Jahilnya aku ketika itu. Selepas beberapa minggu bergelar pelajar di sebuah sekolah agama di tengah kota, aku mula balik bercuti di kampung. Semangat Minggu Orientasi masih membara waktu itu dan imej sebagai seorang pelajar agama perlu dijaga. Tidak seperti hari-hari sebelum ini, aku melangkahkan kaki ke surau berdekatan untuk menunaikan Solat Fardhu bersama jemaah. Jubah putih selembut warna kapas kupakaikan ke badan dan sedikit lilitan serban memahkota di kepala.
Selepas Solat Asar, masing-masing beransur keluar selepas siap mengaminkan doa dan aku pula bangun meneruskan Solat Ba'diyah Asar. Apa yang bermain di kepala ketika itu, alangkah ruginya mereka tidak mengerjakan Solat Sunat dan aku sebagai pelajar sekolah Agama harus menjadi contoh. Selepas Solat, ramai mata-mata yang memerhati seperi ada sesuatu yang aneh melekat pada badanku. Mereka bertanya khabar dan senyum meninggalkan aku.
Setibanya di rumah, arwah ayah terus menegur, apa yang kamu buat tadi di Surau lambat balik. Aku katakan tunaikan kewajipan Allah Solat Sunat Ba'diyah. Dengan senyum seorang ayah, katanya Solat Sunat Ba'diyah Asar ni tak ada. Yang ada cuma sebelum Asar. Aduh!! Aku merasa seperti ada sesuatu yang terhempap di kepala. Patutlah di surau tadi Pak Cik-Pak Cik itu menjeling manja. Ya Allah, masih banyak yang perlu aku belajar dan betapa ceteknya ilmuku.
Aku kagum dengan cara didikan Pak Cik-Pak Cik itu. Mereka tidak lantas menegur di khalayak ramai bahkan memuji perubahan imej yang dilakukan. Mereka sedar, sebagai budak kampung yang masih comot dan baru nak berjinak dengan surau, aku tidak harus diajar dengan kekerasan. Walaupun mereka itu tidak pernah belajar ilmu Uslub Dakwah yang berkesan, namun pengalaman yang ada itu sangat jauh mematangkan diri.
Wallahu a'lam.
Comments