Gerbang sambutan tahun baru 2012 dibuka dengan penuh suram buat golongan mahasiswa.Walaupun hanya segelintir mahasiswa yang berhimpun di hadapan UPSI baru-baru ini,saya kira ia tetap membawa batang tubuh seluruh mahasiswa.Mana mungkin untuk kita menafikan diri mereka adalah mahasiswa seperti kita.Maknanya,apa sahaja yang mereka alami pada malam itu,saya dan anda semua yang juga mahasiswa akan merasakan perkara yang sama.Kita mahasiswa ibarat 1 keluarga kerana kita yang sebenarnya merasai keperitan dan kesusahan pada zaman kita.Mereka golongan-golongan yang telah berumur itu sudah lama meninggalkan alam mahasiswa ini dan jauh sekali dapat merasai apakah sebenarnya keadaan yang dialami kini.
Menyentuh perhimpunan baru-baru ini oleh kumpulan mahasiswa yang menggelarkan diri mereka BEBAS,saya kira ia adalah respon daripada perhimpunan yang telah diadakan oleh wakil daripada parti-parti politik tertentu samada daripada Pemuda,Puteri atau Wanitanya dan NGO-NGO yang bernaung bersama mereka.Kalaulah puak-puak itu dibenarkan berhimpun baru-baru ini untuk menyatakan bantahan terhadap Adam Adli atau pihak-pihak sebelah Adam Adli,maknanya golongan-golongan mahasiswa bagi pihak Adam Adli yang berhimpun 31/12 juga berhak berhimpun untuk menyatakan sokongan yang sebaliknya pula.Barulah layanan yang adil dapat diberikan untuk semua tanpa mengira fahaman,ideologi dan perjuangan setiap mereka.
Saya tidak bermaksud untuk menyokong insiden yang berlaku di PWTC baru-baru ini,tapi tidak bermakna saya mengiakan tindakan yang diambil oleh kerajaan dalam menyelesaikan isu yang membelit mahasiswa ini.Saya kira anda semua boleh faham maksud saya.Tidak kurang walau sedikitpun saham dan kedudukan kerajaan sekiranya mendengar suara mereka-mereka ini.Jemput dan panggil sahaja mereka berbincang dan menyatakan hak mereka.Kalau tidak boleh lama pun,sekejap pun jadilah.Saya rasa,sudah ada jemputan yang dibuat oleh kumpulan mahasiswa ini terhadap kerajaan dalam membincangkan isu-isu mahasiswa,tapi ia seolah-olah dilepaskan dan disenyapkan begitu sahaja.Bincang sahaja dulu dengan mereka ini.Kalau idea mereka tidak praktikal,kerajaan boleh pinggirkan sahaja tapi asasnya buat perbincangan dan perjumpaan dulu.Sebagai mahasiswa,saya rasa saya tahu apa jawapan yang mereka mahukan.Mereka ini hanya mahu berjumpa dengan pemimpin tertinggi kerajaan sahaja.Siapa yang tak mahu berjumpa dengan PM dan Menteri Kabinet apatah lagi mendengar sendiri penjelasan daripada mereka.Saya harap PM dan Menteri Pengajian Tinggi dapat menerima jemputan daripada mereka ini.
Mengulas insiden di hadapan UPSI malam tahun baru 2012,kita tidak boleh hanya menyalahkan pihak Polis.Saya kira mereka ini hanya bertindak mengikut arahan pihak atasan sahaja.Polis telah dilatih dengan disiplin yang kuat agar mengikut arahan dan peraturan daripada orang yang lebih berkuasa.Mereka ini sangat patuh dan akur dengan Undang-undang Negara.Masalahnya mungkin apakah arahan yang diterima mereka itu dan natijahnya kepada tindakan yang dilakukan.Polis ada hubungan yang sangat rapat dengan mahasiswa dan rakyat.Ada polis yang mana ahli keluarga mereka juga adalah mahasiswa dan tidak dapat tidak mereka juga adalah rakyat.Oleh itu,sudah banyak cerita rakyat dan mahasiswa yang telah mereka dengar daripada ahli keluarga mereka sendiri.Di sebelah mahasiswa,kami sentiasa menyayangi polis dan pihak berkuasa kerana mereka ini tidak pernah jemu menjaga keselamatan dan keharmonian negara.Abang-abang polis kita pula sudah pasti menyayangi golongan mahasiswa dan rakyat semua.Bagi ahli-ahli keluarga polis,saya juga seperti anda semua.Harap kita semua masih boleh bertenang dan bersabar dengan tuduhan yang diberikan.Mahasiswa sebenarnya masih bersama kita semua!!
Kuat di sudut hati saya bahawa sahabat-sahabat mahasiswa yang berhimpun baru-baru ini juga bukanlah bermusuh dengan kerajaan dan pihak berkuasa.Mereka hanya mahu suara mereka didengar sahaja.Mereka hanya hendak jumpa PM dan kerajaan sahaja.Mungkin sukar untuk diatur perjumpaan PM dengan mahasiswa-mahasiswa itu kerana jadual PM yang padat tapi saya kira tidak mustahil untuk diatur.Bukankah kita ada kementerian khusus yang menguruskan hal-ehwal seluruh mahasiswa dan ada pula jabatan khas di bawahnya dalam menyelesaikan isu-isu kemahasiswaan dan aktiviti mahasiswa.Saya juga berpengalaman menghadiri mesyuarat bersama TPM dalam membincangkan isu mahasiswa dan negara serta pernah beberapa kali hadir ke majlis yang turut dihadiri PM dan Menteri kabinet ketika menjadi MPP.Oleh kerana itu,saya katakan tidak mustahil jika benar kita bersungguh-sungguh untuk mengatur perjumpaan seperti itu.Saya sendiri selepas hadir majlis dan mesyuarat bersama orang-orang tertinggi negara,rasa sangat gembira dan puas hati kerana apa tidaknya bila dapat berhadapan secara langsung dengan para pemimpin kita.
Akhirnya,apa yang boleh saya katakan zaman dahulu dan kini amat berbeza keadaannya.Kehendak serta tuntutan rakyat dan mahasiswa juga berbeza selari dengan peredaran zaman.Kalau dahulu,kita hanya bergantung dengan berita-berita dan laporan daripada media kerajaan sahaja.Tapi kini,kita sudah ada banyak media alternatif dan media baru dalam menjawab setiap isu yang berlaku.Angin dan keinginan rakyat dan mahasiswa juga mungkin telah beralih kepada mendapatkan cerita-cerita daripada media baru ini jika masih tidak ada tindakan penambahbaikan ke atas media-media rasmi kerajaan.
UBAH SEBELUM TERLAMBAT!!
Comments