Monday, April 9, 2012

TERIMALAH SEADANYA.....




Untuk mengenali seseorang, perlulah kenal kelemahannya terlebih dahulu sebelum puncak kebanggaannya.Jika kelebihan dan pengiktirafan sosok tubuh yang diamati dahulu, bimbang kita akan tenggelam dengan dunia pujian singkat itu.Ramai yang biasanya akan terduduk diam apabila tanggapan pertamanya jauh tersasar daripada kenyataan yang dia lihat di depan mata.Kadang-kadang aku terasa sangat takut apabila ada yang mengenali diri ini dengan sekelumit pujian yang ditabur tanpa kenal sifat hina dan naif yang dimiliki.Takut-takut, ada yang bilang diri hipokrit dan penuh dengan kepura-puraan.

Oleh kerana itu, aku sentiasa berpesan kepada diri.Pesan dan terus berpesan jika mahu kenal seseorang, jangan terus terpesona dengan pakaian putih yang digantung tanpa mengenal akal budinya.Mata yang berkaca putih itu bisa berkesepian bila ia telah jatuh berkecai bak halilintar menerjah bumi.Permintaan sama juga aku titipkan buat teman-teman semua agar mengenali cacat cela diriku.Pujian yang diberi itu tidak langsung kuanggap sebagai penghormatan kerana bimbang ia hanya harapan palsu yang menggunung.Makin ia didaki, makin terlihat di puncaknya hanyalah sebuah batu biasa seperti terdampar di sawah kontang.

Aku tidak bisa selamanya berbohong kepada kalian bahawa aku juga insan biasa punya kelemahan.Namun kekurangan itu tertutup rapi dan kemas kerana rahmat dan belas kasihan Allah.Biarlah ia terbungkus kemas tanpa kalian minta daku membukanya.Ia seolah-olah aku mahu membuka sangkar burung emas yang telah lama dibuai mesra.Pun begitu, aku juga punya cita-cita untuk mengubahnya.Namun kepada siapa aku bisa menagih simpati melainkan hanya kepada Dia Allah.

Biarlah pena ini yang berbicara memohon ihsan kalian.Kalian itu jauh lebih mulia daripada diri ini.Usahlah terus terpukau dengan pakaian kehormatan dunia.Aku hanya mahu berteman seikhlas ada.Aku akan tetap berusaha untuk jadi yang sebaiknya.Namun, sekiranya saat kita tidak lama, satu pintaku agar terimalah daku seadanya.......

Di tengah sawah Siman, Ponorogo,Jawa Timur, Indonesia....
11.17 a.m. (Malaysia)

Saturday, April 7, 2012

ANAK-ANAK KECIL ITU.......




The participants of Mini Ibadah Camp at Callier Gardens, Karaswara, Perth with their parents



Power of the circle


Bulan Mei tahun 2011 yang lalu, saya berpeluang untuk mengikuti satu rombongan ke Perth, Australia.Rombongan selama seminggu itu bagi merealisasikan KRA USIM "Ke Arah Menjadikan USIM tersohor di Peringkat Negara dan Antarabangsa".Kunjungan kami ke sana juga membawa misi kemasyarakatan untuk warga-warga Malaysia yang tinggal dan  menetap di Perth.Rata-rata rakyat Malaysia yang kami temui adalah yang menyambung pengajian peringkat PHD di sana dan ada juga yang telah menjadi Penduduk Tetap Australia.Sempena kunjungan kami ini, satu Mini Ibadah Camp telah diadakan di Callier Gardens, Karawara, Perth khusus untuk anak-anak warga Malaysia.Program ini adalah program kerjasama antara USIM, Konsul General Malaysia Perth dan Malaysian Postgraduate Student's Association of Western Australia.

Sambutan penyertaan daripada peserta sangat luar biasa sehingga urusetia terpaksa menolak permohonan  disebabkan kekurangan tenaga fasilitator daripada kami.USIM ketika itu hanya menghadkan sebanyak 10 orang peserta rombongan sahaja kerana kekurangan bajet dan dana.Lagipun, sempena pemergiaan kami ke Perth ini,USIM juga menghantar rombongan-rombongan yang mempunyai misi yang sama ke Dubai, Filipina, Korea, Indonesia dan lain-lain.Kami tidak menjangkakan langsung akan mendapat sambutan hangat daripada anak-anak warga Malaysia di Perth bagi menyertai Mini Ibadah Camp ini.Berdasarkan perbincangan awal kami dengan wakil urusetia di sana, jangkaan awal penyertaan hanyalah sekitar 20 orang sahaja.Akhirnya jangkaan kami itu jauh meleset dengan penyertaan pada hari itu seramai hampir 70 orang.Paling mengembirakan apabila ibu-bapa anak-anak turut menyertai program sambil rehlah santai bersama keluarga besar Malaysia disamping mengambil kesempatan untuk saling bertanya khabar antara mereka.



USIM berjanji pada ibunda.Berjasa berbudi untuk semua.



Waiting for their friends

Anak-anak kecil yang menyertai program ini bermula seawal usia 6 tahun sehingga 17 tahun.Mereka datang daripada pelbagai latar belakang akademik dan keluarga.Ada yang baru hampir dua tahun di Perth dan ada juga yang sudah berbelas-belas tahun di sana tanpa mengingati lagi bumi Malaysia.Ada yang masih dapat berkomunikasi dalam Bahasa Melayu dengan baik dan ada juga yang tidak dapat langsung.Tapi, Alhamdulilah rata-rata mereka dapat memahami percakapan kami dalam Bahasa Melayu "standard" kerana ada mendengar ibu-bapa di rumah pernah menggunakannya.Maka tidaklah kami dianggap seperti burung yang berkicau-kicau di pagi hari.Hehehehe....Tetapi, sepanjang program itu, kami lebih selesa menggunakan English Language untuk berkomunikasi dengan mereka kerana inilah peluang untuk kami menguji kemampuan berbahasa asing itu dan anak-anak ini juga lebih selesa sekiranya kami menggunakan English Language.

Kebijakan anak-anak kecil ini jauh berbeza dengan anak-anak kita di Malaysia.Semangat belajar dan ingin tahu mereka sangat tinggi sehingga tidak menang tangan kami melayannya.Namun, itu menjadikan kami para Fasilitator sangat gembira dan teruja sekali.Apa tidaknya, kerana kami tidak pernah bersama anak-anak kecil seperti mereka ini.Saya tidak tahu apa yang menjadikan mereka ini istimewa.Adakah kualiti sistem Pendidikan di Australia ini atau suasana persekitaran yang mendorong atau ia adalah warisan kebijakan keluarga?Apabila ada sahaja sesi pembentangan, berebut-rebut mereka ini untuk tampil tanpa perlu dipaksa.Jika dibuka sesi soal jawab, maka bersedialah abang-abang dan kakak Fasilitator untuk menjawabnya.Kalau di Malaysia pula, sepanjang saya mengendalikan sesi ceramah motivasi, saya tidak pernah mendapat peserta seperti ini.



Brother and sister, I cant' read al-Quran very well.Can you teach me?


Let's start to perform Solat!!


Yang segan dan malu bukan peserta program tetapi kami para Fasilitator pula yang malu.Hehehe...Nasib baik program yang diadakan adalah Kem Ibadah maka dapatlah kami beraksi lebih ligat sedikit daripada anak-anak ini.Kami berkongsi sedikit pengetahuan mengenai bacaan Quran dan Solat yang sempurna.Simple but perfect I.Allah.Ada dikalangan adik-adik ini arif tentang cara-cara menunaikan solat dengan betul dan ada pula yang sebaliknya.Namun, yang sebaliknya itu tidak pernah merasa malu bahkan mereka yang lebih rajin dan bersemangat untuk tahu.Saya terkenang seorang anak kecil ini (sorry, tak ingat nama).Umurnya sekitar 13 tahun.Sudah lama menetap di Perth sehinggakan tidak boleh berkomunikasi langsung dalam Bahasa Melayu.Anak ini adalah adik kumpulan saya dan tersangat sedih apabila mengenangkan dirinya kerana dia tidak dapat membaca bacaan dalam solat.Surah Al-Fatihah pun dia tidak mengingati apatah lagi bacaa-bacaan yang lain.Namun, istimewanya dia kerana semangat juang yang tinggi ingin belajar.Waktu rehat untuk bermain, dia hanya disamping saya untuk terus belajar dan belajar cara solat yang sempurna.Saya doakan anak ini akan berjaya nanti.Waktu selama lebih 6 jam itu tidak sempat untuk saya memastikan dia mampu menghafal semuanya.Allahu Rabbi!!

Anak ini begitu istimewa di hati saya kerana dia di bawah jagaan saya.Saya rasa sangat bertanggungjawab untuk membimbingnya saat itu.Moga akan berpeluang lagi ke bumi Perth dan berjumpa dengannya.Soalan pertama yang akan  ditanya bila berjumpa nanti adakah adik dapat ingat bacaan solat dan sudah tunaikan solat hari ini?Terkenang saya dengan anak-anak kita di Malaysia, walaupun mereka ingat bacaan solat tetapi ramai yang tidak mahu menunaikan solat 5 waktu secukupnya.Anak ini pernah katakan kepada saya "Brother, I wanna go to paradise too.You have to teach me how to solah very well".What can I say to him at that time?Don't worry Adik!!I.Allah, you will know that and we will see in paradise.Saya tidak dapat menahan sebak saat itu sehingga air mata mengalir jatuh ke pipi.Moga dia mempunyai waktu dan peluang untuk belajar lagi "How to Solat" selepas program kami hari itu.Saya hanya mampu berdoa dan terus berdoa untuknya.


Solat five times a day and an obligation on all Muslims


Saya teringat apabila secara tiba-tiba akan diadakan Public Speaking sempena Mini Ibadah Camp itu.Ia seperti Pidato Competition juga dan akan diadili oleh Judges dikalangan para urusetia program.Adik-adik tanpa diberi masa secukupnya untuk berlatih tetapi dapat tampil menunjukkan bakat masing-masing.Pidato boleh dipersembahkan samada dalam Bahasa Melayu atau Bahasa Inggeris.Saya diminta untuk berkongsi teknik-teknik pengucapan awam dan pidato yang baik.Allahu Rabbi!!Tiba-tiba saya merasa berat mulut untuk membukanya dan rasa malu yang teramat sangat dalam hidup.Tidak pernah saya merasa malu seperti itu sebelum daripada ini untuk menyampaikan ucapan di hadapan khalayak.Mungkin saya dipanah dengan sikap keberanian anak-anak yang luar biasa atau terkesima dengan anak-anak itu yang terlalu istimewa.Kalau saya diberi kesempatan lagi untuk ke sana, I.Allah saya akan menebus malu saya yang lalu itu.Allahumma Amin....

Waktu untuk kami bersama itu pun berakhir.Kami para fasilitator terasa seperti kehilangan mutiara yang sangat bernilai.Bilakah lagi agaknya kami bisa bersama mereka dan melihat gelak-tawa mereka yang mengembirakan hati ini.Moga Allah mengurniakan masa itu kembali lagi.


Friday, April 6, 2012

INDAHNYA MENDEKATI BAKAL ULAMA'




Inilah bakal-bakal ulama' Pewaris tugas Para Nabi (PKU-ISID)


Nabi pernah bersabda di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ahmad, At-Tirmidzi dan Abu Daud "Sesungguhnya Ulama' itu pewaris para nabi.Para Nabi tidak mewariskan dinar dan dirham (harta).Mereka hanyalah mewariskan ilmu.Barangsiapa mengambilnya, sungguh dia telah mengambil bahagian yang banyak".Hadis ini telah dikuatkan lagi dengan ayat Quran sebagaimana firman Allah yang berbunyi "Kemudian kami wariskan Al-Kitab kepada yang kami pilih daripada hamba-hamba kami, lalu di antara mereka ada yang menganiyai diri mereka sendiri, dan ada juga di antara mereka yang lebih dahulu berbuat kebaikan dengan izin Allah.Yang demikian itu adalah kurnia yang amat besar (Fathir : 35: 32).

Berdasarkan keterangan daripada hadis dan ayat ini, jelas menunjukkan kepada kita tentang peranan dan kelebihan para ulama' itu.Tugas yang sangat berat digalas oleh mereka menjadikan mereka hamba yang sangat dekat kepada Allah dan taat kepadaNya.Selama hampir dua bulan saya di Indonesia, saya berpeluang untuk mendekati golongan bakal ulama' pewaris nabi ini.Sifat taqwa dan ikhlas kepada Allah yang dimiliki membuatkan hati saya sentiasa tenang bila mendampingi mereka.Bukan pangkat dan harta yang dikejari tetapi ilmu dan rahmat Allah yang dicari.Daripada raut dan riak wajah yang terpancar, sungguh betapa indahnya kalam Allah.Apabila berbicara dengannya, bait-bait yang diungkapkan itu pula akan diselangi dengan firmanNya.Inilah teman-teman yang saya kenali di Program Kaderisasi Ulama', Gontor (PKU ISID-MUI).



Kasih mereka hanya kepada Allah
Hidup dan amal mereka kerana Allah
Mereka tidak sesekali takut melainkan Allah
Mereka tidak galau kerana telah merasa dekatnya Allah


Benarlah firman Allah itu bahawa yang dekat kepadaNya dikalangan kita adalah para Ulama'.Kerana dekatnya mereka kepada Allah, saya begitu terkesan dengan akhlak dan peribadi yang ditunjukkan.Mereka terjemahkan perintah Allah melalui tutur kata dan adab sopan yang dizahirkan.Tidak sesekalipun saya terasa penat dan jemu bila bergaul dengannya.Seronok pun ada serta puas pun ada.Semakin dekat mereka kepada Allah, semakin rasa tempiasnya kepada saya yang kerdil.

Dalam Surah Az-Zumar : 9,"Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?Sesungguhnya orang-orang berakallah yang dapat menerima pelajaran."Selama mana saya mengenali mereka ini, sabar mereka keras, belajar mereka keras, doa mereka keras, tawakkal mereka keras, dan solat mereka keras.Mereka benar-benar meyakini bahawa apa yang mahu ditinggalkan kepada ummat bukannya harta dan wang yang bertimbun-timbun, kerana pasti suatu hari nanti harta dan wang itu akan berkurang dan habis juga.Namun, jika ilmu yang ditinggalkan, ilmu itu tidak akan berkurang bahkan ia akan bertambah dan terus bertambah.

Wajib bagi saya untuk merasa dengki dengan sifat hikmah dan kuat mereka dalam menuntut ilmu.Kefahaman mereka terhadap agama juga tinggi maka tidak hairanlah jika ulama' telah dijadikan rujukan dalam segenap isu dan perkara.Hadis ada menyebutkan "Barangsiapa yang Allah kehendaki kebaikan untuknya, Dia jadikan orang tersebut faham akan agama" (Riwayat Al-Bukhari No. 69).Teman-teman PKU di sini didedahkan dengan pelbagai masalah kontemporari yang dihidapi oleh ummat kini.Isu-isu pluralisme, feminisme, sekualirme dan isme-isme yang lain telah mereka kuasai sebagai bekal untuk berhadapan dengan masyarakat yang di luar sana.Petik sahaja apa-apa isu yang berlaku, I.Allah mereka ini ada jalan penyelesaiannya.Moga kita diberikan ilmu sebagaimana yang telah diberikan kepada mereka.Allahumma amin....

Oleh kerana itu, saya merasa sangat manisnya iman saat berada disamping mereka.Jika mereka berbicara tentang Islam, saya juga turut merasa tempiasnya.Saya seolah-olah dapat melihat keindahan Al-Quran  dan kebenaran firmanNya.Maka tidak hairanlah, jika saya berani katakan merekalah bakal Ulama' pewaris para nabi dan akan memimpin masa depan.....


Thursday, April 5, 2012

LI USIM DI AKHBAR INDONESIA







Alhamdulillah,saya mewakili teman-teman mengucapkan terima kasih dan matur suwon buat Koran Radar Surabaya di bawah Jawa Pos Group atas liputan sebanyak dua kali laporan berkenaan kunjungan kami ke SMP Muhammadiyah 2 Genteng, Surabaya.Kami berasa amat bertuah dan beruntung atas liputan ini.Semoga hubungan Malaysia dan Indonesia akan terus kekal terjalin.

Abdullah Bin Long

Wednesday, April 4, 2012

BIAR PANTUN BERBICARA




Belakang :  Mas Yunan, Mas Anas, Abdullah, Mas Iwan, Pak Mukarram, Pak Sudar, Pak Azahari, Baari, Tabrani
Depan : Munirah, Naila, Bu Fahmi, Fazila, Sharifah Shazwani


Dari Malaysia, menuju Indonesia,
Singgah dahulu, di Surabaya;
Bandar makmur, wongnya perkasa,
Tempat Pahlawan, parajurit negara.

Orang tua-tua, ada berkata,
Suro dan boyo, telah berjumpa;
Maka sejarah, telah tercipta,
Kota Surabaya, diberi nama.

Kami disambut, penuh ceria,
Ibarat seperti, sebuah keluarga;
Walaupun terpisah, antara negara,
Namun rumpun, tetap sama.

Rasa gembira, tidak terkira,
Keluarga Muhammadiyah, bisa menerima;
Asal kedatangan, tanpa diduga,
Tapi sambutan, amat luar biasa.

Kurang sebulan, kami bersama,
Namun seperti, seabad lamanya;
Rindu berjauhan, selalu dirasa,
Sebab kerna Allah, kami berjumpa.

Mas Iwan dan Mas Anas, masih belia,
Penuh ikhlas, mendidik anak bangsa;
Umurnya muda, otaknya geliga,
Menjadi guru, berbakti untuk negara.

Sungguh ayu dan gantang, orang Surabaya,
Bila tersenyum, menusuk jiwa;
Bicaranya manis, tersusun kata,
Mbak Fahmi Mas Yunan dan Naufal, itulah mereka.

Ngombay dan dahar, di tengah kota,
Ais Degang, pelengkap selera;
Kulow wong baru, maaf dipinta,
Moga ketemu, dilain masa.

Khas buat teman-temanku  di SMP Muhammadiyah 2, Genteng Surabaya.
5 April 2012.Jam 11 a.m


Monday, April 2, 2012

CATATAN UNTUK PONDOK MODERN DARUSSALAM GONTOR (SIRI-3)


Antara perusahaan yang dimiliki Pondok iaitu kilang pemprosesan air minuman



Perusahaan percetakan milik Pondok



Antara bakat dan kebolehan pelajar Pondok yang dipersembahkan sempena Festival Sukan Tahunan



Adakah anda bisa melakukan aksi ini?



Antara persembahan pembukaan



Pertandingan menaip dengan cepat dan paling banyak jumlah perkataan


Ketika menceritakan pengalaman beliau dalam memimpin Pondok, Pak Kiai Haji Shukri Zarkasyi menceritakan sebuah kisah saat beliau berdoa di Muzdalifah.Beliau menulis doa yang ingin dipohon pada kertas dengan hajatnya mahu melihat Pondok terus membangun.Berkali-kali diulangi doa tersebut dengan bersungguh-sunguh sehingga mengalir air mata.Setelah dilakukan kerja yang keras dan bersungguh-sungguh bagi membangunkan Pondok atau apa-apa sekalipun pekerjaan, jangan sesekali kita lupa untuk memanjatkan doa dengan keras atau bersungguh-sungguh kepada Allah.Ujarnya, kita perlu dinamis dan mempunyai inisiatif dalam membina produktif dan kecemerlangan itu.

Tambah beliau lagi, Pondok tidak pernah membuat iklan di akhbar-akhbar atau koran-koran dalam mempromosikan kemasukan pelajar.Mungkin kita tertanya-tanya, bagaimana Pondok mendapatkan kemasukan pelajar yang begitu ramai sehingga Pondok terpaksa membuat tapisan tanpa ada satu iklan dan promosi pun yang dibuat.Jawab Pak Kiai, ini semua kerana usaha gigih para pelajar Pondok sendiri dalam mencari teman-teman mereka yang baru untuk mendaftarkan diri sebagai pelajar Pondok Modern Darussalam Gontor.Mereka merasa sangat puas dengan sistem pengajian dan pembelajaran yang diikuti di Pondok dan ingin nikmat kepuasan yang diperolehi itu dikongsikan juga bersama teman-teman yang lain.Maka tidak hairanlah, ramai Alumni Pondok Modern Darussalam Gontor yang menghantar anak-anaknya kembali belajar di sini.

Formula Pak Kiai, daripada kerja keras ini akan membuahkan wibawa, kepercayaan atau pengaruh daripada masyarakat, serta mendatangkan ilmu, rezeki dan juga kuasa.InsyaAllah, sekiranya seseorang telah melakukan kerja dengan keras, akan ada prestasi yang bisa dicapai dalam tempoh lima tahun mendatang.Falsafah juga ada mengatakan yang sekali kita telah bisa kerja keras atau bersunguh-sungguh, selamanya kita akan bisa kerja keras nanti.Antara ciri-ciri khusus Pondok Modern Darussalam Gontor adalah :

1)Pondok telah digazetkan dengan status tanah wakaf.Justeru, keluarga atau keturunan Kiai tiada hak langsung terhadap Pondok kecuali pimpinan Pondok dan keluarga Pondok.Keluarga Pondok di sini diertikan ialah pembantu langsung Pondok.

2)Pondok mempunyai jiwa dan falsafat hidup yang tersendiri.(Moto)

3)Sistem pengajian dan pembelajaran di Pondok menggunakan Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab.Pelajar adalah dilarang sama-sekali untuk menggunakan Bahasa Indonesia dan Bahasa Jawa sepanjang berada di Pondok.

4)Pondok lebih mementingkan konsep pendidikan daripada pengajaran.

5)Pondok menerapkan sistem Muállim.Ditubuhkan kuliyah muállim untuk membantu melahirkan pendidik.Tegas Pak Kiai, pendidik itu bisa menjadi pemimpin, tapi bukan semua pemimpin itu adalah pendidik.

6)Pondok memperkenalkan konsep pentadbiran dan pengurusan secara terbuka.Laporan kegiatan koperasi, kantin atau mana-mana unit usaha (Biro) akan dipaparkan secara terbuka kepada umum.Pak Kiai sendiri juga akan diaudit pengurusannya dan beliau akan melaporkan berapakah jumlah dana atau bajet yang diperolehi dan ke mana ia akan dibelanjakan.Mana-mana pelajar yang berkemampuan tetapi tidak menjelaskan tunggakan yuran tidak akan dibenarkan sama-sekali mengikuti ujian.

7)Falsafah dan Misi Pondok adalah sebuah Pondok Kaderisasi.Pondok Modern Darussalam Gontor bukanlah hanya Pondok pelayanan keinginan masyarakat.Ujar Pak Kiai, kitalah warga Pondok yang akan memimpin masyarakat dan bukan masyarakat yang memimpin dan mengatur kita.Pembinaan peribadi dan diri warga Pondok bukan hanya terbatas kepada pendidik dan pelajarnya sahaja bahkan juga kepada seluruh pekerja atau karyawan Pondok seramai 569 orang (jumlah semasa).Para pekerja atau karyawan Pondok ini wajib mengikuti kuliah pengajian ilmu setiap pagi Sabtu yang dianjurkan oleh Pondok.Seluruh warganya juga perlulah berdisiplin dalam segenap tempat dan masa.

8)Pondok ini adalah sebuah Lembaga Perjuangan dan Pengorbanan.Pak Kiai sangat menekankan untuk warganya memahami erti perjuangan dan pengorbanan yang diinginkan oleh Pondok.Beliau menceritakan kisah dua orang sahabat yang menunaikan solat.Seorang tahu tujuan dia menunaikan solat dan seorang lagi hanya sekadar menunaikan kewajipan.Walaupun aktiviti yang dijalankan itu sama iaitu solat, namun pahala dan pandangan Allah pasti berbeda terhadap tahap solat mereka berdua.

9)Berlaku pemisahan antara hak peribadi dan hak Pondok.Harta milik Pondok tidak boleh dijadikan harta peribadi sendiri.Samalah juga harta peribadi keluarga Pondok (Pembantu langsung Pondok) juga tidak boleh disamakan dengan harta Pondok.

10)Semua pelajar Pondok Modern Darussalam Gontor wajib untuk tinggal di asrama atau kediaman pelajar.Secara zahirnya, kita dapat melihat perbedaan antara mereka yang tinggal di asrama dengan tinggal di rumah sendiri daripada aspek mental, karikter dan kerja.

11)Disiplin antara asas pendirian Pondok.

12)Kerja dilakukan dengan penuh efektif (keberkesanan) dan efisyen (kelancaran).

13)Sesuai dengan Pondok Gontor yang dikenali sebagai Pondok Modern, Pondok bergerak menjadi sebuah intitusi pengajian Islam yang dinamis, sistematik dan progresif.

14)Pondok Modern Darussalam Gontor menggunakan sistem ekonomi proteksi.Menurut Pak Kiai, sistem ekonomi proteksi mempunyai kekuatan yang sangat luar biasa.Pondok memiliki perusahaannya sendiri dengan memiliki 32 unit usaha yang mana-mana masing-masing diuruskan oleh guru dan pelajar sendiri.Daripada perusahaan makan-minum, pembuatan rumah dan pertukangan, percetakan dan semuanya yang berkaitan dengan keperluan urusan kehidupan ada dimiliki oleh Pondok.Toko-toko atau kedai-kedai ini tersebar luas dan menjadi sumber kekuatan ekonomi Pondok.Disamping itu, ia juga sebagai satu jihad ekonomi Pondok dalam memenuhi keperluan dan kehendak masyarakat.

Jelas Pak Kiai, manusia yang mempunyai mental yang tinggi dan karakter yang baik akan berjaya dan sukses dalam hidup.Untuk mencapai tahap sukses dalam hidup, ia tidak hanya bergantung kepada pencapaian akademik semata-mata bahkan lebih daripada itu.

Nantikan sambungan penceritaan terakhir selepas ini..............


Sunday, April 1, 2012

CATATAN UNTUK PONDOK MODERN DARUSSALAM GONTOR (SIRI-2)









Ujar Pak Kiai Haji Syukri Zarkasyi berkali-kali, Pondok ini dibina dengan sepenuh jiwa keikhlasan, kesungguhan dan pengorbanan.Ini semua kerana semata-mata ingin mendapatkan jalan, sistem dan tujuan yang benar.Oleh kerana itu, banyak juga pondok-pondok yang dibina tidak kekal lama kerana tujuan dan niat asal penubuhannya itu yang salah.Antara tindakan utama yang dilakukan oleh pengasas Pondok Modern Darussalam Gontor ini, beliau telah mewakafkan Pondok kepada orang-orang yang mengerti tujuan dan aspirasi pondok.Pak Kiai telah memandang jauh ke hadapan dengan memikirkan kesan yang akan berlaku sekiranya Pondok ini tidak diwakafkan kepada sebuah lembaga atau badan.Barangkali, mungkin akan berlaku perebutan antara anak-anak Kiai sekiranya ia menjadi harta warisan keluarga.

Berbicara tentang perlantikan pimpinan pondok, ia ditentukan oleh Badan Wakaf Pondok Modern Gontor tanpa ada campur tangan pihak luar atau keluarga Kiai sendiri.Kepimpinan yang dipilih adalah yang benar-benar ikhlas dan ingin berjuang menjaga pondok.Kata Pak Kiai Haji Syukri lagi, beliau sendiri sebanyak 5 kali sehari mengelilingi Pondok untuk melihat pergerakan pondok dan kebajikan pelajar.Laporan pengurusan Pondok juga akan didedahkan secara terbuka kepada semua warga Pondok demi ketelusan dan keadilan semua.


Sistem pengajian Pondok Modern Darussalam Gontor ini berteraskan kepada enam aspek utama iaitu :

1)Pengajaran dan Pengarahan

2)Penugasan

3)Pelatihan

4)Pengawasan

5)Pembiasaan

6)Uswatun Hasanah


Pertama adalah sistem yang berteraskan pengajaran dan pengarahan.Walau apapun sistem pengajian yang ada di mana-mana sekalipun, ia pasti akan menekankan kepada aspek pengajaran dan pengarahan.Di mana, pendidik dan pelajar itu perlu saling berkomunikasi antara satu sama-lain untuk saling memberi dan menerima arahan.Contohnya adalah pengajaran dan pengarahan dalam bersukan dan berpersatuan.Para pelajar Pondok diarahkan untuk melibatkan diri dengan aktiviti sukan dan persatuan agar mereka dapat memanfaatkan masa sepanjang berada di Pondok dengan sebaik mungkin.Sekiranya ada waktu yang terluang begitu sahaja, dibimbangi akan menyebabkan para pelajar akan terlibat dengan aktiviti yang tidak berfaedah.Berdasarkan pemerhatian saya selama di sini, para pelajar Pondok ini sentiasa bersemangat dan cemerlang dalam apa sahaja sekalipun bidang yang disertai termasuklah sukan dan olahraga.Hatta, kadet-kadet pelajar seperti Pengakap juga ditubuhkan di sini dan ia bergerak dengan aktif sekali.Kawat mereka juga jauh lebih kemas dan tersusun daripada pasukan kadet kita.


Ke dua, sistem pengajian di Pondok ini juga menerapkan aspek penugasan.Tugas-tugas seperti pengurusan dan pentadbiran itu diberikan dan diamanahkan kepada para pelajar Pondok sendiri.Mereka ini ada yang dilantik menjadi Pengurus unit-unit dan sektor, sekretariat, penjaga koperasi pelajar, wartawan dan pelbagai tugas-tugas yang lain.Saya agak terkejut ketika kali pertama berkunjung ke pondok ini tatkala dibawa melawat oleh penyelia pembimbing.Kelihatan pelajar pondok sendiri yang memandu lori kecil untuk mengangkut peralatan meja dan kerusi dan dibantu oleh teman sepondok yang lain.Saya difahamkan , mereka sedang melakukan persiapan dan persediaan sempena Festival Kokurikulum dan Sukan Tahunan.Subhanallah, luar biasa penglibatan pelajar ini dalam menggerakkan pondok selari dengan Panca Jiwa Pondok iaitu kemandirian (berdikari).


"Antara azimat yang digenggam oleh warga Pondok ialah Man jadda wa jada"


Ayuh kita melihat pula kepada aspek yang ke tiga yang diterapkan dalam sistem pengajian di sini iaitu Pelatihan.Para pelajar dilatih untuk melibatkan diri dalam aktiviti sukan seperti bola sepak dan sukan-sukan berprestij yang lain.Tinggi sungguh harapan Pak Kiai ketika menerangkan kepada kami bahawa beliau mahu melihat suatu hari nanti Pondok berjaya melahirkan pelapis-pelapis pemain bola sepak negara.Selain itu, bagi pelajar yang berbakat dan berminat untuk bermain muzik, telah disediakan juga sebuah studio muzik mini untuk mereka mengadakan latihan.Bakat-bakat menjadi pemidato yang hebat bukan hanya dalam bahasa Indonesia, bahkan Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab juga dicungkil dan diberikan latihan serta bimbingan yang komprehensif serta berkala.Yang hebatnya, mereka dilarang sama-sekali untuk bercakap dalam Bahasa Indonesia apatah lagi Bahasa Jawa di sini dan telah diwajibkan untuk menggunakan Bahasa Arab dan Bahasa Inggeris.Sistem latihan berbahasa asing seperti ini telah diterapkan sejak di usia belasan tahun lagi dan mereka akan diberikan hukuman sekiranya melanggari peraturan yang telah ditetapkan oleh Pondok.Apa saya sangat saya kagum sekali, mereka sangat fasih berbahasa Inggeris selain Bahasa Arab dan di setiap penjuru pondok juga akan diletakkan papan tanda menggunakan tulisan Bahasa Inggeris.Saya juga pernah berpeluang melihat pertandingan teater Bahasa Inggeris yang diadakan di sini dan ia sangat luar biasa sekali.Tentang muzik pula, kata penyelia pembimbing, Pak Kiai sendiri mempunyai kebolehan bermain alat muzik.Pernah dalam satu majlis tahunan yang diadakan di Pondok, Pak Kiai tampil melakukan persembahan bermain gitar.


Selain itu, sistem pengajian Pondok Modern ini juga memerlukan Pengawalan.Para pelajar ini diselia dan dikawal oleh teman-teman sepondok mereka sendiri.Pelajar-pelajar senior yang akan bertindak sebagai pembimbing dan pengawal kepada adik-adik baru di bawahnya.Mereka ini mempunyai kuasa untuk memberikan nasihat, memarahi serta memberikan hukuman sekiranya perlu.Jika pelajar senior itu sendiri melanggar peraturan, maka mereka akan dikawal dan dihukum oleh para ustaz pula.Jangan terkejut jika saya katakan Pak-pak Ustaz yang membimbing dan mengajar disini masih sebaya dengan kita dan merupakan mahasiswa universiti.Namun begitu, ilmu Ustaz-ustaz ini sangat luar biasa jauh daripada tahap umur kematangan mereka.Ustaz-ustaz ini sebenarnya masih belajar di Institut Studi Islam Darussalam sebuah Universiti Islam yang dimiliki oleh Lembaga Pondok.Keadaan dan suasana pengajaran seperti inilah menjadikan Pondok ini sangat luar biasa dan terbukti telah berjaya melahirkan pelajar yang cemerlang dunia dan akhirat.Dalam menjelaskan apakah itu erti pengawalan, Pak Kiai mengatakan ia adalah satu proses pelajar di mana pelajar akan dinasihati jika melakukan kesalahan, dimarahi jika perlu, dipuji sekiranya telah menunjukkan keteladanan yang baik dan akan disokong (support) sekiranya mereka memerlukan sokongan.


Sistem pengajian pondok yang ke lima pula ialah ia memerlukan kepada Pembiasaan.Suasana seperti kerja keras, doa keras, sabar keras dan solat keras sudah menjadi kebiasaan atau sebati kepada warga Pondok.Keras yang diertikan di sini ialah melakukan sesuatu dengan bersungguh-sungguh dan penuh bersemangat.Para pelajar juga perlu biasa dengan amalan-amalan sunat seperti Solat Sunat Rawatib kerana bagi Pondok, pendidikan itu memerlukan kepada pembiasaan.Apabila sudah menjadi kebiasaan dalam amalan seharian, I.Allah ini akan menjadi ikutan kepada masyarakat sekeliling.


Sistem pengajian yang terakhir di Pondok Modern ini ialah “Uswatun Hasanah” atau ikutan yang baik.Warga Pondok bermula daripada Pak Kiai selaku pemimpin Pondok perlu menunjukkan teladan dan ikutan yang baik kepada semua.Produktiviti dan usaha yang besar dicipta sebagai satu bukti keberhasilan daripada sistem pengajian Pondok.Misalnya, Pak Kiai sendiri sudah pun menunjukkan produktiviti yang sangat bagus sekali.Bermula tahun 1995, beliau bersama kepimpinan Pondok telah membina Gontor 2, diikuti pula dengan pembinaan Institut Studi Islam Darussalam dan seterusnya Gontor 3 dan Gontor 4.Kini, sudah berbelas-belas Pondok Modern Gontor yang telah dbina di setiap negeri dan wilayah di Indonesia.Kehidupan Pak Kiai juga semakin sibuk dengan beliau sendiri akan turun melawat dan mengunjungi Pondok-Pondok cawangan yang telah ditubuhkan.Bukan itu sahaja, Pak Kiai juga sudah mampu menarik nafas lega apabila kerja membina pusat-pusat pengajian seperti Pondok yang dilakukan olehnya ini telah diteruskan pula oleh Alumni-alumni Pelajar Pondok Modern Darussalam Gontor setelah mereka pulang ke kampung menamatkan pengajian masing-masing.

Nantikan sambungannya selepas ini..............