Wednesday, September 18, 2013

USTAZKU SEBENARNYA LEMBUT


'I will deduct your marks', 'A antum qara'tum?', 'Kathir aw qolil?'. Inilah antara zikir wajib yang diucapkan oleh beliau setiap kali kelas. Jadi, ini menjadikan kami akan mengambil berat subjek Ustaz ini kerana apa tidaknya, kalau datang ke kelas tanpa membuat bacaan, hukuman yang bakal diterima samada berdiri sepanjang kelas atau dihalau keluar.

Setiap kali kelasnya, ada yang rasa takut, nak menangis dan macam-macam lagi. Seandainya kita kata sudah baca pelajaran untuk hari itu, namun kita tidak akan dilepaskan begitu sahaja. Ujian lisan secara langsung akan dijalankan. Bila tidak dapat jawab, maka markah 'carry marks' akan dipotong dan perlu keluar dari kelasnya. Mungkin nampak agak 'keras', namun itulah antara pendidikan terbaik yang pernah aku dan sahabat terima.

Aku masih ingat suatu hari itu kami ditanya samada telah buat bacaan atau tidak sebelum datang ke kelasnya, ketika itu aku turut sama berdiri mengatakan tidak. Kelihatan pada raut wajah ustaz sedikit sedih dan kecewa atas apa yang telah dilakukan oleh kami. Aku sebenarnya hari itu ada membuat bacaan namun rasa amat takut untuk berhadapan apabila diuji tahap bacaan nanti. Dengan wajahnya sedikit sinis memandang kepadaku, aku merasa sangat terpukul dan bersalah dengan apa yang berlaku.

Selesai sahaja kuliah, aku dipanggil untuk berjalan seiringan dengannya. Aku cuma mampu ikut di belakang tunduk hormat dan sangat takut. 'Abdullah, berjalan di tepi saya. Kenapa dengan awak? Awak takut dengan saya? Kenapa awak tak baca?'.' Hmm.. Ustaz, saya sebenarnya baca cuma.. 'Jadi kenapa awak berdiri juga kalau dah baca? Saya hanya psiko sahaja semoga awak semua rajin study'. Beliau terus berlalu sambil menitipkan beberapa bait nasihat.

Ya Allah, kenapa aku perlu takut dengan seorang guru? Guru itu seharusnya perlu didekati dan bukan dijauhi... 

*Semoga Allah merahmati beliau dan memberikan kejayaan untuknya di dunia dan akhirat.

Tuesday, September 10, 2013

AKU DAN SOLAT ASAR


Jahilnya aku ketika itu. Selepas beberapa minggu bergelar pelajar di sebuah sekolah agama di tengah kota, aku mula balik bercuti di kampung. Semangat Minggu Orientasi masih membara waktu itu dan imej sebagai seorang pelajar agama perlu dijaga. Tidak seperti hari-hari sebelum ini, aku melangkahkan kaki ke surau berdekatan untuk menunaikan Solat Fardhu bersama jemaah. Jubah putih selembut warna kapas kupakaikan ke badan dan sedikit lilitan serban memahkota di kepala.

Selepas Solat Asar, masing-masing beransur keluar selepas siap mengaminkan doa dan aku pula bangun meneruskan Solat Ba'diyah Asar. Apa yang bermain di kepala ketika itu, alangkah ruginya mereka tidak mengerjakan Solat Sunat dan aku sebagai pelajar sekolah Agama harus menjadi contoh. Selepas Solat, ramai mata-mata yang memerhati seperi ada sesuatu yang aneh melekat pada badanku. Mereka bertanya khabar dan senyum meninggalkan aku.

Setibanya di rumah, arwah ayah terus menegur, apa yang kamu buat tadi di Surau lambat balik. Aku katakan tunaikan kewajipan Allah Solat Sunat Ba'diyah. Dengan senyum seorang ayah, katanya Solat Sunat Ba'diyah Asar ni tak ada. Yang ada cuma sebelum Asar. Aduh!! Aku merasa seperti ada sesuatu yang terhempap di kepala. Patutlah di surau tadi Pak Cik-Pak Cik itu menjeling manja. Ya Allah, masih banyak yang perlu aku belajar dan betapa ceteknya ilmuku.

Aku kagum dengan cara didikan Pak Cik-Pak Cik itu. Mereka tidak lantas menegur di khalayak ramai bahkan memuji perubahan imej yang dilakukan. Mereka sedar, sebagai budak kampung yang masih comot dan baru nak berjinak dengan surau, aku tidak harus diajar dengan kekerasan. Walaupun mereka itu tidak pernah belajar ilmu Uslub Dakwah yang berkesan, namun pengalaman yang ada itu sangat jauh mematangkan diri.

Wallahu a'lam.

Monday, September 9, 2013

BAHASA ITU MENDATANGKAN REZEKI DAN SAHABAT (2)



Ketika kami sedang asyik berbual, rupa-rupanya ada yang sedang memerhati rapat. Saya tidak kenal beliau tapi beliau seolah-olah 'seseorang' juga dalam masyarakat. Wajahnya pernah saya lihat cuma lupa untuk mengenali siapa beliau sebenarnya. Beliau pun ikut juga berbual sama dan melihat kepada Bahasa Inggeris yang digunakan, sah beliau memang seseorang yang 'terhormat' juga dalam masyarakat.

Saya berkata demikian kerana kalau pakcik biasa, tidak mungkin dapat sefasih beliau dalam berbicara dengan orang asing. Dia bertanya tentang latar belakang pendidikan saya. Saya memperkenalkan diri sebagai mahasiswa tahun akhir di USIM dan sedang menunggu Majlis Konvokesyen. Beliau terus menganggap bahawa saya mengambil jurusan perubatan atau aliran Sains. Dengan senyum, saya katakan bahawa saya merupakan lulusan pengajian agama dan baru sahaja pulang dari Indonesia menjalani latihan praktikal di beberapa buah pondok pesantren dan pusat pengajian di sana.

Jelas kelihatan dari raut mukanya terkejut dan sangkaannya telah meleset. Saya ingatkan awak ambil jurusan perubatan. Biasanya, jarang nak jumpa pelajar agama yang boleh bercakap Bahasa Inggeris seperti awak. Saya diam malu sambil terfikir, "bahasa aku ni masih lemah apatah lagi banyak kesalahan dalam berbicara. Cuma, apa yang aku miliki adalah berani dan yakin sahaja". Dia meneruskan pertanyaan tentang diri saya dan masa depan selepas tamat belajar, saya katakan InsyaAllah ingin menyambung pengajian ke peringkat Master dan PHD.

Kini giliran saya pula untuk berani bertanya tentang siapa dirinya, beliau cuma memperkenalkan diri sebagai orang kampung biasa dan datang ke Kelantan untuk menghadiri undangan majlis perkahwinan sahabat. Setakat itu sahaja perbualan kami dan kami berpisah setelah flight mendarat.

BAHASA ITU MENDATANGKAN REZEKI DAN SAHABAT (1)


Saya masih teringat satu kisah ketika naik flight dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu (KB) suatu masa dulu. Saya duduk di tepi seorang pelancong asing, wanita muda dari Perancis. Saya memperkenalkan diri sebagai mahasiswa tahun akhir dan menunggu saat graduasi dan dia pula bertugas di sebuah syarikat penerbangan di Perancis. Seorang wanita Muslim di dalam sebuah negara yang majoriti rakyatnya menganut agama kristian. Kami bercerita panjang tentang negara masing-masing. Bermula daripada kekuatan ekonomi, pendidikan, sektor pekerjaan hinggalah kehidupan beragama. Dia sebenarnya dalam perjalanan ke Pulau Perhentian di Terengganu. Saya sempat juga mengajak dia bermalam di KB dan mencadangkan beberapa buah tempat untuk dilawati. Kata saya, menariknya Kelantan ini di mana ia diperintah oleh seorang ulama' 'Tok Guru' dan mempunyai pengaruhnya yang sangat luar biasa. Saya kata padanya, tidak sah jika ke Kelantan kalau tidak berkunjung ke Masjid dan teratak Tok Guru MB. 

Selepas beberapa minit berlalu, flight sampai dan kami mengucapkan salam perpisahan. Setelah berlalu, datang seorang wanita lain memperkenalkan diri sebagai adik An Djali dan menyerahkan sekeping wang kertas 50 euro. Saya menolak untuk menerima dan katanya kakaknya ikhlas memberi. Kata kakaknya, kalau kamu menolak, saya sedekahkan kepada ibumu.

SubhanAllah, benarlah kata guru saya bahawa "Bahasa itu Mendatangkan Rezeki dan sahabat". Semakin banyak menguasai bahasa, maka semakin banyak pintu rezeki terbuka buat kita. Setelah itu kami berpisah dan berharap suatu saat akan bertemu kembali...

Tuesday, July 2, 2013

MARHABAN YA RAMADHAN




Tinggal beberapa hari sahaja lagi kita akan memasuki bulan Ramadhan. Ramadhan ibarat sebuah Universiti Terbuka kepada kita semua ummat Nabi Muhammad S.A.W. Tidak ada syarat yang dikenakan untuk kita menjadi pelajar di Universiti Ramadhan. Yang penting, kita perlu ada persiapan fizikal dan mental sahaja agar kita dapat menjalaninya dengan cemerlang. Banyak kelebihan-kelebihan berkenaan bulan Ramadhan ini. Apatah lagi, bulan ini juga datang selepas berlalunya bulan Rejab dan Syaaban yang mulia. Kalau di negara-negara Arab, mereka seolah-olah berpesta bagi menyambut kedatangan bulan Ramadhan. Berbeza pula dengan negara kita yang sibuk berpesta apabila ingin menyambut Hari Raya.

Antara keistimewaan yang dicatatkan berkenaan bulan Ramadhan ini, Allah S.W.T menyatakan bahawa Al-Quran telah diturunkan pada bulan ini. Firman Allah S.W.T yang bermaksud :

"Bulan Ramadhan bulan yang padanya diturunkan Al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan menjadi pembeza ( Di antara yang hak dan yang batil )"
- Surah Al-Baqarah 185 

"Sesungguhnya kami telah menurunkannya ( Al-Quran ) pada malam kemuliaan (Malam Al-Qadr) "
- Surah Al-Isra' 106

Demikian juga, kelihatan secara jelas tujuan disyariatkan bulan Ramadhan kepada kita semua. Allah S.W.T mengfardhukan Ramadhan kepada kita semua agar kita menjadi golongan yang bertaqwa kepadaNya. Allah S.W.T menerangkan seseorang yang berjaya menghadapi bulan Ramadhan akan mencapat darjat Taqwa sesuai dengan Taqwa itu kedudukannya yang terletak di dalam hati. Taqwa lah yang mengawal hati seseorang dan memandunya agar dengannya tidak akan merosakkan pahala puasa. Asasnya, kalau seseorang itu selamat menjalani ibadah puasa selama sebulan dengan mengikuti segala perintah dan meninggalkan segala laraganNya, dia telah berjaya menyematkan Taqwa di hatinya.

Allah S.W.T. ada mencoretkan kepada kita tujuan Ramadhan itu melalui firmannya :

"Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa"
- Surah Al-Baqarah 183

Selain Al-Quran yang menceritakan kelebihan atau fadhilat bulan Ramadhan, terdapat juga hadis-hadis daripada baginda Nabi Muhammad S.A.W. (Shollu a'la Nabi) yang menyebut mengenainya. Antara hadis yang masyhur berkenaan para syaitan akan dirantai sepanjang Ramadhan dan pintu syurga dibuka seluas-luasnya. Sabda Nabi S.A.W yang bermaksud :

"Apabila telah tibanya Ramadhan, dibuka pintu-pintu syurga, 
ditutup segala pintu-pintu neraka dan diikat segala syaitan"
- Riwayat Bukhari, Muslim, Tarmizi, Abu Daud, Nasai'e, Malik, Ahmad dan Baihaqi

Nabi Muhammad S.A.W juga pernah bersabda bahawa Ramadhan akan mengampunkan dosa-dosa kita semua. Sabda baginda yang bermaksud :

"Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan, 
akan diampunkan dosanya yang telah lalu"
- Riwayat Imam Nasai'e, Ibn Majah, Ibn Habban dan Baihaqi

Semoga Allah menjadikan kita semua sebagai hambaNya yang bertaqwa dan memberikan kekuatan kepada kita menghadapi Ramadhan yang akan datang ini. Saya bermohon kepada Allah agar saya dan sahabat-sahabat yang membaca tulisan ini akan diberikan kesihatan untuk menyambut Ramadhan kali ini.

.......Marhaban Ya Ramadhan.......


Thursday, June 27, 2013

POLITIK KITA


Dalam politik macam-macam ada,
Hilang teman hilang saudara;
Di depan bermanis buka,
Di belakang tikam tak kira siapa.

Dia tuduh kamu, kamu tuduh dia,
Yang penting siapa kuat pengaruh dia berkuasa;
Saya betul bukan dia,
Kelabu mata emas disangka suasa.

Lobi bukan cara kita,
Fitnah adu domba bukan juga;
Bila berpencak mula lupa,
Kerana kuasa matlamat utama.

-28 Jun 2013-