Inilah bakal-bakal ulama' Pewaris tugas Para Nabi (PKU-ISID)
Nabi pernah bersabda di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ahmad, At-Tirmidzi dan Abu Daud "Sesungguhnya Ulama' itu pewaris para nabi.Para Nabi tidak mewariskan dinar dan dirham (harta).Mereka hanyalah mewariskan ilmu.Barangsiapa mengambilnya, sungguh dia telah mengambil bahagian yang banyak".Hadis ini telah dikuatkan lagi dengan ayat Quran sebagaimana firman Allah yang berbunyi "Kemudian kami wariskan Al-Kitab kepada yang kami pilih daripada hamba-hamba kami, lalu di antara mereka ada yang menganiyai diri mereka sendiri, dan ada juga di antara mereka yang lebih dahulu berbuat kebaikan dengan izin Allah.Yang demikian itu adalah kurnia yang amat besar (Fathir : 35: 32).
Berdasarkan keterangan daripada hadis dan ayat ini, jelas menunjukkan kepada kita tentang peranan dan kelebihan para ulama' itu.Tugas yang sangat berat digalas oleh mereka menjadikan mereka hamba yang sangat dekat kepada Allah dan taat kepadaNya.Selama hampir dua bulan saya di Indonesia, saya berpeluang untuk mendekati golongan bakal ulama' pewaris nabi ini.Sifat taqwa dan ikhlas kepada Allah yang dimiliki membuatkan hati saya sentiasa tenang bila mendampingi mereka.Bukan pangkat dan harta yang dikejari tetapi ilmu dan rahmat Allah yang dicari.Daripada raut dan riak wajah yang terpancar, sungguh betapa indahnya kalam Allah.Apabila berbicara dengannya, bait-bait yang diungkapkan itu pula akan diselangi dengan firmanNya.Inilah teman-teman yang saya kenali di Program Kaderisasi Ulama', Gontor (PKU ISID-MUI).
Kasih mereka hanya kepada Allah
Hidup dan amal mereka kerana Allah
Mereka tidak sesekali takut melainkan Allah
Mereka tidak galau kerana telah merasa dekatnya Allah
Benarlah firman Allah itu bahawa yang dekat kepadaNya dikalangan kita adalah para Ulama'.Kerana dekatnya mereka kepada Allah, saya begitu terkesan dengan akhlak dan peribadi yang ditunjukkan.Mereka terjemahkan perintah Allah melalui tutur kata dan adab sopan yang dizahirkan.Tidak sesekalipun saya terasa penat dan jemu bila bergaul dengannya.Seronok pun ada serta puas pun ada.Semakin dekat mereka kepada Allah, semakin rasa tempiasnya kepada saya yang kerdil.
Dalam Surah Az-Zumar : 9,"Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?Sesungguhnya orang-orang berakallah yang dapat menerima pelajaran."Selama mana saya mengenali mereka ini, sabar mereka keras, belajar mereka keras, doa mereka keras, tawakkal mereka keras, dan solat mereka keras.Mereka benar-benar meyakini bahawa apa yang mahu ditinggalkan kepada ummat bukannya harta dan wang yang bertimbun-timbun, kerana pasti suatu hari nanti harta dan wang itu akan berkurang dan habis juga.Namun, jika ilmu yang ditinggalkan, ilmu itu tidak akan berkurang bahkan ia akan bertambah dan terus bertambah.
Wajib bagi saya untuk merasa dengki dengan sifat hikmah dan kuat mereka dalam menuntut ilmu.Kefahaman mereka terhadap agama juga tinggi maka tidak hairanlah jika ulama' telah dijadikan rujukan dalam segenap isu dan perkara.Hadis ada menyebutkan "Barangsiapa yang Allah kehendaki kebaikan untuknya, Dia jadikan orang tersebut faham akan agama" (Riwayat Al-Bukhari No. 69).Teman-teman PKU di sini didedahkan dengan pelbagai masalah kontemporari yang dihidapi oleh ummat kini.Isu-isu pluralisme, feminisme, sekualirme dan isme-isme yang lain telah mereka kuasai sebagai bekal untuk berhadapan dengan masyarakat yang di luar sana.Petik sahaja apa-apa isu yang berlaku, I.Allah mereka ini ada jalan penyelesaiannya.Moga kita diberikan ilmu sebagaimana yang telah diberikan kepada mereka.Allahumma amin....
Oleh kerana itu, saya merasa sangat manisnya iman saat berada disamping mereka.Jika mereka berbicara tentang Islam, saya juga turut merasa tempiasnya.Saya seolah-olah dapat melihat keindahan Al-Quran dan kebenaran firmanNya.Maka tidak hairanlah, jika saya berani katakan merekalah bakal Ulama' pewaris para nabi dan akan memimpin masa depan.....
Comments
Smoge kita bersama menjadi pembela syariat ini di pafar yang paling depan.