Thursday, December 10, 2009

BAHASA JIWA BANGSA

Kadang-kadang aku sedih memikirkan ketuanan Bahasa Melayuku di tanah air sendiri dibaikan begitu sahaja.Bahasa Melayu hanyalah sekadar termaktub dalam Perlembagaan sebagai Bahasa Kebangsaan tetapi zahirnya ia hanya ditelanjangkan begitu sahaja.Ada pihak konon-kononnya bersuara tapi lantas diam membisu begitu sahaja.Asakan-asakan yang dibuat untuk menuntut ketuanan bahasa hanya sekadar bermusim dan semangat kenakalan budak-budak jalanan sahaja.Apabila disergah,pejuang-pejuang itu lari bertempiaran tanpa ada yang mahu bersuara menuntut maruh kita bersama.Di mana bumi dipijak,disitulah langit dijunjung.Orang berbudi,kita berbahasa.Tapi semua itu hanya ungkapan dusta semata-mata apabila ia tidak dibuktikan oleh kita sang penuturnya.Hari demi hari bahasa meninggalkan kita.Ada yang malu menuturkan Bahasa Melayu kerana ia tidak bersifat universal katanya.Kalau dulu Bahasa Melayu diangkat dimana-mana sahaja,tapi kini Melayu yang berkereta besar,diselimuti hawa dingin gemar berBahasa Inggeris,Bahasa Penjajah untuk kita.Memang benar mereka kononnya pejuang Bahasa Melayu di depan kita semua,tapi jika bertutur,lain pula jadinya.Inikah bangsa Melayu,bangsa merdeka??Masihkah kita ingat tatkala Tulisan Jawi dilenyapkan dari bumi Tanah Melayu suatu ketika dahulu,dan kita hanya memerhati dari jauh hakikat ini.Sudah tiba masanya kita bersatu hati,berpadu suara.Jangan biarkan Bahasa Melayu kita hanyut dibawa arus buat akhirnya.Adakah kita mahu apabila suatu hari nanti ada yang berkata "Bahasa Melayu,bukan bahasa kita".Saat itu,kita tiada daya melakukan apa sahaja dek kerana kealpaan kita dalam mendaulatkan bahasa penjajah di bumi Malaysia tercinta.Ketika itu,hati kita dirobek,jiwa kita bergetar tetapi ia hanya luahan hati dan perasaan semata-mata.Aku bersuara dalam isu bahasa ini kerana aku sayangkan bahasaku.Aku takut jika bahasaku ini lenyap begitu sahaja dari peta dunia.Mungkin orang boleh berkata,menjadi tuntutan dunia untuk berbahasa penjajah.Nama-nama kebanggaan negara juga dinamakan dengan bahasa penjajah.Apa sudah jadi dengan bangsaku.Ya,memang benar kita memiliki KLIA,Cyberjaya tapi adakah kita bangga dengan penggunaan bahasa yang digunakan.Sedih juga diri ini apabila melihatkan negeriku sendiri Kelantan mula mengikut langkah memulaukan bahasa sendiri.Apabila pembangunan dikejar mulalah bahasa diketepikan Banggakah jika kita ada KB Mall,KBTC,Pelangi Mall jika bahasa sendiri kita anak tirikan.Tidak bersifak globalkah bahasa kita??Hina dinakah Bahasa Melayu kita.Sepatutnya,kita harus bersyukur kerana masih ada negara yang menuturkan bahasa Melayu ini daripada ia ditelan zaman.Lihatlah kesucian perjuangan Indonesia dalam memartabatkan bahasa Melayu,bahasa ibunda mereka.Hatta,nama didada dilekatkan dengan bahasa Ibunda negara.Hebat sungguh jika negara kita seperti mereka.Aku tidaklah menuntut dengan nama panggilan disematkan nama Melayu,kerana nama Abdullah,Khalid,Rahman,Rahim sudah cukup indah dan baik maknanya.Mungkin ada yang berhujah kononnya kita tidak boleh ke mana-mana dengan bahasa kita tapi sedarkah jika tidak ke mana-manapun yakni dalam negara sendiri,kita malu berbahasa Melayu,bahasa ibunda.Sejujurnya,semua pihak perlu berperanan dalam mendaulatkan Bahasa Melayu,sebagai bahasa kebangsaan kita.Kita ketepikan ideologi politik, lantas kita angkat isu perjuangan bahasa.Mungkin,titik persamaan kita ada di sana jika perjuangan kita ikhlas semata-mata buat negara tercinta.Bangsa lain tidak perlu bersedih hati hati kerana mereka juga ada bahasa ibunda mereka.Ambillah semangat roh 1 Malaysia yang kita dukung,dalam memperjuangkan bahasa Melayu,bahasa kita bersama.

No comments: