Sunday, September 25, 2011

HUDUD : SEMUA PIHAK PERLU DUDUK SEMEJA


Saya merasa agak kecewa dan sedih dengan permainan media dan pihak-pihak tertentu dalam mensensasikan isu hudud demi kepentingan agenda sempit mereka.Benarlah jika dikata orang politik itu hanya tahu menjaga survival politik mereka sahaja asalkan mereka boleh kekal berkuasa dan memerintah sahaja.Persoalan menghormati agama dan norma kehidupan itu hanyalah perkara ke dua atau mungkin ke tiga dalam kamus kehidupan mereka.Apabila dekat sahaja pilihanraya, isu hudud ini akan dipalu untuk mendapatkan sokongan orang bukan Melayu dan menjatuhkan imej Islamik parti lawan.Astaghfirullah!!Di manakan prinsip dan pegangan Islam mereka ini?

Hudud itu adalah hak Allah dan ianya bukan hak parti tertentu.Perlaksanaannya adalah wajib apatah lagi bagi kita yang dikatakan sebuah negara Islam.Kenyataan-kenyataan janggal seperti "Saya akan pastikan hudud tidak dapat dilaksanakan di Malaysia","Hudud belum tiba masanya untuk dilaksanakan di Malaysia","Malaysia adalah negara multiracial" daripada mulut orang Islam sendiri menampakkan kejahilan mereka berkenaan undang-undang Hudud ini.Adakah mereka ini tidak sedar bahawa kerajaan yang mereka pegang itu adalah kecil dibandingkan kerajaan Allah.Kuasa mereka itu sedikit dan bila-bila masa sahaja boleh ditarik olehNya jika Dia mahu.Usah-usahlah bercakap tentang hukum Islam ini jika anda jahil dan langsung tidak tahu mengenainya.

Media pula hanyalah tahu untuk melariskan berita mereka sahaja.Saban hari serangan diarahkan kepada pemimpin-pemimpin Islam yang mempertahankan hudud ini dan mahu ia dilaksanakan.Sedangkan,apa yang menyedihkan adalah media itu sendiri dimiliki oleh Islam dan wartawan yang melaporkan juga orang Islam.Allahu Akhbar!!Ini bukan isu yang boleh melariskan berita anda sebenarnya.Sebaliknya,hati ummat islam telah anda lukai lebih-lebih lagi alim ulama' kita dan ahli-ahli agama kita.Saya merasakan para mufti dan alim ulama' perlu tampil ke hadapan dalam menasihati golongan seperti ini.Dalam Islam juga ada etika kewartawanannya dan wajib dipatuhi oleh ahli media.

Saya mencadangkan satu rundingan dan perbincangan antara kerajaan dan semua pihak yang berkaitan berkenaan hukum hudud ini perlu dilaksanakan segera.Mungkin cadangan ini agak lapuk dan ketinggalan zaman,tapi inilah satu-satunya jalan penyelesaian terbaik demi Islam dan ummat Islam.Panggil alim-ulama' kita yang mewakili parti-parti politik atau bebas sepenuh masa dalam membincangkan isu ini.Pakar-pakar undang-undang juga bolehlah dijemput termasuk Peguam Negara yang juga orang islam.Survival ummat Islam di Malaysia perlu dijaga dan dipertahankan sekiranya inilah negara Ummat Islam.Media juga memainkan peranan penting dalam menyatukan pandangan pemimpin-pemimpin kita khususnya yang mewakili orang Islam.Jangan diwujudkan jurang perpecahan dan pertelagahan dengan api kebencian yang boleh merugikan kita semua.

Salam Perpaduan Ummah!!

No comments: