Saturday, March 28, 2009

IMTIHAN ITU IBARAT CUBAAN

Salam kejayaan buat anda pencinta kecemerlangan semua.Kuhulurkan tangan tanda berjabat mesra,moga luruhlah segala dosa sepanjang kita bersama dan berkenalan di dunia yang fana.Teringat daku kepada dialog dalam layar "Pendekar Bujang Lapok" apabila Ramlee dan rakan-rakannya diuji untuk bergelar murid pendekar musyhtar.Ketika berkelana membawa diri di tanah perkuburan yang padanya penuh lagenda dan dongengan kehidupan,mulut terucap dengan kalimah keramat "CUBAAN............." tanda kecekalan dan wala' yang tinggi kepada bentara guru.Lantas hati ini terfikir tentang ujian yang kiranya besar dalam pelajaran ini bakal menerjah kamar mimpiku kembali.Adakah ujian ini mampu kutempuhi dengan jujur dan ikhlas diri atau hanya sekadar hangat-hangat tahi seperti dinukilkan Tan Sri P. Ramleee dalam minda filemnya itu?Bersemangat diawalnya dan hancur terkubur di pengakhirannya.Teringat kembali kepada kuliah A'llamah Dr. Zilkifli Al-Bakri bahawa diri ini akan diklasifikasikan kepada dua yakni diri atau hati yang mati atau mematikan.Jika hanya sekadar berkobar-kobar dalam perbincangan,namun pulang dengan melelapkan diri ibarat hati dan jiwa yang mati.Namun lebih bahaya jika terjerumus dalam jiwa yang mematikan hati insani lain.Jika ingin berbicara tentang imtihan yang bakal kunjung tiba ini,fikrah merasakan diri tidak layak bercerita tentangnya.Namun,ini bukan mahu mengajar dan mengkritik tetapi hanya sekadar perkongsian diri untuk jiwa yang menghajati.Merenung analisis yang dibuat terhadap diri dan penuntut yang lain,pelbagai gelagat dan watak yang didapati sepanjang berhadapan dengan soalan maut yang bakal membakar atau menjirus api semangat diri.Jika ditenung dan diamati,ada yang panas punggungnya dan tajam penghilatannya.Hitam mata ditajamkan untuk melihat potensi diri dan jiran yang berada disekeliling diri.Ikhlas hati ini mengatakan pentingnya sifat jujur dalam diri jika dihidangkan makanan yang lazat penghias kemuliaan diri.Aku tidak pandai bermadah pujangga tapi usahlah diamalkan tabiat buruk menilik azimat nota selain dari yang tercatat dalam minda kurniaan illahi.Aku tidaklah sejujur seperti yang difikirkan namun hati ini luluh dan kecewa melihat gelagat insani yang tidak jujur pada diri.Fikrah sunni tidak pelik jika dikatakan ada makhluk yang mendapat markah yang cemerlang dipertengahan perjalanan namun hancur luluh dipengakhiran kehidupan.Fikrah sunni mengajak diri dan kalian mencermin diri jika pernah melakukan kegiatan ini.Mungkin kita pernah melakukan kegawatan sosial sewaktu dipertengahan jalan kehidupan.Fikrah tidak bermaksud bahawa semua yang cemerlang dipertengahan itu tidak jujur pada diri namun hanya segelintir sahaja yang mengeruhkan kejernihan air suci.Untuk apa kita menipu jika ia mampu membinasakan diri.Jujurlah pada diri jika mahu bergelar pelajar yang mithali.Berkata seorang teman yang bergelar sahabat dalam kehidupan,"Lah,ini exam ni.Mu perlu jujur la".Tersentak kalbu diri bagai dicucuk jarum di dalam noda kekotoran hati.Astaghfirullah Al-A'zim.Namun aku boleh bersyukur kehadrat illahi kerana peringatan ini telah memimpin diri ini agar berwaspada daripada godaan dan tipuan nafsu buruk yang menjijikkan kehormatan diri.
Pesanku kepada teman-teman seperjuangan,latih dan pimpinlah diri untuk berlaku adil sepanjang peperiksaan ini.Usahlah belajar untuk menipu diri tapi belajarlah untuk mendidik diri agar jujur dengan guru dan ilmu yang dicari.Sesungguhnya ilmu itu ibarat nur kehidupan yang tidak akan dimiliki oleh jiwa yang kotor dan membelengu diri.Sesungguhnya kejayaan yang datang daripada usaha dan penat lelah diri amat indah dan manis jika dirasai.Walaupun gagal pada awalnya,namun kegagalan pada hari ini bukan bermakna kita akan gagal buat selama-lamanya.Ikhlaskan diri untuk meneroka potensi dan kelemahan diri.....

Salam Sayang buat semua.....

Thursday, March 19, 2009

FINAL EXAM

Salam Kecemerlangan buat sahabat semua.Sedar atau tidak,hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi kita akan menduduki imtihan akhir.Resah dan gelisah mula menghantui diriku dek kerana persediaan dan persiapan yang tidak seberapa.Aku tetap memasang cita-cita yang tinggi untuk peperiksaan kali ini.Namun,pesan orang-orang tua: Nak pakai baju,ukurlah di badan sendiri....Aku sedar bahawa aku tidak sepatutnya memencilkan diri dek kerana kekerdilan diri namun dek kerana semangat yang tinggi di dalam diri,aku sepatutnya bersyukur dan membangga diri.Persoalanny....Sikap malas masih menghantui diri.Kucuba untuk menghiasi diri dengan semangat kerajinan yang tinggi lantaran akan menghadiri Kem Motivasi anjuran Unit Kaunseling..Hanya usaha sahaja yang aku mampu lakukan dan aku serahkan kepada Allah..Kepada rakan-rakan...Percayalah,kita mampu melakukan yang lebih baik daripada apa yang dilakukan oleh orang lain..

Monday, March 16, 2009

Rumah dan Ilmu

Umum mengetahui rumah adalah institusi pendidikan yang terawal dalam pembentukan syaksiah dan peribadi mukmin. Individu yang lahir dari keluarga yang mementingkan ilmu pengetahuan akan menghasilkan impak yang berguna kepada agama, masyarakat dan Negara.
Tidak dinafikan, bahawa ilmu pengetahuan merupakan satu alat yang paling berkesan dalam membentuk sesebuah masyarakat. Tidak ada masyarakat yang berjaya dan maju tanpa adanya ilmu pengetahuan. Islam telah meletakkan ilmu pengetahuan sebagai asas pembangunan dan menitikberatkan penganutnya sentiasa mengkaji, meneliti, menyelidik, meneroka segala ilmu dan maklumat demi manfaat kehidupan. Kecemerlangan ummah serta pembinaan tamadun sesuatu bangsa adalah bergantung kepada sejauhmana penguasaan ilmu pengetahuan yang dicapai oleh bangsa itu.Islam telah melahirkan tamadun manusia yang terunggul di dunia berteraskan ilmu pengetahuan. Ilmuan serta cendekiawan Islam seperti Ibn Sina, Ibn Rushd dan Al-Khawarizmi telah menyumbang kepada pembangunan sains dan teknologi dunia. Malahan pembangunan ilmu dalam Dunia Islam telah diakui sebagai pemangkin kepada Zaman Pembaharuan (Renaissance) di Eropah yang akhirnya melahirkan satu tamadun yang gemilang di sana.



Namun begitu,umum mengetahui,kini ummat Islam ketinggalan jauh dibelakang ekoran sifat malas membaca,tidak mahu berusaha,dan tidak memanfaat masa dengan sebaik mungkin.

Sunday, March 15, 2009

TAHNIAH BUAT PELAJAR CEMERLANG SPM KEBANGSAAN

Sekalung kesyukurankehadrat Allah atas kejayaan adik Nik Nur Madihah Nik Mohd Nor,pelajar Maahad Muhammadi Perempuan atas kejayaan mendapat 19A1,1A2 dalam peperiksaan SPM yang lalu.Buat Nik Nur Madihah,fikrah sunni mengucapkan syabas dan tahniah atas kejayaan saudari.Segala usaha dan keperitan yang diharungi akhirnya terbalas dengan janji dan ketentuan Allah.Ikhlas hati ini menyatakan sebak apabila membaca kisah saudari yang terpapar di dada-dada akhbar.Sungguh mulia pengorbanan yang saudari lakukan dan bukan semua manusia mampu melakukan.Sekalung ucapan tahniah diucapkan buat keluarga dan guru-guru saudari atas didikan yang dicurahkan kepada saudari.Hanya Allah yang mampu membalasnya.....

Monday, March 9, 2009

Salam Maulidur Rasul


Sudah lama diri ini tidak menggunakan wasilah elektronik ini sebagai medium pertemuan antara kita.Kucuba menjatuhkan keegoan diri ini untuk menekan kekunci ilmu, setelah lama berdiam diri.Mengambil ruh keberkatan junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W.,kelahiran baginda yang amat dinanti, maka terjatuhlah kekuasaaan sembahan berhala kafir Quraisyh yang dianuti.Sinar cahaya keimanan dan kebahagian telah menyinari kota Makkah sehingga melumpuhkan istana jahiliyah Raja Arab yang membesar diri.Seluruh masyarakat arab bergembira kerana telah lahir penghulu dan penutup segala nabi, yang akan membimbing ummat manusia ke arah kebenaran dan al-haq.Ekoran tersangat gembira,ada yang merebahkan binatang sebagai korban kesyukuran sempena kedatangan utusan agung yang dicintai.Hiduplah baginda dalam keadaan tidak beribu dan berbapa,lantaran Rabb Agung sebagai pendidik dan pembimbing.Jahiliyah Arab yang pada dasarnya menyambut kedatangan nabi dengan gembira,namun berpaling tadah menentang kerasulan nabi dek kerana angkuh dan kebodohan diri.Penentangan yang datang tanpa mengira nasab atau keturunan.Rasul dicaci dan dihina,namun baginda tetap teguh dalam perjuangan menyampaikan kalam Allah yang tinggi kemuliannya.Diceritakan kebangkitan dan kelahiran rasul jatuh pada Hari Isnin yang padanya penuh barakah,hari yang dimana berlakunya banyak peristiwa besar dan agung dalam Islam.Usah diperdebatkan kemuliaan hari kelahiran baginda kerana telah terbukti padanya lahir utusan agung untuk memakmurkan seluruh alam.Namun, tanpa disedari pemergian baginda telah berlalu lebih 1400 tahun yang lalu.Walau jasad baginda yang dipinjam telah kembali,namun dianugerahkan Quran dan Sunnah sebagi pengganti dan peneman diri.Kemuliaan kitab ini terbukti apabila telah diletakkan di tempat yang tinggi dan agung.Telah terbukti bahawa hidup tanpa berpegang kepada warisan tinggalannya,menyebabkan hati serta jiwa longlai dan mati tanpa mengenal kuburnya.Amat mengejutkan apabila ada mereka yang menjadikan sekular sebagai kiblat hidup,telah mengutuk dan menghina kesuciaan kitab dan warisannya.Tiada guna dilahirkan dalam keadaan Melayu jika tidak menjadikan Allah dan Rasul sebagai rujukan kehidupan.Seruan taubat kupanjangkan kepada Illahi jika diri ini telah menyeleweng dari jalan iman dan amal yang sebenar dan hakiki.


Salam Maulidur Rasul......

Salam Maulidur Rasul