Wednesday, September 18, 2013

USTAZKU SEBENARNYA LEMBUT


'I will deduct your marks', 'A antum qara'tum?', 'Kathir aw qolil?'. Inilah antara zikir wajib yang diucapkan oleh beliau setiap kali kelas. Jadi, ini menjadikan kami akan mengambil berat subjek Ustaz ini kerana apa tidaknya, kalau datang ke kelas tanpa membuat bacaan, hukuman yang bakal diterima samada berdiri sepanjang kelas atau dihalau keluar.

Setiap kali kelasnya, ada yang rasa takut, nak menangis dan macam-macam lagi. Seandainya kita kata sudah baca pelajaran untuk hari itu, namun kita tidak akan dilepaskan begitu sahaja. Ujian lisan secara langsung akan dijalankan. Bila tidak dapat jawab, maka markah 'carry marks' akan dipotong dan perlu keluar dari kelasnya. Mungkin nampak agak 'keras', namun itulah antara pendidikan terbaik yang pernah aku dan sahabat terima.

Aku masih ingat suatu hari itu kami ditanya samada telah buat bacaan atau tidak sebelum datang ke kelasnya, ketika itu aku turut sama berdiri mengatakan tidak. Kelihatan pada raut wajah ustaz sedikit sedih dan kecewa atas apa yang telah dilakukan oleh kami. Aku sebenarnya hari itu ada membuat bacaan namun rasa amat takut untuk berhadapan apabila diuji tahap bacaan nanti. Dengan wajahnya sedikit sinis memandang kepadaku, aku merasa sangat terpukul dan bersalah dengan apa yang berlaku.

Selesai sahaja kuliah, aku dipanggil untuk berjalan seiringan dengannya. Aku cuma mampu ikut di belakang tunduk hormat dan sangat takut. 'Abdullah, berjalan di tepi saya. Kenapa dengan awak? Awak takut dengan saya? Kenapa awak tak baca?'.' Hmm.. Ustaz, saya sebenarnya baca cuma.. 'Jadi kenapa awak berdiri juga kalau dah baca? Saya hanya psiko sahaja semoga awak semua rajin study'. Beliau terus berlalu sambil menitipkan beberapa bait nasihat.

Ya Allah, kenapa aku perlu takut dengan seorang guru? Guru itu seharusnya perlu didekati dan bukan dijauhi... 

*Semoga Allah merahmati beliau dan memberikan kejayaan untuknya di dunia dan akhirat.

Tuesday, September 10, 2013

AKU DAN SOLAT ASAR


Jahilnya aku ketika itu. Selepas beberapa minggu bergelar pelajar di sebuah sekolah agama di tengah kota, aku mula balik bercuti di kampung. Semangat Minggu Orientasi masih membara waktu itu dan imej sebagai seorang pelajar agama perlu dijaga. Tidak seperti hari-hari sebelum ini, aku melangkahkan kaki ke surau berdekatan untuk menunaikan Solat Fardhu bersama jemaah. Jubah putih selembut warna kapas kupakaikan ke badan dan sedikit lilitan serban memahkota di kepala.

Selepas Solat Asar, masing-masing beransur keluar selepas siap mengaminkan doa dan aku pula bangun meneruskan Solat Ba'diyah Asar. Apa yang bermain di kepala ketika itu, alangkah ruginya mereka tidak mengerjakan Solat Sunat dan aku sebagai pelajar sekolah Agama harus menjadi contoh. Selepas Solat, ramai mata-mata yang memerhati seperi ada sesuatu yang aneh melekat pada badanku. Mereka bertanya khabar dan senyum meninggalkan aku.

Setibanya di rumah, arwah ayah terus menegur, apa yang kamu buat tadi di Surau lambat balik. Aku katakan tunaikan kewajipan Allah Solat Sunat Ba'diyah. Dengan senyum seorang ayah, katanya Solat Sunat Ba'diyah Asar ni tak ada. Yang ada cuma sebelum Asar. Aduh!! Aku merasa seperti ada sesuatu yang terhempap di kepala. Patutlah di surau tadi Pak Cik-Pak Cik itu menjeling manja. Ya Allah, masih banyak yang perlu aku belajar dan betapa ceteknya ilmuku.

Aku kagum dengan cara didikan Pak Cik-Pak Cik itu. Mereka tidak lantas menegur di khalayak ramai bahkan memuji perubahan imej yang dilakukan. Mereka sedar, sebagai budak kampung yang masih comot dan baru nak berjinak dengan surau, aku tidak harus diajar dengan kekerasan. Walaupun mereka itu tidak pernah belajar ilmu Uslub Dakwah yang berkesan, namun pengalaman yang ada itu sangat jauh mematangkan diri.

Wallahu a'lam.

Monday, September 9, 2013

BAHASA ITU MENDATANGKAN REZEKI DAN SAHABAT (2)



Ketika kami sedang asyik berbual, rupa-rupanya ada yang sedang memerhati rapat. Saya tidak kenal beliau tapi beliau seolah-olah 'seseorang' juga dalam masyarakat. Wajahnya pernah saya lihat cuma lupa untuk mengenali siapa beliau sebenarnya. Beliau pun ikut juga berbual sama dan melihat kepada Bahasa Inggeris yang digunakan, sah beliau memang seseorang yang 'terhormat' juga dalam masyarakat.

Saya berkata demikian kerana kalau pakcik biasa, tidak mungkin dapat sefasih beliau dalam berbicara dengan orang asing. Dia bertanya tentang latar belakang pendidikan saya. Saya memperkenalkan diri sebagai mahasiswa tahun akhir di USIM dan sedang menunggu Majlis Konvokesyen. Beliau terus menganggap bahawa saya mengambil jurusan perubatan atau aliran Sains. Dengan senyum, saya katakan bahawa saya merupakan lulusan pengajian agama dan baru sahaja pulang dari Indonesia menjalani latihan praktikal di beberapa buah pondok pesantren dan pusat pengajian di sana.

Jelas kelihatan dari raut mukanya terkejut dan sangkaannya telah meleset. Saya ingatkan awak ambil jurusan perubatan. Biasanya, jarang nak jumpa pelajar agama yang boleh bercakap Bahasa Inggeris seperti awak. Saya diam malu sambil terfikir, "bahasa aku ni masih lemah apatah lagi banyak kesalahan dalam berbicara. Cuma, apa yang aku miliki adalah berani dan yakin sahaja". Dia meneruskan pertanyaan tentang diri saya dan masa depan selepas tamat belajar, saya katakan InsyaAllah ingin menyambung pengajian ke peringkat Master dan PHD.

Kini giliran saya pula untuk berani bertanya tentang siapa dirinya, beliau cuma memperkenalkan diri sebagai orang kampung biasa dan datang ke Kelantan untuk menghadiri undangan majlis perkahwinan sahabat. Setakat itu sahaja perbualan kami dan kami berpisah setelah flight mendarat.

BAHASA ITU MENDATANGKAN REZEKI DAN SAHABAT (1)


Saya masih teringat satu kisah ketika naik flight dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu (KB) suatu masa dulu. Saya duduk di tepi seorang pelancong asing, wanita muda dari Perancis. Saya memperkenalkan diri sebagai mahasiswa tahun akhir dan menunggu saat graduasi dan dia pula bertugas di sebuah syarikat penerbangan di Perancis. Seorang wanita Muslim di dalam sebuah negara yang majoriti rakyatnya menganut agama kristian. Kami bercerita panjang tentang negara masing-masing. Bermula daripada kekuatan ekonomi, pendidikan, sektor pekerjaan hinggalah kehidupan beragama. Dia sebenarnya dalam perjalanan ke Pulau Perhentian di Terengganu. Saya sempat juga mengajak dia bermalam di KB dan mencadangkan beberapa buah tempat untuk dilawati. Kata saya, menariknya Kelantan ini di mana ia diperintah oleh seorang ulama' 'Tok Guru' dan mempunyai pengaruhnya yang sangat luar biasa. Saya kata padanya, tidak sah jika ke Kelantan kalau tidak berkunjung ke Masjid dan teratak Tok Guru MB. 

Selepas beberapa minit berlalu, flight sampai dan kami mengucapkan salam perpisahan. Setelah berlalu, datang seorang wanita lain memperkenalkan diri sebagai adik An Djali dan menyerahkan sekeping wang kertas 50 euro. Saya menolak untuk menerima dan katanya kakaknya ikhlas memberi. Kata kakaknya, kalau kamu menolak, saya sedekahkan kepada ibumu.

SubhanAllah, benarlah kata guru saya bahawa "Bahasa itu Mendatangkan Rezeki dan sahabat". Semakin banyak menguasai bahasa, maka semakin banyak pintu rezeki terbuka buat kita. Setelah itu kami berpisah dan berharap suatu saat akan bertemu kembali...