Saturday, September 22, 2012

KITA TIDAK SEMPURNA, MAKA TAUBAT PENAWARNYA


Ada lima perkara yang perlu dilakukan secara cepat iaitu menguburkan atau mengebumikan jenazah, mengahwinkan anak perempuan yang telah bersedia, membayar hutang, menghidangkan makanan kepada musafir yang bertamu ke rumah dan akhirnya adalah bertaubat apabila melakukan dosa.Taubat berasal daripada kalimah Taba, yatubu yang ertinya kembali daripada apa yang dilarang oeh Allah atau pulang kepada perintah Allah.Nabi pernah bersabda bahawa setiap manusia atau anak Adam itu pasti ada dosa.Dan sebaik-baik orang berdosa adalah mereka yang bertaubat kepada Allah.Tiada seorang pun yang  sempurna tanpa sebarang dosa dan kesalahan.Cuma, orang yang paling baik itu apabila telah melakukan dosa, dia akan segera ingat kepada Allah dan bertaubat atas dosa yang dilakukan.

Iblis telah berjanji kepada Allah bahawa dia akan mengganggu kita semua anak Adam selagi mana roh berada dalam jasad.Iblis itu akan menarik ke tempat dosa dan maksiat.Namun Allah membalas kepada Iblis dengan mengatakan walaupun kamu Iblis mengganggu manusia, Aku Allah akan tetap memberikan ampun kepada mereka hambaKu.


Taubat itu antara lima perkara yang perlu disegerakan.Keluar segera daripada kepompang dosa dan maksiat dan dekati ulama' dan majlis ilmu.


Syarat taubat itu pertamanya menyesal daripada dosa yang telah dilakukan.Menyesal itu bukan bermakna puas daripada dosa yang telah dilakukan tapi menyesal sekali atas perbuatan terkutuk itu.Puas dan menyesal itu berbeza isunya.Setelah menyesal, dia berjanji pula tidak akan mengulangi perbuatan dosa itu.Jangan hanya 'taubat sambal lada'.Kita semua saya yakin pernah makan sambal lada.Apabila telah termakan sambal lada yang teramat pedas, makan kita pun berjanji tidak akan makan lagi sambal yang pedas itu.Namun esoknya, makan lagi sambal itu.Hehehe...Mungkin kita pernah melakukan taubat sambal ini.Maka, taubat yang dituntut itu bukannya taubat sambal lada.Kemudian, syarat taubat yang lain itu adalah meninggalkan perbuatan dosa itu selama-lamanya.Jika ia melibatkan kewajipan dengan Allah dan manusia, maka tunaikanlah kewajipan yang terhutang itu.Akhirnya, sekiranya bersangkutan dengan manusia, maka mohonlah halal dan kemaafan dengan mereka yang telah kita zalami itu.

Taubat itu boleh dimulakan dengan sekecil-kecil amalan iaitu istighfar.Banyakkan ucapan istighfar dan memohon ampun kepada Allah.Nabi yang merupakan manusia yang paling bersih dan telah dijamin keampunan oleh Allah pun beristighfar 100X sehari.Kita hambaNya yang dosa setinggi bukit, tidakkah kita mahu beristighfar seperti baginda Nabi bahkan lebih lagi?Sedarlah, kita akan dihancurkan iblis tatkala berasa senang dan gembira dengan melakukan dosa.Tapi, dengan istighfar dan taubat, kita pula dapat menghancurkan iblis itu.Maka bersama kita bersatu menghancur iblis dengan kalimah istighfar ini.

Iblis itu menyerang kita daripada segenap ruang.Bila kita merasa hebat dan sempurna, maka kita telah terkena perangkap iblis.Bila kita merasa orang lain silap dan kita sahaja yang benar, maka iblis telah berjaya merasuk kita.Namun, dengan taubat dan istighfar, kita dapat melepaskan diri daripada perangkap itu.Selain itu, iblis juga akan menyerang kita dengan salah guna mulut yang dikurniakan, iri hati dan dengki, takabur, ujub dan mencari kelemahan orang lain.Jangan sesekali diseksa oleh perasaan kita sendiri.Mereka yang kita umpat dan iri hati tidak terasa seksa dengan permainan hati ini, namun yang terseksa adalah diri kita sendiri.Biarlah semua penyakit hati itu dihapuskan dengan istighafar dan taubat.Sejauh mana besarnya dosa itu, jangan lupa untuk bermohon ampun kepada Allah.Setelah taubat, maka baik sangkalah kepada Allah bahawa Dia Allah mengampunkannya.



Dengan bertemu para ulama', InsyaAllah mereka ada ubat dan penawarnya bagi hati yang kotor.


Tidaklah taubat itu dimaknakan tidak mahu bergaul dengan orang lain.Bergaul itu harus diteruskan cuma menghindari daripada terjebak dengan perbuatan maksiat dan dosa sahaja.Tugas utama setelah taubat itu, bersama kita bersiap menuju kematian dan hari kiamat.Saudaraku, orang yang bersiap sedia sebelum dipukul itu menjadi kurang sakitnya daripada yang tidak bersiap apa-apa.Kalaupun terasa sakit, kita sudah menyiapkan ubat untuk merawatnya.Maka, dosa itu juga ibarat penyakit.Penyakit barah yang akan selalu mengganggu hidup kita.Untuk merawatnya, maka taubat dan istighfar adalah ubatnya.Lihat sahaja kaca cermin tingkap bilik kita itupun akan bertambah kotor sekiranya kita tidak cuba mengelapnya setiap hari.Maka diri kita itu lebih-lebih lagi perlu digilap.Setelah taubat, maka dekatilah majlis ilmu dan para ulama'.Dan mereka para ulama' ini akan sentiasa menjaga jadual pemberian ubat dan penawar untuk kita setiap masa.

Orang yang bertaubat itu akan kelihatan tanda-tanda zahir dalam dirinya.Jika majlis ilmu dia dekati, tingkat ibadahnya juga bertambah, pakaian dan perhiasan lahiriah berubah, ada melakukan perubahan terhadap pergaulan yang sebelumnya, dan meredhai serta memaafkan musuhnya, maka dia telah bertaubat dengan sebenar-benarnya.Kalau mengganggap dengan istighfar sahaja sudah selesai taubat, sesugguhnya itu belum dikatakan taubat lagi.Oleh itu, kita akan melihat apabila ada seorang artis atau selebriti telah bertaubat dan berhijrah, dia akan mula menukar pakaian dan perhiasan dirinya kepada yang diredhai Allah.Itu bagi saya sudah menampakkan tanda-tanda dia telah bertaubat.Soal hati itu ikhlas atau tidak dia melakukan perubahan adalah urusan Allah dengannya.Selain itu, lingkungan dan pergaulan juga sangat besar pengaruhnya kepada orang yang telah bertaubat.Tinggalkan segera majlis maksiat yang sebelumnya dan dekatilah mereka yang bisa membimbing kita.

Allah itu Maha Kaya.Bila Allah mahu mengampunkan kita, tiada siapa yang bisa menghalangnya.....



InsyaAllah saya akan hadir ke program ini sebagai persediaan menuju hari kematian.
30 September ini di Universiti Sains Islam Malaysia, Nilai Jam 2 petang.

Friday, September 21, 2012

JENAYAH ZINA & BUANG BAYI : DI MANAKAH POSISI KITA?


Saban hari, di dada-dada akhbar atau di mana sahaja, kita seringkali dikejutkan dengan kes buang bayi.Sehinggakan ada sesetengah pejuang hak asasi mencadangkan supaya diwujudkan tong sampah yang ke-4 iaitu untuk bayi.Kalau sudah ada tong untuk kaca, bahan bercetak dan bahan basah, maka tong ke-4 untuk buang bayi perlu diadakan.Sampai tahap itu orang kita berfikir kerana memikirkan parahnya masyarakat Malaysia kita hari ini.Asasnya, jenayah zina dan buang bayi ini puncanya apabila kita telah hilang asas akidah di dalam diri.Sibuk mengejar pembangunan material dan fizikal sehingga terlupa pembangunan jiwa dan rohani.Astaghfirullah al a'zim.Moga Allah melindungi kita daripada penyakit rohani ini.

Boleh dikatakan setiap hari ada sahaja kes buang bayi dan zina ini.Kita tidak boleh menyalahkan mereka sebulatnya kerana nafsu ini sudah lama wujud bahkan sejak zaman Nabi Adam lagi.Cuma, bagimana manusia menjaga dan mengawalnya sahaja agar selari dengan Islam.Bila bicara soal Islam ini, jangan hanya menyerahkan kepada para ustadz dan ustadzah kita sahaja.Tugas membentuk peribadi Islam bermula dengan diri kita sendiri, seterusnya keluarga, masyarakat dan akhirnya negara.Kalau kita sebagai ibu bapa atau ahli keluarga sendiri sibuk dengan urusan masing-masing, maka tidak hairanlah jenayah ini membarah dalam masyarakat kita.Jangan mudah merasa selesa dengan statistik jumlah pembuangan bayi yang ada kerana boleh jadi ahli keluarga kita pula bakal menjadi penyumbangnya.Semuanya itu tidak mustahil dengan kuasa Allah.



(Keratan Akhbar)



(Statistik yang hanya sempat dicatatkan oleh pihak berkuasa)


Masalah zina dan buang bayi ini berkait rapat dengan nafsu.Anak-anak muda itu yang paling banyak dugaan dan cabarannya.Kata orang,zaman muda itu hanya sekali.Rugi kalau tidak dihabiskan dengan hiburan dan kesenangan.Oleh kerana itu, maka tersilap langkah jadinya.Remaja kita lebih suka berpeleseran di tempat hiburan daripada ke masjid.Lebih ramai menjadi penonton setia Akademi Fantasia daripada Akademi Al Quran dan Imam Muda.Ke mana hala tuju remaja dan anak muda kita sebenarnya?Kerana asyik dengan jiwa yang segar, mereka lupa ada saham yang harus disumbangkan untuk Islam.Bimbang saya memikirkan keadaan remaja dan anak muda kita hari ini.

Hari ini, berapa ramai remaja wanita kita sanggup menggadai maruah diri semata-mata mendapatkan duit top up dan mahu menjelaskan bayaran bil internet bulanan.Hanya kerana RM10,RM 20 itu, mereka sanggup melacurkan diri.Saya tidak bercakap kosong kerana sudah banyak kes yang dilaporkan media hatta melibatkan mahasiswa yang berpelajaran.Sekalipun tidak sampai ke tahap berzina, memperdagangkan atau menayangkan tubuh badan untuk sentuhan nafsu lelaki yang bukan muhrim itu sudah Haram.Kita pula tidak boleh menyalahkan mereka ini  secara total kerana sesungguhnya tiada orang yang hadir memberikan bimbingan di saat memerlukan.Satu pertanyaan di sini, di manakah posisi dan peranan kita dalam isu ini?Masalah masyarakat kita hari ini, kalau ada sahaja perempuan yang berisi sedikit, terus mengatakan dia mengandung.Kalau ada remaja perempuan yang pakai tudung labuh, mula mengumpat dia nak sembunyikan kandungan anak luar nikah.Sempit dan kolot sungguh pemikiran kita.Setelah itu, mulalah menjauhkan diri daripada mereka dengan harapan penyakit zina tidak berjangkit kepada anak cucu sendiri.Lebih parah lagi bila ibu bapa sendiri yang tidak menghiraukannya.Astaghfirullah al a'zim.Mereka ini perlukan tunjuk ajar dan bimbingan kita.Ke mana lagi hendak dituju kalau tidak kepada kita.Oleh kerana itu, ada sahaja bayi yang dibuang, dicampakkan, dihanyutkan dan sebagainya.Hatta lebih teruk lagi, mereka remaja Islam mencari suaka daripada gereja dan pihak yang tidak sepatutnya sehingga menggadaikan agama semata-mata hanya mahu mendapatkan mendapat belas ihsan.Bila berlaku begini, salah siapa sebenarnya?Tepuk dada,tanya diri masing-masing.



(Keratan Akhbar)



(Keratan Akhbar)


Kalau dahulu mungkin kita dapat tidur dengan lena kerana jika ada kes buang bayi atau zina pun, biasanya dari  negeri jiran atau kampung sebelah.Namun kini, kes tersebut sudah ada di tepi rumah kita bahkan mungkin ahli keluarga dan waris terdekat sendiri.Dimanakah akidah kita semua dalam menangani isu ini?Adakah kita mampu tidur dengan lena sedangkan jiran terdekat dibebani jenayah ini?Seorang Mukmin itu tidak mampu tidur dengan lena kerana memikirkan masalah ummat yang berlaku disekelilingnya.Saya nampak, penyelesaian yang terbaik dalam isu ini adalah peranan ibu bapa dan keluarga untuk membendung daripada awal.Saya yakin ibu bapa tahu simptom-simptom gejala zina dan buang bayi ini kerana mereka juga asal jiwa muda remaja seperti anaknya.Apa yang anak-anaknya cuba lakukan, dia sedari awal lagi telah melakukan.Kawallah anak-anak bermula daripada rumah lagi.

Dalam bab pernikahan pula, ibu bapa harus memudahkannya.Jangan menyusahkan dan memberatkan nikah itu.Bermula daripada soal memilih jodoh sehingga majlis kahwin harus dimudahkan.Ada ibu bapa yang terlalu mengejar kedudukan sehinggakan kerjaya bakal menantu pun mahu ditentukan.Walhal, yang menikahnya bukan dia tapi anaknya.Maka, anak yang asalnya mahu bernikah mula mengambil jalan yang pantas dengan memilih pergaulan dan seks bebas.Bila tiada restu dari ibu bapa, zina adalah jalannya.Ingatlah kepada firman Allah bahawa "Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada api neraka".

Wallahu a'lam.Kami berlindung denganMu Allah daripada kepanasan api neraka.

'JAUHI ZINA, DEKATI PERNIKAHAN'

Thursday, September 20, 2012

MENCARI JODOH YANG DIANJUR NABI


Apabila seseorang igin mendirikan rumah, banyak plihan dan perimbangan yang perlu dibuat.Dari lokasi tempat yang ingin didirikan rumah hinggalah kos yang perlu disediakan.Demikian jugalah dengan bagaimana kita ingin mendirikan rumah tangga.Jodoh yang bagaimana yang perlu dipilih untuk bersama kita membina rumah tangga.Adakah jodoh itu akan bersama kita membina sebuah syurga atau neraka rumah tangga.

Cinta itu harus dijaga dengan rapi.Jangan biarkan ia jatuh ke tempat yang tidak sepatutnya kerana cinta  tidak akan tumbuh di tanah yang gersang.Cinta itu akan mendatangkan semangat dan tenaga buat kita.Jarang sekali ia akan melemahkan dan menjatuhkan kita.Kecuali sekiranya cinta itu diberikan kepada yang tidak sepatutnya.Oleh itu, cinta itu harus disalurkan dengan nilai-nilai agama.Kerana apa-apa sahaja yang disalurkan dengan nilai agama, semuanya akan menjadi lebih indah dan segar.

Sekiranya telah bertemu cinta, semuanya akan indah.Buktinya bila telah jatuh cinta, semuanya sanggup kita hadapi.Lelah tidak terasa.Penat pun tidak terasa.Kata orang, dengan cinta itu akan membuat kita sanggup berkorban apa sahaja.Apa yang tidak mampu semunya akan jadi mampu dengan cinta.Samalah juga bila telah jatuh cinta dengan agama.Bila telah bercinta dengan agama, maka segala harta, pangkat, kedudukan dan segalanya akan kita korbankan untuk agama.Lihat sahaja pejuang-pejuang agama dan kader-kader dakwah itu.Mereka sanggup melakukan apa sahaja untuk agama yang dicintai.



Bekas yang bersih akan mengalirkan air yang bersih



Rumah yang kecil dan usang ini menjadi cantik apabila berada di tempat yang indah.


Saya ada mendengar orang-orang alim atau para ustaz kita berbicara tentang cinta dan memilih jodoh ini.Nabi pun ada mengajar kita supaya pilihlah jodoh kerana kecantikan, harta, keturunan, dan agama.Dan utamakanlah agama atau nilai akhlak yang dimiliki.Jangan hanya memilih jodoh kerana kecantikan sahaja kerana kecantikan itu boleh jadi akan hilang.Yang muda itu akan jadi tua.Yang ramping bisa jadi berisi.Kalau dipilih jodoh itu hanya kerana harta pula, dikhuatiri harta itu akan menjadikan dia sombong dan angkuh.Ramai lelaki di luar sana menjadi dayus kerana wanita yang dikahwini jauh lebih berpangkat dan berharta daripadanya.Pesan guru saya selalu, jangan tertipu dengan penampilan kerana itu bukan keaslian.

Memilih jodoh itu jangan diremehkan tapi jangan disulitkan pula.Saya hanya mampu berbicara tapi tidak mampu lagi melaksanakannya.Kita harus memilih juga yang cantik tapi jangan hanya cantik semata-mata.Cantik itu penting kerana dengannya kita akan bersama selamanya.Kata ustaz-ustaz, barulah kita akan melekat di rumah kalau isteri itu cantik bak bidadari.Hehehehe...Moga kita mendapat jodoh seperti itu.Hendaknya kecantikan rupa itu diiringi dengan kecantikan budi.Kecantikan budi dan agama itu akan menjaga kehormatan dan kecantikan dirinya.

Hati-hati dengan mencari jodoh yang kaya kerana dibimbangi kayanya itu menjadikan dia sombong.Takut-takut, yang memimpin keluarga bukan kita tapi dia.Namun, kalau jodoh yang kaya itu memiliki iman dan akhlak yang tinggi, InsyaAllah kita akan selamat dan bahagia.Kita ini ada harga diri.Jangan digadai dengan harta yang sedikit itu.Harta semata-mata bukan jaminan menjadikan kita bahagia.Ramai orang miskin yang kaya, dan tidak sedikit orang kaya yang miskin.Ertinya, ramai orang yang miskin harta itu tapi kaya budi.Dan ramai juga yang kaya harta tapi miskin budi.

Soal keturunan pula. ada sahaja anak ustaz menjadi pencuri.Anak pencuri pula menjadi ustaz.Iman itu tidak diwarisi tapi ia perlu dicari.Memang nabi menganjurkan kita memilih jodoh daripada keturunan yang baik, namun yang lebih penting jodoh itu sendiri yang baik.Kalau hanya keturunan yang baik namun jodoh itu sendiri tidak baik, maka tiada gunanya buat kita.Kebaikan dan kebesaran pangkat yang dimiliki oleh keluarganya belum tentu akan diwarisi oleh dia.Nabi menyuruh kita mencari jodoh daripada keturunan yang baik dengan harapan darah dan benih yang baik itu akan mengalir dalam dirinya.

Budak yang hitam legam tapi beriman lebih mulia dari seorang yang cantik rupawan tapi kafir dan tidak berakhlak.

Wednesday, September 19, 2012

CANTIK RUPA CANTIK BUDI



Oki Setiana Dewi-(Gambar Hiasan)


Ingatkah kita kepada kisah Nabi Yusuf Alaihissalam dan Zulaikha.Zulaikha yang asalnya merupakan ibu angkat kepada Nabi Yusuf telah mula jatuh hati kepada baginda tatkala melihat rupa dan budi baginda.SubhanAllah, besar sungguh kesan keindahan rupa paras dan budi.Ramai yang mengimpikan rupa paras yang indah dan agak terlupa mengimpikan keindahan akhlak dan budi.Dikisahkan bahawa Nabi Yusuf juga mempunyai hati kepada Zulaikha tetapi kerana tingginya akhlak dan hormat baginda kepada golongan wanita serta kuatnya iman baginda, akhirnya Nabi Yusuf dipelihara oleh Allah daripada dugaan itu.

Saya pilih yang cantik rupa dan cantik budi.Kalau cantik rupa sahaja tapi akhlaknya jelek, ia hanyalah sia-sia.Oleh itu, cantik rupa dan cantik budi ini harus bersama dan tidak boleh dipisahkan.

Satu perkara yang harus diingat.Cantik rupa itu adalah reletif dan subjektif.Mungkin bagi saya cantik, namun bagi anda tidak cantik.Boleh jadi juga, bagi anda cantik,tapi tidak bagi saya.Oleh itu, kita sentiasa melihat pasangan muda yang sedang asyik bercinta seperti tidak sesuai atau tidak cocok sahaja.Alasannya kerana cantik itu tergantung kepada mata-mata yang memandangnya.InsyaAllah, kalau mata itu kepunyaan orang yang beriman, Allah akan memelihara mata itu dan menunjukkan siapa yang cantik sebenarnya.Saya bermohon kepada Allah agar saya dan teman-teman yang membaca tulisan ini dipelihara matanya dengan hidayah dan rahmat Allah.

Tuesday, September 18, 2012

BERBAHAGIALAH MEREKA YANG MENJADI MUSUH SYAITAN


Iblis yang mana bala tenteranya adalah syaitan-syaitan telah lama mengibarkan bendera dan semboyang peperangan terhadap kita anak cucu Nabi Adam.Dia Iblis telah berjanji akan mengganggu kita walau di mana sahaja kita berada.Iblis itu jelas dinyatakan al-Quran sebagai musuh kita dan akan mengganggu kita agar tergelincir daripada jalan menuju Allah.Para Nabi adalah musuh utama syaitan ini.Bagi mereka, yang mana rapat dengan Allah itulah musuh mereka.Dan yang mana jauh dengan Allah, itulah teman mereka.Sedarlah temanku semua, syaitan itu jelas musuh kita sehingga ke hari kiamat.Janganlah sekali-kali kita menghulur tangan untuk berjabat mesra dengan mereka.

Buat pejuang-pejuang dakwah, anda itu sangat dibenci oleh syaitan.Anda antara musuh-musuh utama mereka.Berjaga-jagalah dengan ujian yang datang dan berbahagialah dengan balasan Allah di akhirat.Sifirnya, jika manusia itu dekat dengan Allah, makin jauh dia dengan syaitan.Dan makin jauh manusia dengan Allah, maka makin dekat manusia itu dengan syaitan.Selain itu, pemimpin yang adil itu juga merupakan musuh syaitan.Pemimpin yang adil mengisi rakyatnya dengan pembangunan rohani selain daripada pembangunan material.Mereka tidak hanya mengisi rakyatnya dengan jambatan yang indah,  dan bangunan yang tinggi semata-mata.Tapi mereka pemimpin yang adil itu mengurus jiwa-jiwa rakyatnya agar dekat dengan Allah dan jauh dengan syaitan.

Bagi orang yang alim pula, mereka ini memberi fatwa selaras dengan hukum Allah  dan bukan selari dengan hawa nafsu mereka.Orang alim itu mempunyai bakat samada untuk jadi pemimpin yang soleh atau pengampu kepada pemimpin.Jujurlah dengan ilmu dan bakat yang Allah kurniakan.Seharusnya kita ingat, nikmat beragama yang diberikan itu adalah untuk menyemai benih-benih kecintaan kepada Allah.Lingkungan yang baik akan mempengaruhi orang-orang yang beragama itu.Kalau mereka berada dengan para pencuri dan perompak, dibimbangi mereka juga akan tergolong sama.Nauzubillah minzalik.......Setiap kita ini dilahirkan dalam keadaan menangis dan manusia disekeliling pula gembira.Biarlah di satu saat, kita bisa pergi dalam keadaan gembira, tapi mereka pula yang menangis.



Janganlah mengikat ilmu seperti menjadi burung-burung plastik yang tidak bisa terbang ke mana-mana

Musuh syaitan yang lain pula adalah orang kaya yang baik hati dan tidak sombong.Tidak sombong dengan kekayaan harta, pangkat, kedudukan yang dimiliki olehnya.Semakin kaya dia, semakin dekat dia dengan Allah.Berbahagialah orang kaya seperti ini di hadapan Allah kelak.Namun, amat celaka mereka yang miskin tapi sombong dan lupa Allah.Sudahlah miskin lagi papa, namun sombong pula.Astghfirullah!!Orang kaya yang rendah hati itu dimusuhi syaitan, dicintai Allah, dan disayangi Rasul.Mereka ini sedar bahawa kekayaan itu hanyalah nikmat sementara yang dipinjamkan Allah.Semuanya itu milik Allah dan mereka hanyalah pemegang amanah sahaja.Setiap itu semua akan dipersoalkan Allah di padang mahsyar nanti.Termasuk juga musuh syaitan itu adalah orang kaya ilmunya namun rendah hati budinya.Tidak menggunakan ilmu untuk menunjuk-nunjuk dalam masyarakat.

Selain para nabi, pemimpin adil dan orang kaya yang rendah hati, musuh syaitan yang lainnya pula adalah peniaga yang jujur.Mereka peniaga itu mencari keuntungan dengan nilai kejujuran yang dimiliki.Mereka tidak tamak dalam mengaut keuntungan sehinggakan menggadaikan kejujuran.Sedarkah kita bahawa dengan kejujuran itu mendatangkan ketenangan dan kesenangan.Ditambah pula dengan rezeki yang ada akan bertambah berkat dan lebih disayangi oleh masyarakat.Saya yakin bahawa RM1 yang didermakan itu akan dibalas RM10 bahkan RM100 oleh Allah.SubhanAllah,dengan kacamata agama, semuanya itu tidak mustahil dengan izin Allah.Biarlah sedikit tapi untung dan berkat.Mungkin ada yang bersoal katanya, kalau peniaga itu jujur, maka tidak akan dapat projek lebih-lebih lagi kalau dia seorang kontraktor.SubhanAllah, yang memberi projek itu Allah bukannya mereka yang berkuasa itu.



Bunga ini tetap setia menguntumkan senyuman walaupun kadang-kadang tidak dipandang mulia

Musuh syaitan yang lain lagi adalah orang khusyuk dalam solat.Masalah solat itu sah atau tidak dengan solat diterima Allah atau tidak itu adalah dua perkara yang berbeza.Jika ditanya solat itu sah atau tidak, semua ustaz boleh memberika jawapan berdasarkan rukun-rukun solat yang ada.Namun begitu, jika ditanya solat itu diterima atau tidak, hanya Allah yang tahu jawabnya.Solat itu merupakan jambatan yang paling efektif untuk berhubung dengan Allah.Oleh kerana itu, syaitan amat memusuhi orang khusyuk dalam solat.Nabi pernah menguji Saidina Ali adakah beliau khusuk dalam solat atau tidak dengan berjanji memberika hadiah serban sekiranya beliau khusyuk.Namun, Saidina Ali yang mulia itu pun masih tidak mampu mencapai nikmat khusyuk yang sebenar.Walaupun demikian,Saidina Ali itu jauh lebih khusyuk jika dibandingkan dengan kita semua.

Moga kita semua bisa menjadi musuh-musuh syaitan ini.Ingatlah, lebih baik menjadi sahabat-sahabat kepada para malaikat daripada menjadi temannya syaitan.Syaitan itu wajib kita imani antara musuh kita yang wajib dijauhi.Tidak kira siapa kita hari ini, ingatlah bahawa kita ini juga hamba Allah.Tugas kita adalah beribadah kepadaNya dan mematuhi segala perintahnya......

MALAYSIA DAN INDONESIA




Bersama seorang ibu muda dan anaknya yang merupakan mangsa letusan Gunung Merapi.

Alhamdulillah, dapat juga saya menulis di laman ini setelah lama bercuti dari dunia blog.Satu perkongsian buat semua.Saya adalah antara produk Malaysia yang dihantar untuk menimba ilmu di Indonesia.Perjalanan saya di Indonesia bermula pada bulan Februari 2012 sehingga Julai 2012 yang lalu.Banyak tempat-tempat yang telah saya jelajahi sepanjang berada di sana bermula dari Surabaya, Malang, Ponorogo, Solo, Yogyakarta, Banjanegara, Magelang, Wonosobo, Garut, Bandung dan banyak lagi.Boleh dikatakan yang seluruh Tanah Jawa telah saya lawati bermula dari Jawa Timur, Jawa Barat dan Jawa Tengah.Kesempatan 5 bulan berada di sana telah memberikan saya peluang untuk mengenali Indonesia, budaya dan  rakyatnya secara dekat.



Di dalam sebuah program misi bantuan untuk mangsa letusan Gunung Merapi.

Secara jujur, sebelum saya berangkat ke Indonesia, saya merasa sedikit gusar apabila melihat berita dimainkan media atau laman sosial berkenaan wujudnya kumpulan-kumpulan tertentu yang tidak senang dengan Malaysia.Alhamdulillah, setelah saya ke sana sendiri, saya merasakan bahawa sebenarnya Malaysia dan Indonesia ini mempunyai hubungan yang sangat akrab.Sentimen-sentimen yang dimainkan oleh segelintir rakyat di Malaysia dan Indonesia berkenaan hubungan yang ada ini tidak menjejaskan langsung jalinan mesra yang telah lama terjalin antara Malaysia dan Indonesia bahkan ia dilihat semakin akrab.



Ibu tua ini walaupun tidak boleh bercakap menggunakan Bahasa Indonesia, namun beliau tetap mesra melayan saya.Ibu ini antara mangsa letusan Gunung Merapi.

Budaya dan adab rakyat Indonesia sebenarnya sangat baik dan jauh sekali daripada apa yang bermain di fikiran kita semua.Saya mengambil contoh dalam bab menerima dan menyambut tetamu.Sepanjang saya berada di sana, saya dilayan seperti seorang VIP daripada kerajaan Malaysia sehinggakan dianggap Duta Pendidikan Malaysia walaupun saya hanyalah pelajar praktikal yang dihantar oleh universiti ke sana.Bermula daripada jabatan kerajaan, pengurusan tertinggi universiti, dan rakyat biasa melayan saya dan teman-teman dengan sangat baik.Saya kadang-kadang ada juga terfikir, bagaimana pula kunjungan mereka ke Malaysia?Adakah kita mampu memberikan layanan yang sama atau lebih baik daripada apa yang telah diberikan ini?

Mungkin saudara dan saudari menganggap bahawa memang patut layanan baik yang diterima kerana saya berada di persekitaran universiti dan akademik.Makanya, mereka ini pasti mempunyai nilai adab dan intelektual yang tinggi.Bagi saya, layanan yang diterima ini bukan hanya layanan rasmi daripada pihak universiti bahkan seluruh pelajarnya dan warga Indonesia itu sendiri.Saya berani mengatakan bahawa saya sangat mengkagumi nilai dan adab seluruh warga Indonesia dalam menyambut tetamu khususnya masyarakat Yogyakarta.


Tidak diketahui ini makanan untuk sesi yang ke berapa ketika berkunjung ke rumah seorang pensyarah.

Bahkan, saya lebih senang dan berani untuk berjalan-jalan di bumi Indonesia daripada negara saya sendiri di Kuala Lumpur.Warga Indonesia seluruhnya sangat menghormati orang Malaysia.Kalaupun ada yang tidak senang dengan Malaysia, namun ia amat sedikit sebenarnya daripada jumlah majoriti rakyat Indonesia yang sekitar 240 juta lebih itu.Jika saudara berkunjung ke rumah pula khususnya warga Yogyakarta, saudara akan dilayan seperti seorang tetamu VIP dengan jamuan dan hidangan yang pelbagai.Budaya mereka ini  apabila ada tetamu datang melawat atau berkunjung, juadah makanan bermula daripada hidangan ringan, berat, sehingga pencuci mulut akan disediakan.Mudahnya yang boleh saya katakan adalah," lepas makan,makan lagi".Bagi yang kuat makan, Indonesia adalah syurga makanan buat mereka.

Dalam soal berkawan dan bersahabat, mereka sangat jujur dan ikhlas dalam perhubungan.Bila telah bersahabat dengan mereka, anda akan berasa senang dengan kejujuran dan keikhlasan yang dipamerkan.Hilang segala kesulitan dan masalah di Indonesia bila bersahabat dengannya.Saya sendiri mempunyai ramai teman dan kenalan di Indonesia dan sehingga hari ini, kami masih saling berhubung.

Tuntasnya, apa yang boleh saya simpulkan di sini, Malaysia dan Indonesia sebenarnya mempunyai hubungan yang sangat baik dan mesra.Tiada isu yang dapat memisahkan kita dan mereka.

Abdullah Long

 *InsyaAllah saya akan berkunjung lagi ke Indonesia.Mohon doanya daripada teman-teman semua.