Saturday, September 22, 2012

KITA TIDAK SEMPURNA, MAKA TAUBAT PENAWARNYA


Ada lima perkara yang perlu dilakukan secara cepat iaitu menguburkan atau mengebumikan jenazah, mengahwinkan anak perempuan yang telah bersedia, membayar hutang, menghidangkan makanan kepada musafir yang bertamu ke rumah dan akhirnya adalah bertaubat apabila melakukan dosa.Taubat berasal daripada kalimah Taba, yatubu yang ertinya kembali daripada apa yang dilarang oeh Allah atau pulang kepada perintah Allah.Nabi pernah bersabda bahawa setiap manusia atau anak Adam itu pasti ada dosa.Dan sebaik-baik orang berdosa adalah mereka yang bertaubat kepada Allah.Tiada seorang pun yang  sempurna tanpa sebarang dosa dan kesalahan.Cuma, orang yang paling baik itu apabila telah melakukan dosa, dia akan segera ingat kepada Allah dan bertaubat atas dosa yang dilakukan.

Iblis telah berjanji kepada Allah bahawa dia akan mengganggu kita semua anak Adam selagi mana roh berada dalam jasad.Iblis itu akan menarik ke tempat dosa dan maksiat.Namun Allah membalas kepada Iblis dengan mengatakan walaupun kamu Iblis mengganggu manusia, Aku Allah akan tetap memberikan ampun kepada mereka hambaKu.


Taubat itu antara lima perkara yang perlu disegerakan.Keluar segera daripada kepompang dosa dan maksiat dan dekati ulama' dan majlis ilmu.


Syarat taubat itu pertamanya menyesal daripada dosa yang telah dilakukan.Menyesal itu bukan bermakna puas daripada dosa yang telah dilakukan tapi menyesal sekali atas perbuatan terkutuk itu.Puas dan menyesal itu berbeza isunya.Setelah menyesal, dia berjanji pula tidak akan mengulangi perbuatan dosa itu.Jangan hanya 'taubat sambal lada'.Kita semua saya yakin pernah makan sambal lada.Apabila telah termakan sambal lada yang teramat pedas, makan kita pun berjanji tidak akan makan lagi sambal yang pedas itu.Namun esoknya, makan lagi sambal itu.Hehehe...Mungkin kita pernah melakukan taubat sambal ini.Maka, taubat yang dituntut itu bukannya taubat sambal lada.Kemudian, syarat taubat yang lain itu adalah meninggalkan perbuatan dosa itu selama-lamanya.Jika ia melibatkan kewajipan dengan Allah dan manusia, maka tunaikanlah kewajipan yang terhutang itu.Akhirnya, sekiranya bersangkutan dengan manusia, maka mohonlah halal dan kemaafan dengan mereka yang telah kita zalami itu.

Taubat itu boleh dimulakan dengan sekecil-kecil amalan iaitu istighfar.Banyakkan ucapan istighfar dan memohon ampun kepada Allah.Nabi yang merupakan manusia yang paling bersih dan telah dijamin keampunan oleh Allah pun beristighfar 100X sehari.Kita hambaNya yang dosa setinggi bukit, tidakkah kita mahu beristighfar seperti baginda Nabi bahkan lebih lagi?Sedarlah, kita akan dihancurkan iblis tatkala berasa senang dan gembira dengan melakukan dosa.Tapi, dengan istighfar dan taubat, kita pula dapat menghancurkan iblis itu.Maka bersama kita bersatu menghancur iblis dengan kalimah istighfar ini.

Iblis itu menyerang kita daripada segenap ruang.Bila kita merasa hebat dan sempurna, maka kita telah terkena perangkap iblis.Bila kita merasa orang lain silap dan kita sahaja yang benar, maka iblis telah berjaya merasuk kita.Namun, dengan taubat dan istighfar, kita dapat melepaskan diri daripada perangkap itu.Selain itu, iblis juga akan menyerang kita dengan salah guna mulut yang dikurniakan, iri hati dan dengki, takabur, ujub dan mencari kelemahan orang lain.Jangan sesekali diseksa oleh perasaan kita sendiri.Mereka yang kita umpat dan iri hati tidak terasa seksa dengan permainan hati ini, namun yang terseksa adalah diri kita sendiri.Biarlah semua penyakit hati itu dihapuskan dengan istighafar dan taubat.Sejauh mana besarnya dosa itu, jangan lupa untuk bermohon ampun kepada Allah.Setelah taubat, maka baik sangkalah kepada Allah bahawa Dia Allah mengampunkannya.



Dengan bertemu para ulama', InsyaAllah mereka ada ubat dan penawarnya bagi hati yang kotor.


Tidaklah taubat itu dimaknakan tidak mahu bergaul dengan orang lain.Bergaul itu harus diteruskan cuma menghindari daripada terjebak dengan perbuatan maksiat dan dosa sahaja.Tugas utama setelah taubat itu, bersama kita bersiap menuju kematian dan hari kiamat.Saudaraku, orang yang bersiap sedia sebelum dipukul itu menjadi kurang sakitnya daripada yang tidak bersiap apa-apa.Kalaupun terasa sakit, kita sudah menyiapkan ubat untuk merawatnya.Maka, dosa itu juga ibarat penyakit.Penyakit barah yang akan selalu mengganggu hidup kita.Untuk merawatnya, maka taubat dan istighfar adalah ubatnya.Lihat sahaja kaca cermin tingkap bilik kita itupun akan bertambah kotor sekiranya kita tidak cuba mengelapnya setiap hari.Maka diri kita itu lebih-lebih lagi perlu digilap.Setelah taubat, maka dekatilah majlis ilmu dan para ulama'.Dan mereka para ulama' ini akan sentiasa menjaga jadual pemberian ubat dan penawar untuk kita setiap masa.

Orang yang bertaubat itu akan kelihatan tanda-tanda zahir dalam dirinya.Jika majlis ilmu dia dekati, tingkat ibadahnya juga bertambah, pakaian dan perhiasan lahiriah berubah, ada melakukan perubahan terhadap pergaulan yang sebelumnya, dan meredhai serta memaafkan musuhnya, maka dia telah bertaubat dengan sebenar-benarnya.Kalau mengganggap dengan istighfar sahaja sudah selesai taubat, sesugguhnya itu belum dikatakan taubat lagi.Oleh itu, kita akan melihat apabila ada seorang artis atau selebriti telah bertaubat dan berhijrah, dia akan mula menukar pakaian dan perhiasan dirinya kepada yang diredhai Allah.Itu bagi saya sudah menampakkan tanda-tanda dia telah bertaubat.Soal hati itu ikhlas atau tidak dia melakukan perubahan adalah urusan Allah dengannya.Selain itu, lingkungan dan pergaulan juga sangat besar pengaruhnya kepada orang yang telah bertaubat.Tinggalkan segera majlis maksiat yang sebelumnya dan dekatilah mereka yang bisa membimbing kita.

Allah itu Maha Kaya.Bila Allah mahu mengampunkan kita, tiada siapa yang bisa menghalangnya.....



InsyaAllah saya akan hadir ke program ini sebagai persediaan menuju hari kematian.
30 September ini di Universiti Sains Islam Malaysia, Nilai Jam 2 petang.

No comments: