Di sini hanyalah catatan pandangan peribadi daripada saya dan tidak dikaitkan dengan mana-mana pihak.Alhamdulillah, sudut pidato atau Mimbar Ilqa’ telah dilancarkan di kampus USIM baru-baru ini. Sesungguhnya, saya menyambut baik sudut pidato ini dan sebagai buktinya,saya telah menghadiri majlis pelancaran sudut pidato yang diadakan di Dataran Selera oleh Dato’ NC.Namun,pada pandangan saya,wujud beberapa kelemahan pada pelaksanaan sudut pidato ini samada ia sengaja diadakan atau tanpa sedar.Saya melihat kekurangan yang wujud ini wajar ditangani bersama. Saya menyifatkan kekurangan ini bersifat halangan dalam sedar kepada pelajar untuk berpidato dan melontarkan idea iaitu :
1) Sudut Pidato di USIM hanyalah dibenarkan menggunakan Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab sahaja dengan mengenepikan Bahasa Melayu.Jadi,penguasaan bahasa yang kurang menyebabkan mahasiswa terhalang menyampaikan pidato dan pandangan.
Cadangan : Perlu diwujudkan juga Pidato dalam Bahasa Melayu demi mendaulatkan bahasa kebangsaan dan menggalakkan semua mahasiswa terlibat.Tetapi,bukan bermakna Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab kita tidak benarkan.Terpulang kepada mahasiswa untuk memilihnya.Fungsi utama sudut pidato adalah untuk memberikan kebebasan kepada pelajar melontarkan idea,bukan hanya bersifat presentation dan melatih untuk kuasai bahasa sahaja.
2) Syarat yang dikenakan juga tidak terbuka apabila mahasiswa tidak dibenarkan mengkritik universiti dan menyentuh isu-isu sensitif (politik) walaupun ia bersifat global dan penting.Ini menyebabkan pemikiran mahasiswa tertutup dan layu.
Cadangan : Mahasiswa sepatutnya bebas untuk menyentuh mana-mana isu demi kemajuan USIM dan Negara tetapi perlu dikawal tanpa ia bersifat halangan dan limitasi.Kebebasan yang diberikan akan melahirkan mahasiswa yang matang dan berfikiran terbuka.
3) Prosedur yang ditetapkan juga amat rumit apabila perlu mendapatkan borang daripada HEP terlebih dahulu dan memaklumkan kepada pentadbiran isu atau topik yang ingin dibincangkan.Adakah ini dikatakan terbuka?
Cadangan : Hak untuk mengurus diberikan sepenuhnya kepada MPP atau mana-mana badan mahasiswa yang difikirkan perlu dan HEP hanyalah memainkan peranan dalam membuat pemantauan semata-mata.Biarkan mahasiswa yang membuat keputusan sepenuhnya tetapi mereka juga perlu untuk memakluman kepada HEP.
4)Tempat yang tidak strategik dan tidak mampu menarik perhatian mahasiswa.Buktinya ramai yang tidak tahu dan tidak hadir pada majlis pelancaran walaupun NC dan pengurusan tertinggi universiti turun sedangkan promosi telah dibuat.
Cadangan : Sudut Pidato perlu diwujudkan di setiap fakulti oleh Sekretariat fakulti dan dipantau oleh HEP melalui MPP.Boleh juga sudut pidato ini diwujudkan dalam keadaan bergerak bagi setiap tempat dan fakulti yang difikirkan perlu agar semua mahasiswa tahu dan cakna akan kewujudannya.
Saya mengharapkan pandangan dan cadangan saya ini diambil perhatian oleh semua pihak.Ini bukan bermakna saya tidak menghormati keputusan yang dibuat namun demi kematangan mahasiswa,kita patut fikirkan kebaikan mereka bersama.Jika benar mahu melihat kematangan mahasiswa,sepatutnya mereka diberikan hak untuk mengatur, memilih dan memutus tanpa didoktrin oleh mana-mana pemikiran.Kita wajar untuk melihat sambutan mahasiswa pada majlis pelancaran sudut pidato baru-baru ini.Jumlah pegawai dan tetamu jemputan lebih ramai daripada mahasiswa yang datang.Apatah lagi,ditambah dengan mahasiswa yang ada di Dataran Selera seolah-olah membuat tidak tahu dengan majlis pada hari itu walaupun kelihatan NC hadir.Post-mortem dan muhasabah perlu dibuat dan jangan hanya menyalahkan mahasiswa kes ini berlaku.Sepatutnya, kita menyambut dengan baik cadangan mewujudkan sudut pidato ini semula oleh YB Timbalan Menteri Pengajian Tinggi.Jika kebabasan diberikan tanpa halangan di IPT lain,maka kita juga perlu bersama mengikut mereka dalam memberikan kebebasan kepada mahasiswa USIM.Sudah 10 tahun penubuhan USIM,sepatutnya kita semua telah matang dalam membuat keputusan dan mampu bergerak seiring dengan sahabat IPT yang lain. Akhirnya, saya tidak berniat untuk membelakangkan keputusan yang dibuat namun ia hanyalah sekadar pandangan dan luahan hati.Saya melihat,masih belum terlambat untuk diadakan penambahbaikan demi kebaikan kita bersama.Moga kita semua boleh menerima dan mengambil perhatian akan cadangan yang tidak seberapa ini.Perbincangan demi perbincangan perlu diadakan dari semasa ke semasa.
Abdullah Bin Long
5 Mac 2010.
Comments
ana yorkan, enta postkan maklumat td ke uism kini...blog dia tu....bagi semua dapat baca dan dapat tahu pandagan enta. ketengahkan...