Tuesday, February 11, 2014

ISTIMEWANYA WILAYAH YOGYAKARTA


Setiap kali berkunjung ke Indonesia, saya tidak akan melepaskan peluang untuk 'pamit' sebentar di Kota Wilayah Istimewa Yogyakarta. Kali pertama berkunjung ke sini pada bulan Mei 2012 telah menambat hati saya dengannya. Bermula daripada sikap orangnya, tempatnya yang indah, makanan yang enak, harga segenap barangannya yang murah dan macam-macam lagi.

Jujur saya katakan, orang Jawa Yogyakarta adalah antara Jawa paling halus saya temui. Percakapannya yang lemah lembut dan cara mereka memuliakan tetamu sangat menyenangkan. Ada satu kisah di mana saya telah membawa seorang kawan berkunjung ke Yogyakarta ini. Kerana tertarik dengan kehalusan pekerja Indomaret (Sebuah kedai serbaguna seperti 7E) melayan pembeli, setiap kali melalui toko itu, pasti dia akan minta untuk singgah walau sekejap. Apabila ditanya kenapa, tertarik halusnya mereka ketika berbahasa sehingga aku hanya mendengar bisikan angin dari mulutnya, ujarnya.


Berada di kawasan Gunung Merapi Yogyakarta

Saya tidak menafikan bahawa di tempat lain pun layanannya juga sama. Saya puji cara orang Jawa melayan tetamu. Penuh dengan kehalusan budaya dan tatatertib. Tapi, Jawa di Yogyakarta ini sangat istimewa dan menarik hati. Mungkin kerana persekitaran warganya yang terdiri daripada masyarakat berilmu dan berpendidikan. Sehinggakan, Yogyakarta ini dikenali dengan Kota Pelajar dek kerana banyaknya pusat pengajian tinggi yang tersebar di Wilayah Istimewa ini. Bukan itu sahaja, kota ini juga sinonim dengan kelahiran Kiyai Haji Ahmad Dahlan, seorang ulama' yang mengasaskan Jemaah Islam Muhammadiyah iaitu sebuah NGO dakwah yang terbesar dan berpengaruh di bumi Indonesia khususnya dalam dunia pendidikan dan Tarbiyah. 

Bercerita tentang mereka yang suka shopping atau berbelanja, di sini adalah tempat terbaik untuk membeli-belah. Saya pasti kita akan rambang mata dengan melihat harga barangan yang ditawarkan. Kerana jolokan yang diberikan sebagai Kota Pelajar, harga yang ditawarkan juga berpatutan dan sesuai dengan kemampuan pelajar. Mana tidaknya, kita boleh mendapatkan harga Nasi Goreng Telor Mata dengan harga 5000 rp di sini atau nilaiannya bersamaan RM1.50 duit Malaysia. Dengan wang sebanyak itu, anda sebenarnya mampu untuk merasa kekenyangan dan kenikmatan. Di sini juga, kita boleh merasakan Nasi Kucing dengan harga 1000rp atau sekitar 30 sen duit Ringgit Malaysia. Dengan Nasi Kucing, Alhamdulillah cukup membuat alas perut  di waktu pagi.


Berhenti rehat setelah penat berbelanja


Salah satu Tugu yang terdapat di kota ini

Untuk saya kongsikan tentang kenikmatan makanan di sini, saya pasti 10 posting pun belum tentu dapat diceritakan semua. Kita boleh memilih untuk menikmati makanan bermula di Angkringan, Depot, Warung, Rumah Makan dan restoran yang besar-besar. Itu semua bergantung kemampuan poket kita. Kalau berminat dengan Jalan-jalan Cari Makan atau istilahnya Wisata Kuliner, saya cadangkan untuk berkunjung ke Taman Kuliner. Anda ibarat berada di sebuah Taman Makanan dengan keindahan jajaran restoran yang terbuka mengadap kolam air dan dihiasi dengan kerlipan bintang malam. Silakan sahaja berkunjung ke situ dan rasai sendiri kenikmatannya


Candi lama yang terdapat di Kampus Universitas Islam Indonesia Yogyakarta


Bergambar kenangan di Candi Borobudur

Tentang tempat pelancongan di sini, saya fikir di sini sangat sesuai bagi mereka yang meminati sejarah dan kebudayaan serta pelancongan alam semulajadi. Wilayah Yogkarta antara wilayah di bumi Indonesia yang mengamalkan sistem kesultanan sehingga ke hari ini. Sultan masih menaiki takhta dan mempunyai wilayah kekuasannya sendiri. Sejarah keagamaan masyarakat Jawa Indonesia juga dapat dilihat disini dengan terdapatnya tinggalan sejarah Candi Hindu dan Buddha sebagai bukti agama nenek moyang mereka yang asal. Terdapat mungkin ribuan candi di kawasan Wilayah ini sahaja dan sesuai untuk dikaji oleh penjejak sejarah dan budaya. Kalau ke Yogyakarta ini, tidak sah jika tidak berkunjung ke Candi Borobudur dan Prambanan. Ke dua -dua candi ini mewakili agama Hindu dan Buddha dan ia telah digazetkan sebagai Tapak Sejarah Dunia oleh UNESCO.

Keindahan alam panoramanya pasti menambat hati semua. Terdapat Gunung Merapi yang masih aktif di kawasan ini dan ia masih ditempati oleh penduduk. Gunung-gunung dan gua yang terdapat disekeliling menjadi tiang seri betapa sungguh istimewanya wilayah ini. Pohon-pohon tumbuh menghijau  dengan berkatnya kesuburan daripada tanah merapi. Kalau rasa ingin mandi-manda, banyak pantai-pantai yang terdapat di sini dengan halusnya pasir dan birunya air laut. Sambil mandi-manda, kita juga dapat melihat penduduk setempat yang sedang giat mengutip rumpai laut sebagai sumber ekonomi seharian mereka.


Berlatarkan Gunung Merapi

Bagi mereka yang menggemari batik Jawa, di sini pastinya memberikan kepuasan untuk berbelanja dengan pelbagai pilihan corak dan harga yang ditawarkan amat berpatutan. Silalah berkunjung ke Pasar Malioboro dan anda pasti akan tenggelam dengan dunia batik di sini. Semua jenis kelengkapan ada di sini dan segalanya diperbuat daripada kain batik.