Tuesday, March 15, 2011

MALAYSIA DAN TSUNAMI JEPUN


Beberapa hari yang lepas,dunia digemparkan dengan tsunami yang besar telah berlaku di Jepun dengan meragut hampir 1600 nyawa dan lebih 10,000 orang dikhuatiri hilang.Dalam keadaan dunia meratapi bencana yang dahsyat itu,tiba-tiba sebuah akhbar media arus perdana milik Malaysia dilihat telah bertindak mengecilkan hati masyarakat dunia dengan memaparkan kartun superhero ultraman yang sedang berlari dikejar tsunami.Paparan kartun tersebut telah dikritik hebat oleh dunia apabila didakwa menghina dan tidak sensisitf terhadap bencana yang sedang dialami oleh Jepun.Apatah lagi,Malaysia sebagai sebuah negara Islam contoh yang sentiasa diperhati dunia perlulah menonjolkan imej mereka mewakili dunia Islam dalam menunjukkan keprihatinan terhadap bencana yang berlaku.Selepas kritikan dibuat,Berita Harian telah tampil memohon maaf kepada seluruh masyarakat dunia.Persoalannya,adakah dengan permohonan maaf itu akan merawat luka yang telah dialami oleh masyarakat dunia dengan mudah?Namun,saya memuji tindakan Berita Harian tersebut yang menunjukkan kesanggupan mereka untuk mengakui kesilapan dan memohon maaf.

Belum sahaja isu tersebut reda sepenuhnya,tiba-tiba seorang isteri pemimpin tertinggi Malaysia pula bertindak mengeluarkan kenyataan bahawa berlakunya tsunami kerana Kerajaan Jepun tidak menitik-beratkan faktor alam sekitar dan perubahan iklim dalam pembangunannya.Kenyataan dari negara Malaysia kembali menghangatkan tajuk utama berita antarabangsa dan mula mengambil tempat di laman sosial facebook dan twitter.Kenyataan tersebut sekali lagi dilihat mewakili Malaysia dan tidak sensisitif terhadap bencana yang dialami oleh negara Jepun.Saya musykil terhadap kenyataan tersebut yang dikeluarkan oleh seorang isteri pemimpin tertinggi negara.Berkali-kali saya membaca kenyataan tersebut kalau-kalau berlaku kesilapan terhadap pemahaman atau bacaan saya.

Saya kira,sebagai sebuah negara yang berdaulat,tidak sepatutnya Malaysia bertindak mengeluarkan kenyataan dengan dibenarkan seorang wanita penting negara membuat ulasan terhadap bencana tsunami seperti itu.Setahu saya,jika seseorang itu ditimpa musibah dan masalah,kita perlu melahirkan rasa ambil-berat kita dan tidak membebankan mereka dengan kenyataan-kenyataan yang dilihat tidak ada nilai sensitiviti.Samalah dengan apa yang pernah dialami oleh Kedah sebelum daripada ini.Di saat Negeri Kedah ditimba bencana banjir yang besar,pemimpin-pemimpin negara melalui media-media rasmi negara melakukan serangan dan kritikan terhadap Kerajaan Negeri Kedah.Katanya Kerajaan Kedah tidak cekap dan tidak prihatin terhadap isu banjir yang berlaku sehinggalah Baginda Sultan Kedah melahirkan dukacita terhadap suara-suara sumbang yang tidak menghargai sumbangan dan pengorbanan kerajaan baginda dalam membantu mangsa banjir.Pada mereka,tindakan itu dianggap mulia kerana Kedah dipimpin oleh Pakatan Rakyat yang berlainan ideologi politik.Perkara-perkara inilah yang terbawa-bawa oleh mereka dengan mengeluarkan kenyataan terhadap tsunami di Jepun mungkin hanyalah kerana kita berlainan kerajaan.Ia dilihat mirip sama cuma teks ulasannya sahaja yang berbeza.Kenyataan-kenyataan seperti ini dibimbangi boleh mengeruhkan hubungan diplomatik Malaysia dengan negara luar.

Saya harap akan tindakan daripada beliau bagi memulihkan kembali imej Malaysia di mata dunia.Saya memahami aspirasi dan niat murni beliau dalam memberikan nasihat dan teguran terhadap rakan kita Jepun cuma kemungkinan masa atau waktunya sahaja yang tidak sesuai.Di saat mereka kesedihan ditimpa bencana,cukup sekadar kita menyampaikan ucapan takziah mewakili Malaysia serta menghantar bantuan kemanusian dan pertolongan antarabangsa terhadap mereka.Kaedah ini lebih berkesan untuk kita mengeratkan hubungan dua hala antara Malaysia dan Jepun.Untuk komen dan teguran,ia boleh diberikan semasa diadakan pembedahan dan post-mortem terhadap bencana itu nanti.Tidak perlu kita bergopoh-gapah menjelaskan kepada mereka kerana ia dilihat agak kurang sensitif.

Saya kira,Malaysia perlu mengambil iktibar terhadap kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan agar kita tidak mengulangi kembali di masa hadapan.Media perlu memainkan peranan dengan bertindak sebagai jaguh bagi menghubungkan hubungan antara negara-negara.Sewajarnya media membuat tapisan terhadap apa-apa sahaja berita yang ingin dikeluarkan samada daripada siapa kenyataan tersebut ia dikeluarkan.Usah dilihat siapa yang berkata tapi lihatlah kepada isi ucapannya.Bagi kita ummat Islam,disamping kita berusaha mencari apakah justifikasi dan faktor berlakunya tsunami tersebut,kita perlu akur bahawa apa yang berlaku itu adalah kuasa Allah.Tindakan sabar dan tenang menghadapi ujian yang ditunjukkan oleh rakyat Jepun haruslah dicontohi apabila kita ditimpa bencana dan musibah nanti.Walaupun kita dan mereka berlainan agama,tetapi mereka sedar bahawa setiap musibah yang berlaku itu adalah ujian daripada Allah dan ia memerlukan kesabaran dan ketahanan yang tinggi daripada kita hambanya.Sikap yang mulia inilah sebagaimana ditunjukkan oleh Islam.

Salam Perpaduan!!

No comments: