pada bulan Mei yang lalu.Sungguh hebat program kebajikan yang dilaksanakan oleh kerajaan mereka.Mana-mana rakyatnya yang tidak bekerja dan warga emas diberikan bantuan oleh kerajaan.Sungguh unik penumpuan aspek kebajikan yang dilaksanakan.Apa yang menarik perhatian saya, dalam keadaan pendapatan rakyat dan mata wang yang tinggi, tetapi harga-harga barangan di pasaran tetap juga rendah.Pelbagai jenis barangan yang ditawarkan jauh lebih rendah dibandingkan di tempat kita.Misalnya,kita masih boleh mendapatkan baju T-shirt yang bergaya di pasaraya dengan hanya berharga $5 dolar sahaja disamping barangan-barangan tekstil yang lain.Jika dibandingkan dengan wang rakyat kita ke sana, barulah sekadar RM15 sahaja.Namun, tidak adillah jika dibuat perbandingan itu kerana pendapatan diperolehi mereka adalah sama tinggi sebagaimana kadar matawang mereka.Itu baru disentuh harga pakaian sahaja, belum lagi barangan yang lain.


Gambar penulis ketika melawat Australia


Maknanya, harga $5 dolar itu sebenarnya murah bagi rakyat mereka.Ramai rakyat Malaysia yang bekerja di sana kerana walaupun sekadar pekerja ladang tetapi mereka mampu membawa pulang wang berpuluh-puluh ribu ke Malaysia.Syaratnya adalah boleh berbicara asas Bahasa Inggeris pun sudah cukup.Oleh kerana itu, saya berani katakan walaupun ada rakyat kita hanyalah bekerja sebagai posmen atau tukang sapu di sana, mereka tetap boleh menjalani kehidupan dengan baik di bandar besar itu.Ini semua kerana ekonomi mereka diurus tadbir dengan baik dan kebajikan mereka benar-benar dibela.Tidak mustahil kita mampu menikmati kesenangan seperti mereka suatu hari nanti.Segala-galanya sebenarnya sudah berada di genggaman kita.

Isu lain yang sepatutnya diberikan perhatian juga adalah berkenaan PRU yang semakin hampir.Saat itu,kita perlu memilih parti yang paling terbaik fungsinya untuk kita.Yang manakah parti benar-benar ikhlas berbakti untuk rakyat dan menjaga kebajikan semua.Harus diambil perhatian bahawa tidak semestinya parti yang telah memerintah lama itu adalah yang terbaik.Dan tidak semestinya juga pembangkang yang selalu membangkang dan selari dengan kehendak kita adalah benar dan tepat dakwaan dan janjinya.Semuanya, kita perlu analisis dengan baik kerana itu adalah isu utama kita sebagai rakyat.Siapakah yang bakal memimpin dan mentadbir kita?

Akhirnya, semua kita perlu kembali semula kepada isu kenaikan harga barang dan PRU yang semakin hampir ini.Tumpuan 100% perlu diberikan dalam membuat penilaian parti yang manakah perlu dipilih dan diberi kepercayaan.Warna parti, pemimpin mana yang menonjol, atau pengaruh paling kuat bukan isu utama terhadap parti pilihan kita.Tetapi, dasar terbaik manakah yang bakal ditawarkan oleh parti-parti tersebut itulah bakal menjadi ukuran kita.Jika parti tersebut mungkin ada seorang atau dua tokoh dan pengaruhnya yang tersendiri, ia hanyalah sekadar pelaris dan pelengkap rasa sahaja.Tuntasnya, kita perlu kenal pasti isu sebenar yang sedang berlaku dan dan buatlah pilihan dengan akal budi dan suluhan ilmu.


Thursday, September 22, 2011

INILAH JALAN KITA.....





Inilah jalan yang kita pilih.Jalan sebagai seorang Muslim yang berpegang teguh dengan agama.Kita rela untuk mewakafkan diri demi perjuangan Islam.Kita tidak runsing untuk menegakkan agama Allah kerana keyakinan kita bahawa pertolongan Allah akan datang.Kita pula tidak akan sekali-kali gentar apabila diasak oleh musuh-musuh Islam samada dari dalam atau luar.Semakin banyak ugutan dan kecaman yang kita terima,semakin tinggi semangat juang dan keimanan kita.

Inilah jalan yang kita pilih.Jalan yang tidak ada bengkok dan cacat-celanya.Jalan sebagai seorang mahasiswa dan penuntut bidang jurusan agama.Jalan yang jarang ada mereka yang sanggup melaluinya kerana memikirkan amanah dan bebanan yang akan dipikul.Sekali kita telah masuk ke jalannya,kita sekali-kali tidak akan berpatah balik.Ilmu yang diterima perlu diaplikasikan dalam masyarakat.Kita yang akan memimpin masyarakat dan bukan masyarakat yang memimpin kita.

Inilah jalan yang kita pilih.Jalan sebagai seorang hamba Allah.Tidak kiralah siapa kita samada Melayu,Cina,India atau bangsa apa sekalipun,kita tetap adalah hambaNya.Bukan senang untuk mendapat panggilan sebagai hambaNya kerana hanya sedikit yang bisa mendapatkannya.Tiada masa untuk kita menukar arah kerana kita adalah hambaNya.Kita hanyalah menumpang bumi,udara dan segala nikmat kurniaan dariNya.Kita perlu meneruskan amanah dan tugasan dariNya walaupun mungkin kita tidak pernah bersetuju akannya.

Inilah jalan yang kita pilih.Jalan sebagai seorang anak yang punya keluarga dan keturunan.Segala kasih dan cinta, kita tumpahkan untuknya.Keluarga adalah segala-galanya buat kita.Ikatan yang terjalin tidak akan terputus sekalipun nyawa kita telah berpisah dari badan.Tidak halal untuk kita menderhakai kedua orang tuan kita yang telah membesarkan kita.Kita wajib untuk membalas segala jasa yang dicurahkan kerana inilah jalan yang telah tersurat buat kita.

Inilah jalan kita.....