Sistem pengajian Pondok Modern Darussalam Gontor ini berteraskan kepada enam aspek utama iaitu :
1)Pengajaran dan Pengarahan
2)Penugasan
3)Pelatihan
4)Pengawasan
5)Pembiasaan
6)Uswatun Hasanah
Pertama adalah sistem yang berteraskan pengajaran dan pengarahan.Walau apapun sistem pengajian yang ada di mana-mana sekalipun, ia pasti akan menekankan kepada aspek pengajaran dan pengarahan.Di mana, pendidik dan pelajar itu perlu saling berkomunikasi antara satu sama-lain untuk saling memberi dan menerima arahan.Contohnya adalah pengajaran dan pengarahan dalam bersukan dan berpersatuan.Para pelajar Pondok diarahkan untuk melibatkan diri dengan aktiviti sukan dan persatuan agar mereka dapat memanfaatkan masa sepanjang berada di Pondok dengan sebaik mungkin.Sekiranya ada waktu yang terluang begitu sahaja, dibimbangi akan menyebabkan para pelajar akan terlibat dengan aktiviti yang tidak berfaedah.Berdasarkan pemerhatian saya selama di sini, para pelajar Pondok ini sentiasa bersemangat dan cemerlang dalam apa sahaja sekalipun bidang yang disertai termasuklah sukan dan olahraga.Hatta, kadet-kadet pelajar seperti Pengakap juga ditubuhkan di sini dan ia bergerak dengan aktif sekali.Kawat mereka juga jauh lebih kemas dan tersusun daripada pasukan kadet kita.
Ke dua, sistem pengajian di Pondok ini juga menerapkan aspek penugasan.Tugas-tugas seperti pengurusan dan pentadbiran itu diberikan dan diamanahkan kepada para pelajar Pondok sendiri.Mereka ini ada yang dilantik menjadi Pengurus unit-unit dan sektor, sekretariat, penjaga koperasi pelajar, wartawan dan pelbagai tugas-tugas yang lain.Saya agak terkejut ketika kali pertama berkunjung ke pondok ini tatkala dibawa melawat oleh penyelia pembimbing.Kelihatan pelajar pondok sendiri yang memandu lori kecil untuk mengangkut peralatan meja dan kerusi dan dibantu oleh teman sepondok yang lain.Saya difahamkan , mereka sedang melakukan persiapan dan persediaan sempena Festival Kokurikulum dan Sukan Tahunan.Subhanallah, luar biasa penglibatan pelajar ini dalam menggerakkan pondok selari dengan Panca Jiwa Pondok iaitu kemandirian (berdikari).
"Antara azimat yang digenggam oleh warga Pondok ialah Man jadda wa jada"
Ayuh kita melihat pula kepada aspek yang ke tiga yang diterapkan dalam sistem pengajian di sini iaitu Pelatihan.Para pelajar dilatih untuk melibatkan diri dalam aktiviti sukan seperti bola sepak dan sukan-sukan berprestij yang lain.Tinggi sungguh harapan Pak Kiai ketika menerangkan kepada kami bahawa beliau mahu melihat suatu hari nanti Pondok berjaya melahirkan pelapis-pelapis pemain bola sepak negara.Selain itu, bagi pelajar yang berbakat dan berminat untuk bermain muzik, telah disediakan juga sebuah studio muzik mini untuk mereka mengadakan latihan.Bakat-bakat menjadi pemidato yang hebat bukan hanya dalam bahasa Indonesia, bahkan Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab juga dicungkil dan diberikan latihan serta bimbingan yang komprehensif serta berkala.Yang hebatnya, mereka dilarang sama-sekali untuk bercakap dalam Bahasa Indonesia apatah lagi Bahasa Jawa di sini dan telah diwajibkan untuk menggunakan Bahasa Arab dan Bahasa Inggeris.Sistem latihan berbahasa asing seperti ini telah diterapkan sejak di usia belasan tahun lagi dan mereka akan diberikan hukuman sekiranya melanggari peraturan yang telah ditetapkan oleh Pondok.Apa saya sangat saya kagum sekali, mereka sangat fasih berbahasa Inggeris selain Bahasa Arab dan di setiap penjuru pondok juga akan diletakkan papan tanda menggunakan tulisan Bahasa Inggeris.Saya juga pernah berpeluang melihat pertandingan teater Bahasa Inggeris yang diadakan di sini dan ia sangat luar biasa sekali.Tentang muzik pula, kata penyelia pembimbing, Pak Kiai sendiri mempunyai kebolehan bermain alat muzik.Pernah dalam satu majlis tahunan yang diadakan di Pondok, Pak Kiai tampil melakukan persembahan bermain gitar.
Selain itu, sistem pengajian Pondok Modern ini juga memerlukan Pengawalan.Para pelajar ini diselia dan dikawal oleh teman-teman sepondok mereka sendiri.Pelajar-pelajar senior yang akan bertindak sebagai pembimbing dan pengawal kepada adik-adik baru di bawahnya.Mereka ini mempunyai kuasa untuk memberikan nasihat, memarahi serta memberikan hukuman sekiranya perlu.Jika pelajar senior itu sendiri melanggar peraturan, maka mereka akan dikawal dan dihukum oleh para ustaz pula.Jangan terkejut jika saya katakan Pak-pak Ustaz yang membimbing dan mengajar disini masih sebaya dengan kita dan merupakan mahasiswa universiti.Namun begitu, ilmu Ustaz-ustaz ini sangat luar biasa jauh daripada tahap umur kematangan mereka.Ustaz-ustaz ini sebenarnya masih belajar di Institut Studi Islam Darussalam sebuah Universiti Islam yang dimiliki oleh Lembaga Pondok.Keadaan dan suasana pengajaran seperti inilah menjadikan Pondok ini sangat luar biasa dan terbukti telah berjaya melahirkan pelajar yang cemerlang dunia dan akhirat.Dalam menjelaskan apakah itu erti pengawalan, Pak Kiai mengatakan ia adalah satu proses pelajar di mana pelajar akan dinasihati jika melakukan kesalahan, dimarahi jika perlu, dipuji sekiranya telah menunjukkan keteladanan yang baik dan akan disokong (support) sekiranya mereka memerlukan sokongan.
Sistem pengajian pondok yang ke lima pula ialah ia memerlukan kepada Pembiasaan.Suasana seperti kerja keras, doa keras, sabar keras dan solat keras sudah menjadi kebiasaan atau sebati kepada warga Pondok.Keras yang diertikan di sini ialah melakukan sesuatu dengan bersungguh-sungguh dan penuh bersemangat.Para pelajar juga perlu biasa dengan amalan-amalan sunat seperti Solat Sunat Rawatib kerana bagi Pondok, pendidikan itu memerlukan kepada pembiasaan.Apabila sudah menjadi kebiasaan dalam amalan seharian, I.Allah ini akan menjadi ikutan kepada masyarakat sekeliling.
Sistem pengajian yang terakhir di Pondok Modern ini ialah “Uswatun Hasanah” atau ikutan yang baik.Warga Pondok bermula daripada Pak Kiai selaku pemimpin Pondok perlu menunjukkan teladan dan ikutan yang baik kepada semua.Produktiviti dan usaha yang besar dicipta sebagai satu bukti keberhasilan daripada sistem pengajian Pondok.Misalnya, Pak Kiai sendiri sudah pun menunjukkan produktiviti yang sangat bagus sekali.Bermula tahun 1995, beliau bersama kepimpinan Pondok telah membina Gontor 2, diikuti pula dengan pembinaan Institut Studi Islam Darussalam dan seterusnya Gontor 3 dan Gontor 4.Kini, sudah berbelas-belas Pondok Modern Gontor yang telah dbina di setiap negeri dan wilayah di Indonesia.Kehidupan Pak Kiai juga semakin sibuk dengan beliau sendiri akan turun melawat dan mengunjungi Pondok-Pondok cawangan yang telah ditubuhkan.Bukan itu sahaja, Pak Kiai juga sudah mampu menarik nafas lega apabila kerja membina pusat-pusat pengajian seperti Pondok yang dilakukan olehnya ini telah diteruskan pula oleh Alumni-alumni Pelajar Pondok Modern Darussalam Gontor setelah mereka pulang ke kampung menamatkan pengajian masing-masing.
Nantikan sambungannya selepas ini..............
Comments