Kali ini, izinkan saya untuk menulis serba-sedikit berkenaan dengan Pondok Modern Darussalam Gontor.Mungkin ada teman-teman saya di Malaysia yang tidak mengenali Pondok ini dan mungkin ramai juga yang telah mengenalinya sebelum daripada ini.Peluang saya berada di sini bagi menjalani Latihan Industri serta menjadi salah seorang warganya (pinjam penggunaan) akan saya gunakan untuk mengenali secara lebih dekat Pondok Modern ini.Sebetulnya, saya rasa amat bertuah kerana dihantar oleh USIM untuk menjalani Latihan Industri di sini dan ia merupakan peluang yang sangat bermakna dalam hidup ini.Untuk makluman teman-teman semua, saya kini menjalani Latihan Industri di institut Studi Islam Darussalam Gontor yang mana merupakan sebuah Universiti Islam yang diuruskan oleh Lembaga Pondok ini.Saya kongsikan kepada teman semua serba-sedikit mengenai Pondok berdasarkan sesi penerangan yang telah disampaikan sendiri oleh KH Syukri Zarkasyi, Pimpinan Pondok Modern Darussalam Gontor.Catatan-catatan ini adalah melalui pemahaman saya terhadap pengalaman yang disampaikan sendiri oleh Pak Kiai dalam memimpin Pondok dan ia telah ditulis oleh saya sebagai perkongsian dengan teman-teman semua.Moga ia menjadi amal jariah buat kita bersama dengan menyokong pusat-pusat pengajian agama seperti Pondok Modern ini.
Pondok Modern Darussalam Gontor adalah Lembaga Pendidikan yang didirikan oleh tiga orang saudara.Ia didirikan hasil daripada naluri putera kiai dan bukan hanya bergantung kepada idealis semata-mata.Didirikan pada tahun 1926 dan berasaskan sistem pengajian Pesantren (Pondok) yang mewajibkan para pelajarnya 24 jam menetap dan tinggal di Pondok.Pondok ini mempunyai dasar falsafah dan jiwa yang jelas dalam melahirkan kader-kader yang akan memimpin ummah.Apa yang dinyatakan oleh Pak Kiai, ia dibina dengan penuh keikhlasan, kesungguhan (jihad) dan pengorbanan yang tinggi.Ini menjadikan Pondok ini kekal dan terus maju berkembang dari masa ke semasa.Berasaskan orientasi kemasyarakatan dan bukan mencari pekerjaan, maka tidak hairanlah Pondok berjaya melahirkan tenaga-tenaga yang diperlukan oleh masyarakat dalam segenap perkara dan lapangan.Warga Pondok mempunyai sikap mandiri atau berdikari yang tinggi tanpa perlu bergantung kepada pihak-pihak luar.
Daripada Falsafah ini, dapat dilihat dengan jelas bahawa masyarakat yang mahu dilahirkan adalah mereka yang mahu belajar ikhlas kerana Allah.Hasilnya setelah tamat nanti, kerja dan usaha yang dibuat selama di Pondok adalah untuk diri sendiri sebagai bekal meneruskan kehidupan.Tegas Pak Kiai, apa yang kita belajar dan lakukan hari ini adalah untuk diri kita sendiri dan bukan untuk orang lain.Maka kerja dan belajar yang dilakukan itu janganlah bertangguh-tangguh dan memerlukan kepada usaha yang luar biasa.
"Kerja kena keras, belajar kena keras, menulis kena keras bersabar kena keras, berdoa kena keras dan semuanya kena keras".
Apa yang sangat menarik mengenai Pondok ini adalah para pendidiknya adalah dikalangan yang benar-benar ikhlas mendidik dan mengajar anak bangsa tanpa mendapat gaji bulanan.Keperluan makan dan untuk memenuhi kehendak kehidupan adalah berdasarkan hasil usaha para pendidik itu sendiri tanpa mendapatkan duit gaji bulanan daripada hasil yuran pelajar.Duit yuran pelajar hanyalah dikhususkan untuk keperluan para pelajar Pondok dan tidak boleh diambil dan digunakan oleh para pendidik serta pentadbir.Asas utama sistem kehidupan dan ekonomi Pondok adalah berteraskan mandiri atau berdikari.
Visi Pondok
Lembaga Pendidikan Islam mencetak Kader pemimpin
Misi
Mempersiapkan Generasi Unggul
Mendidik dan Mengembangkan Generasi Mukmin
Mengajarkan Ilmu Agama
Mempersiapkan Warga Negara Beriman

Masjid yang didirikan oleh Pondok untuk kemudahan para pelajarnya
Lima ciri Panca Jiwa Pondok ialah Jiwa Ikhlas, Kesederhanaan, Kemandirian, Ukhuwah Islamiah dan Jiwa Kebebasan.Pertama, daripada Panca Jiwa Pondok adalah Jiwa Ikhlas.Menurut Pak Kiai, ikhlas itu perlu diciptakan dengan kegiatan dan bukan melalui percakapan.Semua kegiatan yang dilakukan itu adalah Lillah kerana Allah dan tidak dapat diukur dengan sejumlah wang.Asas orang yang mendirikan Pondok sebelum daripada ini ialah mereka tidak pernah merasa takut untuk dibenci oleh masyarakat dan dapat menghadapi pandangan-pandangan negetif daripada masyarakat mahupun keluarga terdekat.Inilah yang ditekankan oleh Pondok kepada warganya daripada segenap lapisan agar belajar niatnya hanyalah kerana Allah dan bukan kerana perkara-perkara yang lain.Sangat perlu juga kepada setiap warga Pondok untuk memahami dan menjiwai nilai-nilai Pondok yang telah digariskan untuk menjadikan mereka lebih bersunguh-sungguh dan ikhlas dalam melakukan kerja dan belajar.
Warga Pondok juga perlu menunjukkan keteladanan yang tinggi kepada masyarakat dalam aspek moral, keperibadian, kepimpinan serta prestasi dan produktif.Perlu ditekankan di sini, untuk membuktikan seseorang itu ikhlas atau tidak dalam kerjanya, ia dilihat kepada keberhasilan dan prestasi dalam tempoh lapan tahun.Dalam erti kata yang lain, apakah perkembangan dan nilai produktif yang dapat dilahirkan setelah bersama dengan Pondok.Prinsip ini bukan hanya semasa di Pondok, bahkan ia menjadi ukuran kepada seluruh warga Pondok khususnya para pelajar setelah menamatkan pengajian.
Ciri ke dua daripada Panca Jiwa Pondok adalah Kesederhanaan.Warga Pondok perlulah bersederhana dalam sikap, pola fikir, tingkah laku dan kehidupan seharian mereka.Kesederhanaan yang diertikan adalah sederhana dalam cara pemakanan, pemakaian dan apa yang berkaitan dengannya.Dalam erti kata yang lain, melakukan sesuatu perkara sesuai dengan keperluaan atau kebutuhan seseorang tanpa perlu berlebih-lebihan dan menyebabkan berlakunya pembaziran.Apa yang saya lihat di sini, sederhana yang dimaksudkan oleh Pondok ini sangat luas ertinya dan sangat sukar untuk saya ceritakan kepada teman-teman semua. Namun yang pasti, ia adalah berdasarkan ajaran Islam kepada kita penganutnya.

Institut Studi Islam Darussalam adalah sebuah universiti Islam yang ditubuhkan di bawah Lembaga Pondok Modern Darussalam Gontor
Selain itu, ciri ke tiga daripada Panca Jiwa adalah kemandirian (Berdikari).Sistem yang dimiliki oleh Pondok ini iaitu mandiri dalam seluruh aspek samada Lembaganya mandiri, organisasinya mandiri, sistemnya mandiri, dananya mandiri, manusianya mandiri dan seluruhnya mandiri.Pondok tidak mendapat peruntukan khas daripada Kerajaan atau mana-mana pihak dalam menguruskan dan mentadbir Pondok.Pepatah Arab ada mengatakan bahawa "Berdikari atas diri sendiri adalah asas kejayaan".Bagi Pak Kiai dan seluruh warga Pondok, pendidikan adalah apa yang dibuat, dikerjakan dan ia bukan hanya omongan kosong.
Ciri ke empat daripada Panca Jiwa ini adalah Ukhuwah Islamiah.Bagi mereka, Pesantren adalah sebuah masyarakat kecil yang mana mereka saling berkomunikasi dan berurusan seperti sebuah masyarakat.Di sini, warga Pondok diibarat sebagai sebuah keluarga.Mereka belajar dan bersosial tanpa rasa kekok atau asing.Hatta kami yang baru ke sini dan menjalani praktikal juga dianggap sebagai ahli keluarga dan dilayan sebagaiman warga Pondok yang lain.
Akhirnya, ciri yang ke lima daripada Panca Jiwa Pondok ini ialah Jiwa Kebebasan.Warga Pondok adalah bebas untuk menguruskan hidup mereka, bebas menyertai mana-mana kumpulan atau parti dan perlu bebas juga daripada mentaliti penjajahan.Tidak hairanlah, apabila ramai anak-anak Pondok yang telah berjaya dalam bidang masing-masing dan ada yang menjadi pemimpin Majlis Ulama' Indonesia, Nahdatul Ulama' dan Muhammadiyah.Ke tiga-tiga kelompok kumpulan dakwah ini adalah badan dakwah terbesar di Indonesia dan memainkan peranan penting dalam memimpin masyarakat Islam Indonesia.Selain itu, ada juga warga Pondok yang menceburkan diri dalam arena politik dan memimpin parti serta terlibat sebagai pegawai tinggi kerajaan, badan-badan NGO, syarikat swasta dan mempunyai perniagaan atau kerjaya masing-masing.
*InsyaAllah nantikan sambungan yang akan menyusul.....
Comments
saya ada satu soalan, adakah dibenarkan rakyat malaysia bersekolah di sini? maksud saya pelajar yg berumur 13 tahun atau 16 tahun?