Tuesday, September 18, 2012

MALAYSIA DAN INDONESIA




Bersama seorang ibu muda dan anaknya yang merupakan mangsa letusan Gunung Merapi.

Alhamdulillah, dapat juga saya menulis di laman ini setelah lama bercuti dari dunia blog.Satu perkongsian buat semua.Saya adalah antara produk Malaysia yang dihantar untuk menimba ilmu di Indonesia.Perjalanan saya di Indonesia bermula pada bulan Februari 2012 sehingga Julai 2012 yang lalu.Banyak tempat-tempat yang telah saya jelajahi sepanjang berada di sana bermula dari Surabaya, Malang, Ponorogo, Solo, Yogyakarta, Banjanegara, Magelang, Wonosobo, Garut, Bandung dan banyak lagi.Boleh dikatakan yang seluruh Tanah Jawa telah saya lawati bermula dari Jawa Timur, Jawa Barat dan Jawa Tengah.Kesempatan 5 bulan berada di sana telah memberikan saya peluang untuk mengenali Indonesia, budaya dan  rakyatnya secara dekat.



Di dalam sebuah program misi bantuan untuk mangsa letusan Gunung Merapi.

Secara jujur, sebelum saya berangkat ke Indonesia, saya merasa sedikit gusar apabila melihat berita dimainkan media atau laman sosial berkenaan wujudnya kumpulan-kumpulan tertentu yang tidak senang dengan Malaysia.Alhamdulillah, setelah saya ke sana sendiri, saya merasakan bahawa sebenarnya Malaysia dan Indonesia ini mempunyai hubungan yang sangat akrab.Sentimen-sentimen yang dimainkan oleh segelintir rakyat di Malaysia dan Indonesia berkenaan hubungan yang ada ini tidak menjejaskan langsung jalinan mesra yang telah lama terjalin antara Malaysia dan Indonesia bahkan ia dilihat semakin akrab.



Ibu tua ini walaupun tidak boleh bercakap menggunakan Bahasa Indonesia, namun beliau tetap mesra melayan saya.Ibu ini antara mangsa letusan Gunung Merapi.

Budaya dan adab rakyat Indonesia sebenarnya sangat baik dan jauh sekali daripada apa yang bermain di fikiran kita semua.Saya mengambil contoh dalam bab menerima dan menyambut tetamu.Sepanjang saya berada di sana, saya dilayan seperti seorang VIP daripada kerajaan Malaysia sehinggakan dianggap Duta Pendidikan Malaysia walaupun saya hanyalah pelajar praktikal yang dihantar oleh universiti ke sana.Bermula daripada jabatan kerajaan, pengurusan tertinggi universiti, dan rakyat biasa melayan saya dan teman-teman dengan sangat baik.Saya kadang-kadang ada juga terfikir, bagaimana pula kunjungan mereka ke Malaysia?Adakah kita mampu memberikan layanan yang sama atau lebih baik daripada apa yang telah diberikan ini?

Mungkin saudara dan saudari menganggap bahawa memang patut layanan baik yang diterima kerana saya berada di persekitaran universiti dan akademik.Makanya, mereka ini pasti mempunyai nilai adab dan intelektual yang tinggi.Bagi saya, layanan yang diterima ini bukan hanya layanan rasmi daripada pihak universiti bahkan seluruh pelajarnya dan warga Indonesia itu sendiri.Saya berani mengatakan bahawa saya sangat mengkagumi nilai dan adab seluruh warga Indonesia dalam menyambut tetamu khususnya masyarakat Yogyakarta.


Tidak diketahui ini makanan untuk sesi yang ke berapa ketika berkunjung ke rumah seorang pensyarah.

Bahkan, saya lebih senang dan berani untuk berjalan-jalan di bumi Indonesia daripada negara saya sendiri di Kuala Lumpur.Warga Indonesia seluruhnya sangat menghormati orang Malaysia.Kalaupun ada yang tidak senang dengan Malaysia, namun ia amat sedikit sebenarnya daripada jumlah majoriti rakyat Indonesia yang sekitar 240 juta lebih itu.Jika saudara berkunjung ke rumah pula khususnya warga Yogyakarta, saudara akan dilayan seperti seorang tetamu VIP dengan jamuan dan hidangan yang pelbagai.Budaya mereka ini  apabila ada tetamu datang melawat atau berkunjung, juadah makanan bermula daripada hidangan ringan, berat, sehingga pencuci mulut akan disediakan.Mudahnya yang boleh saya katakan adalah," lepas makan,makan lagi".Bagi yang kuat makan, Indonesia adalah syurga makanan buat mereka.

Dalam soal berkawan dan bersahabat, mereka sangat jujur dan ikhlas dalam perhubungan.Bila telah bersahabat dengan mereka, anda akan berasa senang dengan kejujuran dan keikhlasan yang dipamerkan.Hilang segala kesulitan dan masalah di Indonesia bila bersahabat dengannya.Saya sendiri mempunyai ramai teman dan kenalan di Indonesia dan sehingga hari ini, kami masih saling berhubung.

Tuntasnya, apa yang boleh saya simpulkan di sini, Malaysia dan Indonesia sebenarnya mempunyai hubungan yang sangat baik dan mesra.Tiada isu yang dapat memisahkan kita dan mereka.

Abdullah Long

 *InsyaAllah saya akan berkunjung lagi ke Indonesia.Mohon doanya daripada teman-teman semua.


2 comments:

Ikhwan Achmadi said...

Wahhh. Subhanallah,,, .antum dah keliling Jawa.

waktu di Banjarnegara kemana aja??
itu daerah ana Ust.

Lah Long said...

Ke rumah teman UII di Banjarnegara ustadz.Lagi setelah itu ke Batur ada acara pernikahan temannya siswa UII.